Chereads / AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 22 - Sebilah Pedang Bersemadi dalam Kulit Ular Sawa Syaitan

Chapter 22 - Sebilah Pedang Bersemadi dalam Kulit Ular Sawa Syaitan

Sekejap sahaja masa berlalu. Seluruh gunung hitam itu kelihatan seperti bergejolak. Ngauman haiwan-haiwan Syaitan itu menggegarkan udara, kuat dan bersahut-sahutan. Malah lebih kerap lagi jeritan kesengsaraan kedengaran. Sepuluh atau lebih orang Pertapa yang tidak berani untuk sambung mengejar ke dalam gunung itu nampak pucat. Ketakutan memenuhi hati mereka dan kini mereka lebih rela berada di luar gunung itu berbanding sebelum ini.

"Apa yang sedang berlaku? Kenapa macam semua haiwan Syaitan di seluruh gunung itu sedang mengamuk?"

"Apa yang berlaku? Kedua-dua Abang Seguru Yin Tianlong dan Zhou Kai berada di peringkat kelima Pemekatan Qi, tetapi mereka masih sukar untuk menangani kemarahan seluruh gunung itu. Mungkinkah mereka boleh guna hikmat istimewa dan unik?

Orang ramai di kaki gunung itu tertanya-tanya setelah mendengar ngauman yang kuat itu dan membuat sangkaan sendiri.

Berbalik kepada Yin Tianlong dan Zhou Kai pula, mereka telah pun diseksa hingga hampir naik gila oleh helah Meng Hao. Mereka hanya mampu memerhatikan Meng Hao berlari ke atas dari jauh bersama-sama sekawan besar haiwan Syaitan. Berdasarkan kebencian yang terpancar di mata mereka, kalaulah mereka boleh membunuh dengan hanya melihat, Meng Hao pasti telah mati beberapa kali.

Namun, dalam kebencian itu, Yin dan Zhou sangat letih dan hanya mereka sahaja yang faham kelesuan dan ketidakpuasan hati ini. Setiap kali mereka mula untuk mengejar Meng Hao, setiap kali itulah Meng Hao akan gunakan kuasa ajaib syaitan untuk mencabar pelbagai jenis haiwan Syaitan. Dengan hanya satu libasan lengan bajunya, Meng Hao boleh membuatkan mana-mana bahagian tubuh haiwan Syaitan itu meletup. Bau darah memenuhi persekitaran itu dan membuatkan haiwan lain tambah menggila.

Tulang-temulang mereka lemah ketika melihat terlalu ramai makhluk Syaitan dan makhluk itu bukan sahaja mengejar Meng Hao. Sebaik sahaja makhluk itu ternampak mereka berdua, mereka akan mula mengejar mereka pula. Kemudian, setelah jauh sedikit, Meng Hao akan melarikan diri seperti tikus.

"Tak guna! Aku sumpah kau mati ditelan haiwan-haiwan ini!!!" Zhou Kai mengamuk. Manakala Yin Yianlong di sebelahnya hanya mampu mengeluh dan kelihatan lebih letih.

Masa dirasakan beredar dengan sangat perlahan dan kini sudah memasuki tempoh dua jam seterusnya. Dalam kegelapan malam, cahaya isyarat pil itu menjadi sangat menyilaukan. Setelah kedudukan Meng Hao terdedah akibat cahaya isyarat pil itu, Zhou dan Yin menggertakkan gigi mereka dan meluru mengejar Meng Hao. Seperti biasa, Meng Hao menggunakan kuasa ajaib Syaitannya untuk mencabar ramai lagi haiwan Syaitan, kemudian membawa mereka kepada Zhou dan Yin dan dia akan melihat Zhou dan Ying ditenggelami kawanan makhluk ganas itu.

"Kenapa dia tidak dimamah makhluk Syaitan lagi?" Zhou dan Yin keletihan sehingga ke tulang kering. Manakala Meng Hao melompat-lompat dengan masih bertenaga lagi dan menyebabkan kebencian mereka bertambah meluap-luap ketika melihatnya. Tetapi, tiada apa-apa yang boleh mereka lakukan.

Sebenarnya, Meng Hao juga letih. Setiap kali pil itu bersinar, dia terpaksa menarik perhatian beberapa haiwan Syaitan dengan segera. Nasib baik cermin tembaga itu membolehkan dia menghentikan makhluk yang paling hampir dapat mengejar dia dan memberi dia masa untuk melarikan diri. Jika tidak, dia sudah lama jatuh tersungkur keletihan.

Tiba-tiba, dia sedar yang dia sudah tiba di puncak gunung itu. Tanah di sana penuh dengan rekahan dan celahan. Ada di antaranya cukup besar untuk memuatkan seorang manusia di dalamnya. Meng Hao duduk termengah-mengah di sebalik batu tongkol untuk berehat sambil melihat cermin tembaga di dalam genggamannya. Ia terasa begitu panas, seolah-olah apa yang terjadi hari ini membuatkannya bergetar dengan keterujaan. Dengan senyuman pahit, Meng Hao melihat persekitarannya dan ternampak satu rekahan besar jauh di hadapannya yang diresapi kabut hitam tebal.

Tiba-tiba, satu bunyi gemuruh meledak dari rekahan raksasa itu. Bunyinya sama seperti bunyi yang menghentikan haiwan-haiwan ganas di gunung itu tadi. Bunyi itu seolah-olah mampu menggegarkan seluruh dunia. Ia bergema seperti bunyi petir. Dalam sekelip mata, haiwan-haiwan Syaitan mengosongkan seluruh kawasan itu seperti seluruh gunung itu hanya mengandungi bunyi gemuruh itu sahaja.

Bunyi gemuruh itu bergetar hingga masuk ke otak Meng Hao, menyebarkan semua tenaga rohani di dalam badannya. Air mukanya berubah. Bunyi ini seperti pernah didengari. Dia pernah mendengarnya sewaktu dia pergi ke kawasan berhampiran gunung hitam itu sebelum ini. Ia bunyi yang menggentarkan jiwa serta Qi seseorang, lalu membuat mereka dipenuhi kegusaran dan kebimbangan.

Ketika bunyi gemuruh itu kedengaran, Meng Hao memaksa matanya untuk kekal terbuka dan melihat kabut hitam melimpahi rekahan itu. Setelah kabut itu lenyap, Meng Hao dapat melihat seekor ular sawa hitam yang sangat besar, lebih enam meter tebalnya, dengan wajah yang ganas dan kejam. Dalam lebih separuh panjangnya telah keluar dari rekahan itu secara tiba-tiba.

Ia kelihatan seperti dalam kesakitan dan bunyi gemuruh ganasnya menggegarkan langit dan bumi. Meng Hao meludah segumpal darah. Dia meloncat dari belakang batu tongkol itu dan berlari menuruni gunung itu. Dia tidak berani untuk tinggal lebih lama lagi. Tetapi kemudian, dia berhenti. Rasa ingin tahu telah menguasai dirinya. Sewaktu dia kembali untuk melihat dengan lebih teliti, dia terperasan sesuatu yang menarik.

Tubuh ular sawa yang terkeluar dari rekahan itu seperti mengelupas. Nampaknya ia mempunyai dua lapisan kulit. Ia melingkari dirinya sendiri dan menggeselkan tubuhnya untuk keluar dari lapisan kulit lama itu.

"Ia bersalin kulit?" Meng Hao tertanya-tanya setelah mengenal pasti perkara yang berlaku. Meng Hao menarik nafas. Dia tahu yang ular sawa itu berada dalam keadaan yang paling lemah sewaktu bersalin kulit. Ia mengambil masa yang agak lama untuk bersalin kulit sepenuhnya terutama sekali jika ia haiwan Syaitan. Dengan tubuh badan sebesar ini, mungkin perlukan lebih banyak masa dalam beberapa tahun lagi.

"Patutlah aku boleh dengar bunyi gemuruhnya selama ini. Mesti sudah bertahun-tahun ia dalam proses ini." Perhatiannya teralih dan dia terperasan ada sesuatu yang lain pada ular sawa itu.

Setelah memeriksa dengan lebih dekat, dia terkesima kehairanan. Ia sebilah pedang terbang. Ia kelihatan seperti sangat kuno tanpa ciri-ciri khas langsung. Tetapi, ia telah menikam tubuh ulat sawa itu sedalam-dalamnya. Nampaknya ia sudah berada di sana untuk satu masa yang lama. Mungkin bertahun-tahun lamanya.

Di sekitar kawasan tikaman pedang itu, kulit dan isinya kering dan mereput. Itu membuktikan kekuasaan pedang itu.

"Ular sawa syaitan ini mempunyai asas Pertapaan sekurang-kurangnya peringkat ketujuh Pemekatan Qi atau mungkin lapan. Mungkin sembilan..." Mulutnya kering. Dia dapat membayangkan betapa kerasnya sisik ular sawa ini. Maka, pedang terbang kuno itu pasti menakjubkan.

"Sebilah pedang terbang yang boleh menikam haiwan syaitan sebegini pasti sangat berharga." Meng Hao berdebar-debar dengan rasa tidak sabar, kemudian mengeluh kecewa. Dia baru sedar dengan asas Pertapaan peringkat keempat Pemekatan Qi, memperolehi pedang itu hanyalah mimpi sahaja. Sama mustahil juga walaupun kalau dia berada di peringkat kelima.

Dia menggelengkan kepalanya dan menuju ke kaki gunung dengan mata bercahaya. Masih lagi ada sesuatu yang penting untuk diselesaikan. Cermin tembaga di lengan bajunya terus menggelegak dan tidak lama kemudian, beberapa ekor haiwan Syaitan sedang mengejarnya sambil melolong-lolong.

Beberapa jam sudah berlalu dan matahari hampir terbit. Tempoh dua puluh empat jam terakhir akan tamat tidak lama lagi. Zhou dan Yin sudah berputus asa. Mereka merenung Meng Hao yang sedang duduk bersila di atas gunung sana.

Jika mereka berdua bergerak sedikit pun, dia akan menimbulkan kemarahan sekumpulan haiwan dan bukan sahaja mereka akan gagal, malah mereka berkemungkinan besar akan cedera juga. Ditambah lagi dengan keletihan, mereka kini hanya boleh menghela nafas dengan tercungap-cungap dan memberi renungan maut kepada Meng Hao.

"Tak guna. Meng Hao, macam mana kau boleh terlepas daripada genggaman aku?" Dengan termengah-mengah Zhou Kai bersuara dan disertai dengan raungan kekecewaaan. Meng Hao memang seekor tikus yang boleh masuk dan pergi seperti bayang di dalam hutan belantara itu.

"Kau tiada kepakaran sendirikah?" Yin Tianlong yang tidak berapa jauh menyambung. Tidak dapat membunuh atau mengejar Meng Hao menjadikannya separuh gila dan dia sudah tidak dapat menyusun kata-katanya lagi. "Boleh tak kau lari sahaja? Tidak perlulah mempergunakan kuasa sakti syaitan sebegitu rupa untuk hantar haiwan-haiwan itu buru kami. Kenapa tidak bertarung dengan adil sahaja?"

"Asas Pertapaan saya tidak setinggi awak. Macam mana saya mahu lawan?" Meng Hao menjawab dengan tercungap-cungap juga. "Kalau awak terus kejar saya, saya memang tiada pilihan lain." Dia menelan sebiji pil ubat lagi.

Di dalam hidup Zhou dan Yin, mereka tidak pernah berjumpa dengan seseorang yang tidak bertimbang rasa seperti Meng Hao. Kedua-duanya berasa kesal di hati mereka. Kalaulah mereka tahu perkara ini akan jadi begini, mereka pasti takkan mengejar Meng Hao untuk merampas pil itu.

Masa kian berlalu dan masa untuk jampi penyalut pada pil itu terurai hampir tiba. Yin Tianlong mengeluh panjang. Dengan gelak tawa dan senyuman kelat, dia menggeleng kepalanya. Dia sudah tidak boleh berbuat apa-apa. Dia tidak boleh mengejar atau menyerang kerana dia akan terpaksa berdepan dengan haiwan-haiwan Syaitan itu pula nanti. Pil ubatnya sudah habis dan dia telah kehilangan dua bilah pedang terbang. Macam mana dia mahu merampas pil itu lagi...? Itu belum diambil kira dengan taktik pihak lawannya. Ilham bernas dan jahat pihak lawannya seperti tiada kesudahan. Cuai sedikit pun sudah boleh membawa padah.

Sambil merah padam menahan malu, dia memandang Meng Hao sekali lagi. Kemudian dia berpaling dan mula menuruni gunung itu. Akhirnya dia terpaksa mengibarkan bendera putih.

Setelah dia pergi, Zhou Kai buntu, tidak dapat memutuskan apa-apa. Subuh sudah menjelang dan tempoh dua puluh empat jam itu juga telah tamat. Maka, penyalutan pil ubat itu terurai di dalam beg sakti Meng Hao. Zhou Kai menghentak kakinya kemarahan. Kemudian, tanpa sepatah kata pun, dia berpaling dan pergi. Kini dia sudah tahu yang sukar untuk menangani Meng Hao. Malah, ada sekelumit rasa takut di dalam hatinya yang terfikir jika dia tidak tinggalkan tempat ini sekarang, mungkin dia langsung takkan dapat pergi dari sini.

Meng Hao melihat mereka berdua pergi dan bergerak menuruni gunung itu. Dia mengeluh panjang dan berasa sangat letih seperti tiada setitik tenaga pun. Dia mengigit lidahnya dan menjadi segar sedikit. Kemudian dia bergerak pantas hingga jauh dari sana. Dia tidak keluar dari gunung hitam, tetapi menuju ke puncak gunung. Terdapat ular sawa Syaitan di sana, tetapi sebenarnya ia agak selamat. Itu kerana ular sawa itu memerlukan masa untuk berubah sepenuhnya dan bunyi gemuruh ular sawa itu menakutkan haiwan Syaitan lain daripada menghampirinya.

Meng Hao terjumpa rekahan di antara batu-batan itu dan duduk bersila. Dia melirik pada beg saktinya dan tiba-tiba dia berasa khuatir.

"Aku sudah bazirkan banyak pil ubat. Setiap sebiji bernilai sebiji Batu Rohani. Semuanya termasuk tiga puluh tujuh pedang terbang dan lebih daripada empat puluh Teras Syaitan, jumlahnya seratus sembilan puluh lapan Batu Rohani. Seratus sembilan puluh lapan." Tubuhnya gementar dan dia berasa sangat kecewa.

"Syukurlah, masa dua puluh empat jam sudah tamat," dia bersuara dan cuba menenangkan dirinya, "dan Pil Rohani Kering milik saya." Dia memaksa mindanya menjadi kosong dengan melenyapkan kekecewaannya. Kemudian, setelah melihat sekeliling untuk memastikan semuanya selamat, dia mengeluarkan cermin tembaga itu dan mula membuat salinan Pil Rohani Kering itu.

Matahari sudah tegak di atas kepala dan Meng Hao memandang ke bawah pada pil-pil di tangannya. Sepuluh biji Pil Rohani Kering. Dia tersenyum. Tetapi senyuman itu seperti dipaksa-paksa kerana riak wajah kekecewaan masih terpancar di wajahnya. Terlalu banyak Batu Rohani terpaksa digunakan untuk menyalin Pil Rohani Kering. Lebih banyak daripada yang diperlukan untuk Teras Syaitan. Kini dia sudah faham kadar penukaran cermin tembaga itu.

Dia mengetap rahangnya dan terus memasukkan sebiji pil itu ke dalam mulutnya.

"Peringkat kelima Pemekatan Qi! Saya mesti capai peringkat kelima!" Matanya menjadi merah, dipenuhi dengan ketekadan yang takkan luntur. Dia duduk bertafakur dan mula mengasimilasikan asas Pertapaannya. Bunyi letupan bergema menerusi tubuhnya sewaktu tenaga rohani tidak terhingga meledak keluar dari Pil Rohani Kering itu dan menyebabkan kuasa rohani di dalam badan Meng Hao berpusar ligat hingga tersebar keluar ke semua arah dengan tiba-tiba.

Masa beredar dengan perlahan dan beberapa hari sudah berlalu. Mata Meng Hao masih terpejam. Sewaktu dia berjaya menembusi dan mencapai peringkat kelima Pemekatan Qi, gunung hitam itu dipenuhi dengan bunyi gemuruh ular sawa. Ia mengalami perubahan seperti Meng Hao, seperti sudah mencapai titik penentuan kritikal.