Chereads / Encik CEO, Manjakan Aku 100 Peratus! / Chapter 86 - Saya Perlukan Bantuan Kamu untuk Bunuh Seseorang

Chapter 86 - Saya Perlukan Bantuan Kamu untuk Bunuh Seseorang

Xinghe duduk di sebuah kerusi kayu yang usang. Matanya menunjukkan ekspresi yang lembut dan semulajadi.

Dia seolah-olah sedang berada di sebuah rumah yang biasa, bukannya rumah yang hampir-hampir roboh.

Xiao Mo melihat ketenangan di dalam matanya dan dia sendiri turut berasa tenang.

Dia bertanya soalan yang menganggu fikirannya, "Siapa kamu ini dan kenapa kamu tolong saya?"

Dia tidak naif untuk memikirkan yang bantuan Xinghe itu tidak bersyarat.

Tambahan pula, 20000 RMB bukanlah jumlah wang yang kecil. Mustahil seseorang boleh membelanjakan wang sebanyak itu begitu sahaja, kecuali orang itu teramat kaya.

Tetapi, orang kaya pun tidak melakukan kerja amal secara percuma.

Mereka tidak mempunyai sebarang ikatan antara satu sama lain. Jadi, mustahil dia membantu tanpa sebarang sebab.

Xinghe tidak perlu berpura-pura dan menyembunyikan niat sebenarnya. Dia berkata, "Nama saya Xia Xinghe. Saya membantu kamu kerana saya perlukan kerjasama daripada kamu."

"Kerjasama daripada saya?" Xiao Mo terkejut. "Kamu nak saya buat apa?"

Dia ketawa dan menambah, "Kamu pasti kaj kamu mencari orang yang betul? Saya rasa saya ini bukannya siapa-siapa pun."

Dia tidak berbohong. Daripada segi aset, Xiao Mo tidak mempunyai satu sen pun.

Xinghe memberikannya pandangan yang tajam dan berkata, "Cuba kamu yakin sedikit pada diri sendiri. Kamu orang yang saya cari. Saya menawarkan peluang kerjasama ini pada kamu kerana kamu satu-satunya orang yang memiliki kemahiran yang saya perlukan."

Xiao Mo keliru. "Saya tidak faham apa maksud kamu. Apa kata kamu berterus-terang sahaja? Saya jamin saya akan bantu jika saya mampu," katanya.

"Saya suka seorang lelaki yang berterus-terang," puji Xinghe dengan senyuman di bibirnya.

Perasaan sedih kelihatan pada bibir Xiao Mo sewaktu dia menjawab, "Kehidupan saya sudah sampai ke jalan buntu. Saya sudah tak berdaya lagi untuk bermain-main. Jadi, saya lebih suka jika kamu terus-terang sahaja. Jangan risau, saya sudah cukup terdesak sekarang dan saya akan terima apa sahaja tawaran kamu. Tapi, biar saya beritahu terlebih dahulu, saya tidak akan lakukan apa-apa yang melanggar etika seorang manusia." Xiao Mo tegas menekankan yang itu merupakan sesuatu yang tidak akan sesekali dilakukannya.

Xinghe menjongketkan keningnya dan berkata, "Kehidupan kamu sudah seteruk ini, apa gunanya kamu terus berpegang teguh pada akhlak baik lagi?"

Muka Xiao Mo bertukar muram. Adakah mungkin kerjasama yang dimaksudkannya ini merupakan sesuatu yang tidak bermoral?

Tetapi, mungkin juga dia bergantung kepada keadaan terdesak yang dialaminya sekarang.

Seorang lelaki yang terdesak ialah seorang lelaki yang merbahaya.

Namun, gerak hati Xiao Mo mengatakan yang wanita luar biasa di hadapannya ini tidak akan terlibat dengan aktiviti jahat.

Tetapi ia sekadar gerak hatinya sahaja. Dia tidak mempunyai bukti kukuh.

"Jika begitu, saya terpaksa meminta kamu beredar. Kamu betul, kehidupan saya sekarang sangat teruk, tetapi saya lebih rela membunuh diri daripada melakukan sesuatu yang mencabuli hak manusia," kata Xiao Mo dengan penuh tegas. Pendiriannya tidak akan berubah.

Xinghe tidak mempedulikannya dan melihat ke arah sekelilingnya.

Pandangannya singgah pada sebuah katil kayu usang yang ditolak ke dinding.

Katil itu hampir-hampir roboh akibat daripada kesan kebakaran, tetapi telah diperkuatkan dengan papan kayu. Pandangan Xinghe tertumpu pada seorang wanita yang bersembunyi di penjuru dinding.

Wanita berambut kusut masai itu memeluk lututnya dan merenung ke arah luar dengan mata yang tidak berperasaan.

Xinghe sudah agak lama berada di dalam bilik, tetapi wanita itu tidak menunjukkan sebarang tanda yang dia menyedari kehadiran Xinghe. Tidak kira apa yang mereka bicarakan, wanita itu duduk diam seperti anak patung.

Dengan matanya yang masih tertumpu pada wanita itu, Xinghe bertanya, "Bagaimana jika saya tawarkan kehidupan mewah untuk adik kamu dengan syarat kamu bantu saya membunuh seseorang. Macam mana?"

Mata Xiao Mo terbeliak mendengarkan kata-kata Xinghe.