Chereads / Encik CEO, Manjakan Aku 100 Peratus! / Chapter 71 - Sokongan Lin Lin

Chapter 71 - Sokongan Lin Lin

Kiasan ini bermaksud Xinghe tidak peduli tentang Mubai.

Dia tidak hadir dengan niat untuk menggoda Mubai.

Puan Tua Xi sangat marah dengan sikapnya yang angkuh. Berani Xinghe berfikir anaknya, Mubai, tidak cukup bagus baginya.

"Saya tidak peduli apa niat kamu untuk hadir ke sini hari ini tetapi saya mahu kamu ingat, kamu tidak akan pernah kembali bersama Mubai semula. Dan jangan kamu berani melibatkan Lin Lin dalam rancangan jahat kamu ini. Kalau tidak, siap lah kamu saya kerjakan!"

Pinggan yang dipegang Lin Lin jatuh berderai ke lantai dan keknya terpercik ke seluruh sut yang dipakainya.

Apa yang berlaku, berjaya mengalihkan perhatian daripada suasana yang semakin tegang.

Puan Tua Xi segera menarik Lin Lin ke sisinya dan membersihkan kotoran pada bajunya. "Lin Lin, apa yang terjadi ini? Kenapa kamu cuai sangat?"

"Nenek….takut." Lin Lin memandang ke arahnya dengan mata yang sedikit terketar-ketar ketakutan.

Puan Tua Xi sedar dengan perbuatannya, kata-kata kasarnya telah mengejut kanak-kanak itu.

Suaminya memberi arahan dengan menderam perlahan. "Cepat bawa budak itu untuk tukar baju. Tidak cukupkah apa yang dilihat tetamu setakat ini?"

"Lin Lin, jom" kata Tianxin sambil menarik tangan Lin Lin. Tetapi, Lin Lin menjauhkan diri daripadanya dan mencapai tangan Puan Tua Xi.

Puan Tua Xi berasa gembira kerana Lin Lin telah memaafkannya.

Dia memeluk Lin Lin dan membawanya pergi menukar baju. Pertelingkahannya dengan Xinghe terus dilupakan. Tuan Tua Xi juga turut sama beredar.

Lin Lin memandang Xinghe dengan perasaan penuh kerinduan pada matanya.

Xinghe membalas pandangannya dan dia turut merasakan perasaan yang sama.

Hari ini merupakan kali pertama mereka bertemu semula selepas tiga tahun berpisah tetapi mereka tidak dapat berbual panjang.

Mereka tidak mempunyai peluang untuk mengenali satu sama lain.

Tetapi sekurang-kurangnya, dia tahu anaknya mengambil berat tentangnya.

Xinghe tidak bodoh, dia dapat merasakan Lin Lin ingin melindunginya.

Lin Lin merupakan penjaganya sejak dia tiba di majlis ini. Dia tahu Lin Lin sengaja menjatuhkan pinggan itu untuk meredakan kemarahan Puan Tua Xi.

Anak lelakinya telah banyak membantunya tetapi dia tidak pernah melakukan apa-apa untuk anaknya itu.

Ia membuat Xinghe lebih nekad untuk berjuang demi mendapatkan hak penjagaan. Dia tahu yang Keluarga Xi melayan Lin Lin dengan baik, tetapi masalahnya Mubai akan mendapat lebih banyak anak selepas berkahwin dengan Tianxin.

Xinghe boleh memberikan sepenuh perhatian kepada Lin Lin seorang. Tetapi perhatian Mubai akan terbahagi antara Lin Lin dan bakal adik beradik tirinya.

Tambahan pula, bukannya dia tidak tahu perangai sebenar Tianxin. Mana mungkin dia biarkan Lin Lin dianiaya oleh perempuan jahat itu.

Tetapi terlebih dahulu, dia perlu memastikan yang dia mampu memberikan Lin Lin segalanya yang mampu diberikan oleh Keluarga Xi!

Dia hanya mahu yang terbaik untuk anaknya. Hanya itu yang mampu dilakukannya buat masa ini.

Xinghe membulatkan tekad, dia bangun untuk beredar...

"Xia Xinghe," tiba-tiba Mubai memanggilnya. Xinghe memperlahankan langkah dan berpaling dengan tidak sabar. Sepasang mata yang tidak berperasaan merenung ke arahnya.

Dia benar-benar tidak mempunyai perasaan apa-apa padanya lagi.

Perkara ini membuatkan Mubai berasa jengkel.

"Saya menjemput kamu datang hari ini semata-mata demi Lin Lin sahaja. Tidak ada maksud tersembunyi."

Dengan kata lain, dia tidak mahu Xinghe terasa hati dengan apa yang dikatakan oleh ibunya.

Xinghe menjawab dengan sopan, "Saya bersedia menghadapi semua kritikan sebaik saja saya menerima jemputan ini. Jadi, kata-kata mereka tidak mengganggu saya sedikit pun. Oleh itu, kamu tidak perlu risau."

Xinghe berpusing dan melangkah pergi. Mubai memandang dia berlalu pergi. Matanya bersinar dan wajahnya tersenyum nakal.

Sebenarnya, dia agak ketagih dengan perang mulut yang pernah dihadapi antaranya dan bekas isterinya.

Ini agak pelik kerana dia tidak pernah menganggap Xinghe begitu menarik sekali sebelum ini.