Chereads / Encik CEO, Manjakan Aku 100 Peratus! / Chapter 66 - Menakjubkan

Chapter 66 - Menakjubkan

Xi Lin ingin menghalang kejutan jahat terhadap emaknya.

Malangnya Xinghe telah sampai ke pintu masuk dewan tersebut. Beberapa orang jemputan sudah sedar akan kehadirannya.

Satu idea muncul di dalam fikiran Xi Lin. Dia segera bergegas ke hadapan dan menarik tangan Xinghe.

Xinghe yang terkejut melihat ke bawah akibat sentuhan secara tiba-tiba daripada Xi Lin dan bertemu dengan sepasang mata yang berbentuk seperti matanya juga!

Ini ialah pertemuan pertama mereka sejak perpisahan mereka tiga tahun yang lepas.

Dalam memori Xi Lin juga, ini ialah kali pertama dia melihat ibunya.

Kali pertama Xia Xinghe bertemu dengan anaknya apabila dia sudah membesar…

Walau bagaimanapun, pertalian ibu dan anak ialah sesuatu yang semula jadi dan Xinghe mampu mengenalinya dengan hanya sekilas pandang.

Xinghe merenung anaknya yang memegang tangannya dengan hairan sekali dan air mata mula berkilauan pada matanya.

Xinghe hilang ketenangan yang biasa dipamerkannya.

Dia tidak sangka ini akan terjadi. Seorang budak lelaki akan bergegas memegang tangannya dan budak itu adalah Xi Lin.

Anak berharganya - Lin Lin!

"Tuan Xi, kami masih tidak dapat menemui Tuan Muda Xi!" Pengawal peribadi mendekati Mubai dan berbisik kepadanya. Mereka telah mencari seluruh hotel tetapi Xi Lin masih tidak ditemui.

Kening tajam Mubai berkerut, suaranya bertukar menjadi lebih dalam apabila dia berkata, "Pergi ambil semua rakaman keselamatan, cari dia tidak kira apa yang berlaku!"

"Baik…" Pengawal peribadi bergerak mematuhi arahan Mubai.

Puan Tua Xi diamuk rasa risau. "Ke mana Lin Lin telah pergi? Adakah sesuatu yang tidak baik telah berlaku kepadanya?"

"Mak Cik jangan risau, saya pasti Lin Lin baik-baik sahaja. Dia hanya pergi bermain ke suatu tempat dan saya pasti dia akan muncul tidak lama lagi," Tianxin menenangkan Puan Tua Xi dengan baik sambil memastikan ayatnya membakar amarah wanita itu.

Semua orang amat bimbang tentang Xi Lin.

Jika semua kekecohan ini terjadi semata-mata kerana dia ingin bermain, maka hukuman yang bakal menantinya akan menjadi teruk sekali.

Puan Tua Xi yang termakan dengan kata-kata Tianxin mula meradang dengan segera, "Jika ini idea kenakalannya, maka dia perlu diajar satu pengajaran yang serius apabila ditemui!"

"Marilah kita mencari dia dahulu," Tuan Tua Xi yang bimbang turut menawarkan pendapat.

Yang paling risau adalah Mubai.

Lin Lin ialah anak tunggalnya, dia tidak akan membiarkan apa-apa yang buruk terjadi kepadanya!

Kecemasan memenuhi hatinya. Apabila dia bangun untuk mencari Lin Lin lagi, dia kedengaran jeritan teruja daripada pengawal peribadinya.

"Sudah jumpa dia! Kami sudah jumpa Tuan Muda Xi!"

Mubai dengan cepat memalingkan kepalanya ke arah suara tersebut. Dia terkejut apabila bukan sahaja Lin Lin malah Xia Xinghe telah muncul dalam pandangannya!

Xia Xinghe yang berbeza sekali dalam gaun merahnya yang cantik.

Xia Xinghe yang berjaya menawan pandangan setiap orang dalam dewan tersebut.

Mata semua orang dalam dewan tersebut terbuntang kehairanan dan takjub.

Mereka bagaikan dihipnosis dengan keindahan semula jadinya.

Mereka juga telah dilemahkan dengan auranya yang mengagumkan. Setiap gerak langkah Xia Xinghe seolah-olah memberitahu semua, seorang ratu telah tiba.

Xinghe tidak mengendahkan semua renungan daripada orang dalam dewan tersebut bagaikan air yang dicurahkan ke daun keladi.

Dia menganggap setiap orang di situ bagai objek tidak bernyawa.

Dia telah mempesonakan hampir setiap orang dalam dewan tersebut dan salah seorang yang hampir menjadi buta kerana pesonanya adalah Chu Tianxin.

Tianxin ternganga sambil merenung Xia Xinghe tanpa mengelipkan mata, dia fikir dia sedang berhalusinasi.

Itukah Xia Xinghe? Sesuatu mesti tidak kena dengan mata saya…

Ini tidak mungkin. Ini tidak mungkin Xia Xinghe kerana Xia Xinghe tua dan hodoh!