Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 11 - Terbongkar Di Khalayak Ramai (3)

Chapter 11 - Terbongkar Di Khalayak Ramai (3)

"Kamu tahu sama ada saya sengaja mereka-reka cerita atau ia benar." Su Qianci merenung dingin ke arahnya.

Tang Mengying melihat ke dalam mata perempuan itu dan berasa gementar. Pada saat itu, seakan-akan sesuatu telah keluar daripada pandangan mata Su Qianci dan menikam dirinya.

Itu adalah kebencian!

Kebencian yang tebal seperti darah dan meresap dalam sehingga ke tulang. Tetapi, apabila Tang Mengying melihatnya semula, semuanya telah hilang. Ianya seperti semuanya adalah ilusi semata-mata.

Atau ia benar-benar ilusi?

Su Quanci menahan perasaannya untuk memusnahkan Tang Mengying dan berkata dengan nada yang tenang, "Isteri Encik Ai merupakan orang Arab dan maksud namanya adalah kebahagiaan. Jadi, setiap kali selesai menjahit pakaian wanita, dia akan meninggalkan tanda pada bahagian kolar, yang bermaksud kebahagiaan."

"Bohong! Kamu tahu bahasa Arab?" Puan Tang mengherdik.

"Lihatlah sama ada saya berbohong ataupun tidak." Su Qianci menunjukkan bahagian kolar tersebut.

Melihat huruf-huruf yang berwarna hitam padanya, Puan Tang terus berkata, "Ini cuma sulaman ringkas. Bagaimana kamu boleh buktikan ia adalah bahasa Arab?"

Su Qianci telah menjangkakan soalan tersebut dan memanggil, "Liu Sao."

Liu Sao yang merupakan orang gaji dalam rumah itu amat terkejut melihat betapa tenangnya Su Qianci. Dia yang dipanggil secara tiba-tiba terus menjawab. "Saya di sini."

"Boleh tolong panggilkan Sicheng ke mari?" Kemudian, dia melihat ke arah Puan Li, "Ibu boleh memilih untuk tidak mempercayai saya. Tetapi ibu perlu mempercayai anak lelaki ibu sendiri. Dia tahu lapan bahasa asing, dan mungkin bahasa Arab adalah salah satu daripadanya."

Puan Tang berasa cemas dan menjerit, "Apa maksud kau?! Kau fikir Mengying berbohong?!"

Su Qianci mendengus, "Saya tidak tahu sama ada dia berbohong ataupun tidak. Tetapi ini memang hasil jahitan Encik Ai."

"Lupakan saja, ibu," kata Tang Mengying. "Qianci, ini cuma perkara kecil. Mengapa kamu perlu bersikap sangat agresif? Jika kamu mahu fikir begitu, kita anggap sahaja ia benar."

"Tidak." Hati Su Qianci menggeletar. "Ia memang bukan perkara besar untuk kamu, tapi kata-kata ibumu itu sangat melukakan hati."

Tang Mengying terus terdiam dan merenung ke arah ibunya seakan menyalahkannya. Semua orang mendengar kata-kata Puan Tang dan ianya memang melampau. Tiada siapa merasa Su Qianci patut dipersalahkan. Puan Li turut merasa sedikit geram. Walaupun dia memang tidak menyukai Su Qianci, Su Qianci tetap merupakan menantunya. Apabila Su Qianci dimarahi sedemikian rupa, dia turut kehilangan air muka.

"Jika saya terbukti berkata benar nanti, Puan Tang harus meminta maaf kepada saya," ujar Su Qianci.

Puan Tang berasa kecewa. "Untuk apa?"

"Puan tidak berani, bukan? Puan takut saya dedahkan segala pembohongan puan?"

Puan Tang merasa sangat kecewa. Jika dia berkeras terhadap Liu Sao untuk tidak memanggil Li Sicheng, dia seolah-olah mengaku bahawa dia telah berbohong. Jika begitu, bukan sahaja reputasi dirinya yang akan tercalar, tetapi juga reputasi seluruh keluarga Tang dan Tang Mengying juga akan terkena akibatnya.

Namun, jika Li Sicheng datang dan mengenalpasti bahawa perkataan itu bermaksud kebahagiaan dalam bahasa Arab, apa lagi seterusnya? Su Qianci mengatakan bahawa Li Sicheng tahu berbahasa sebanyak lapan jenis bahasa asing. Tetapi, mungkin bahasa Arab bukan salah satu daripadanya?

Puan Tang mengetapkan giginya dan berkata lantang, "Mengarutlah. Siapa yang takut?"

"Jadi, pergilah panggil Li Sicheng," Puan Li akhirnya berkata, "Biarlah dia melihat sama ada itu benar atau tidak supaya kamu dapat jawapan yang kamu tunggu."