Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 902 - Perkahwinan

Chapter 902 - Perkahwinan

Sebenarnya Shen Manting sudah terlebih dahulu bercakap dengan Qiao Ziqing tentang cadangannyan untuk perkahwinan itu dilangsungkan pada tahun ini.

"Idea yang bagus!" kata Qiao Ziqing. Dia tersenyum dan mengangguk ke arah Shen Manting. "Masih ada tiga hingga empat bulan sebelum Festival Musim Bunga, jadi masih sempat untuk kita mulakan persiapan majlis kahwin kamu. Kalau begini, mungkin Auntie akan dapat pegang cucu tahun depan?"

Shen Manting tunduk dengan malu-malu dan menjeling ke arah Ou Ming.

Qiao Ziqing ketawa melihatnya. Dia berasa seronok mengusik Shen Manting. "Kamu benar-benar gadis pemalu. Kenapa kamu malu tentang perkahwinan? Kita akan putuskan hari ini, dan esok Auntie akan hubungi seseorang untuk maklumkan tarikh perkahwinan itu."

"Kenapa kamu tergesa-gesa untuk berkahwin?" Ou Ming telah selesai makan. "Saya sedang uruskan projek pelaburan luar negara. Saya sangat sibuk sejak akhir-akhir ini. Rasanya saya tak akan ada masa untuk fikirkan tentang majlis kahwin."

"Kamu tak perlu risau," kata Shen Manting sambil tersenyum lebar. "Saya tahu kamu sibuk. Serahkan saja urusan perkahwinan itu kepada saya. Adik saya juga banyak masa lapang, jadi saya dah minta dia datang untuk bantu saya."

"Adik kamu?"

"Ya, Shen Zhilie. Kamu pernah jumpa dia."

Shen Zhilie ialah adik Shen Luo'an. Seperti Shen Luo'an, Shen Zhilie juga merupakan seorang doktor, tetapi khusus dalam bidang psikologi.

"Oh." Ou Ming meletakkan penyepitnya ke bawah. Dia memandang wajah Shen Manting yang ceria dengan perasaan jengkel yang tidak dapat diluahkan dan berkata, "Manting, saya belum bercadang untuk berkahwin sekarang. Kerjaya saya masih di peringkat permulaan. Tolong tunggu sedikit masa lagi."

"Ou Ming, saya dah tak boleh tunggu lagi. Saya dah tunggu selama empat tahun untuk berkahwin dengan kamu. Jika kamu mahu saya tunggu lebih lama, kamu memang pentingkan diri sendiri. Kamu mahu saya mati tahun depan?" kata Shen Manting lalu menjebikkan bibirnya dan membuat riak muka seakan hampir menangis. 

Sebaik sahaja melihat perkara itu, Qiao Ziqing berasa marah dengan sikap Ou Ming dan berkata, "Kamu dah bazirkan tahun-tahun terbaik Manting. Mama sangat marah dengan kamu! Lihatlah diri kamu sendiri. Kamu dah berumur 31 tahun tapi belum berkahwin. Sedangkan Li Sicheng dah ada anak kembar! Tempoh hari waktu kembar itu datang, mereka panggil Mama "Nenek". Kamu patut malu kerana lebih pentingkan kerjaya berbanding bina keluarga. Kamu dah kecewakan Mama!" 

"Mama…" Ou Ming mula merasakan kepalanya pening.

Qiai Ziqing memotong kata-kata anaknya, "Apapun, kamu tak perlu risau tentang perancangan perkahwinan itu. Manting dan Mama akan uruskan semuanya supaya kamu boleh fokus kepada kerja kamu. Mama bersetuju dengan Manting yang perkahwinan itu perlu berlaku pada tahun ini!"

Shen Manting memegang lengan Puan Ou dan berkata, "Auntie…"

Qiao Ziqing menepuk tangan Shen Manting dan berkata, "Manting, keluarga Shen sentiasa layan Auntie dengan baik, jadi percaya cakap Auntie yang Auntie tak akan biarkan Ou Ming sia-siakan kamu."

Shen Manting sangat gembira mendengar kata-kata itu. Dia mengangguk dengan puas.

Ou Ming terkejut dan terdiam. Dia berdiri lalu mengambil kotak rokoknya dan sedang berjalan keluar dari ruang makan ketika ayahnya berjalan masuk. Ou Huojin masuk dengan wajah yang keletihan selepas melalui perjalanan yang panjang. 

Sebaik sahaja melihat suaminya, Qiao Ziqing terkejut dan berkata, "Kamu dah pulang? Saya ingat kamu pulang esok!"

Ou Huojin kelihatan hebat untuk usianya. Walaupun sudah berusia 50 tahun, dia masih kelihatan seperti baru hendak memasuki usia 40 tahun.

Mendengar suara Qiao Ziqing, riak wajah Ou Huojin bertukar lembut. Dia menghampiri isterinya dan berkata, "Apabila saya dengar Manting datang, saya cuba siapkan kerja dengan pantas. Kamu nampak gembira, apa yang kamu semua bualkan?" 

"Kami sedang berbincang tentang perkahwinan," jawab Shen Manting sambil tersenyum seperti sekuntum bunga.

Ou Huojin mendengar penjelasan Shen Manting tentang apa yang telah dibincangkan, kemudian menoleh ke arah Ou Ming dengan agak terkejut. "Anakku, akhirnya kamu sedar kamu dah terlalu tua untuk tangguhkan lagi perkahwinan kamu!"

Ou Ming menggenggam kotak rokoknya dengan kuat. Dia berasa semakin marah apabila mendengar kata-kata ayahnya. Dia memerlukan masa untuk berfikir dan mengawal perasaannya kembali. Dia tidak menyembunyikan anginnya yang tidak baik ketika berkata, "Saya mahu keluar untuk merokok."