Selepas menghantar tetamu luar negara mereka keluar, Xu Cheng memberitahu Ou Ming tentang panggilan ibunya.
Kemudian Xu Cheng teragak-agak seketika sebelum berkata, "Cik Shen pun telefon Bos tadi. Bos sedang mesyuarat, jadi saya beritahu dia supaya jangan ganggu Bos. Saya rasa Cik Shen ada sesuatu untuk diberitahu."
Xu Cheng tidak begitu mengenali Cik Shen. Namun berdasarkan pemerhatiannya ketika mereka bertemu, dia mengagak tidak mustahil Shen Manting mendapat tahu tentang Yu Lili dan telah mengadu kepada ibu Ou Ming.
"Okey, saya akan uruskannya. Kamu lakukan kerja kamu." Ou Ming mengeluarkan telefon bimbit dan terus menghubungi ibunya.
Ibu Ou Ming kelihatan seperti sedang sibuk. Telefon itu berdering agak lama sebelum dijawab, "Helo Xiaooou."
"Mama, ini saya."
"Manting datang ke Kingstown hari ini. Kamu patut pergi jemput dia!"
Mendengar kata-kata ibunya itu, Ou Ming diam seketika sebelum berkata, "Mama, saya sangat sibuk. Saya tak ada masa untuk lakukannya. Bukankah dia memang dah ada di Kingstown? Dia datang ke pejabat saya kelmarin. Kenapa tiba-tiba di ada di luar bandar?"
"Dia beritahu Mama dia ada di Bandar Zhou, agak jauh dari Kingstown," kata ibu Ou Ming dengan nada penuh makna. "Mama tahu kamu sibuk, tapi kamu tak boleh tak hiraukan perasaan Manting. Dia tunang kamu! Sebaik saja dengar Mama tak sihat, dia terus mahu datang ke sini dari Bandar Zhou. Bila kamu jumpa dia, jangan lupa kawal panas baran kamu dan cuba layan dia dengan baik. Satu lagi, Mama dengar kamu belikan dia sebuah vila. Bagus! Manting gadis yang baik, kamu perlu layan dia dengan baik."
"Okey lah," kata Ou Ming dengan sedikit marah. "Saya akan minta seseorang jemput dia. Mama tak perlu terlalu risau tentang Manting. Saya sibuk sekarang, jadi saya letak dulu. Selamat tinggal."
Ibu Ou Ming berasa agak marah terhadap anaknya. Selepas panggilan itu ditamatkan, dia melepaskan keluhan. Dia membuka WeChat dan menghantar mesej kepada Shen Manting.
Mama Ou: Auntie dah suruh anak Auntie jemput kamu
Selepas membaca mesej itu, Shen Manting berasa amat gembira lalu membalas,
Shen Manting: Betul? Baguslah!
Mama Ou: Ya
Shen Manting: Terima kasih, Auntie!
Shen Manting berasa puas hati dengan dirinya.
Saya ada Mama Ou yang menyebelahi saya. Yu Lili pula hanya seorang anak yatim piatu. Tunggulah bagaimana saya akan uruskan dia!
*****
Yu Lili mengambil masa selama dua jam untuk menyiapkan karakter pertamanya. Karakter itu mempunyai hidung yang mancung, mata yang cantik dan sedikit jagat di bawah mata kirinya. Rambutnya amat bergaya dan menyerlahkan wajah kacaknya. Karakter itu tinggi, kurus dan memakai sut berwarna wain. Yu Lili melukis karakter itu itu sedang membongkok ke hadapan sambil memegang tali lehernya yang longgar. Sebelah tangan lagi diletakkan di dalam poket seluarnya. Karakter itu kelihatan sangat menarik.
Kacaknya!
Yu Lili amat bangga dengan ciptaannya itu.
Jika dibandingkan dengan gaya komik yang biasa, gaya lukisan Yu Lili lebih kemas dari sudut penampilan dan pakaian karakter. Tanpa disengajakannya, karakter itu kelihatan seperti Ou Ming dari pelbagai sudut.
Yu Lili tersenyum dengan puas hati dan menyimpan karakter itu.
Dia telah selesai lakaran untuk watak hero. Sekarang dia hanya perlu melukis watak heroin.
Yu Lili mengeluarkan telefon bimbitnya dan menggunakannya sebagai cermin. Dia tersenyum lembut dan merenung dirinya pada skrin. Kemudian dia mula melukis pada tablet grafik itu.
Kebanyakan heroin dalam komik ialah gadis cantik berambut panjang. Jadi, Yu Lili melukis dirinya dalam gaya yang paling cantik. Dia mempunyai rambut panjang berwarna coklat gelap, wajahnya kelihatan suci dan dia memakai gaun berwarna merah yang cantik.