"Kawan lama?" Yu Lili terus teringatkan Lu Yihan. Melihat riak wajah Ou Ming yang sukar ditafsir, Yu Lili berasa jengkel. Lelaki ini mahu menggunakan Lu Yihan untuk mengenakan saya? Apa yang dia mahu lakukan? Tidak cukup dengan membuli saya, dia mahu mengenakan Lu Yihan juga? Yu Lili merasakan Ou Ming sudah menjadi semakin tidak berhati perut. Namun Yu Lili mengetap bibirnya dan berkata, "Saya tak ada kawan lama. Saya tak popular di Kingstown."
"Jadi kamu popular di ibu kota?" tanya Ou Ming.
Yu Lili terkedu. Dia memandang Ou Ming dan tidak menjawab, sebaliknya tersenyum paksa. Ou Ming meminta Li Sicheng menelefon Luo Zhan. Setelah tiba di Palace One, mereka menempah bilik persendirian untuk makan dan berkaraoke. Selepas memesan makan, Su Qianci menyanyi bersama Yu Lili.
Lu Yihan dan Luo Zhan tiba serentak dengan makanan yang dipesan. Dua pasangan itu makan manakala Lu Yihan dan Luo Zhan menyanyi sementara menunggu mereka selesai makan.
Ou Ming menjadi orang pertama yang selesai makan. Dia mengelap mulutnya dengan perlahan dan elegan, kemudian mendekati Lu Yihan. Yu Lili yang melihat perkara itu berasa gementar. Dia memerhatikan Ou Ming kerana bimbang lelaki itu akan tiba-tiba menumbuk Lu Yihan.
Ou Ming turut memerhatikan Yu Lili, jadi dia menyedari riak wajah wanita itu yang berubah. Dia mendengus sinis dan duduk berhampiran Lu Yihan. Kemudian dia berkata, "Aku dengar kau ada projek baru, jadi sekarang kau sedang cari dana?"
Mendengar kata-kata itu, Lu Yihan menoleh dengan terkejut. "Ya, projek permainan telefon."
"Aku tahu, aku ada dengar sedikit tentangnya. Projek kau boleh tahan. Boleh kau ceritakan lebih lanjut?"
Lu Yihan tidak menyangka Ou Ming akan berminat dengan projek syarikat kecilnya. Jadi, dia suruh aku datang ke sini hanya untuk aku ceritakan tentang projek itu? Sebagai bos syarikat besar seperti Syarikat Ou, Ou Ming pasti sangat sibuk, tapi dia masih ada masa untuk beri perhatian kepada aku. Orang sepenting ini beri perhatian kepada aku?
Lu Yihan tahu pasti ada sesuatu di sebaliknya, namun sebagai pemilik syarikat yang kecil dan baru bermula, dia tidak akan melepaskan sebarang peluang. Tambahan lagi, kalau dia boleh bekerjasama dengan Syarikat Ou, dia akan dapat menikmati reputasi yang baik. Syarikatnya pasti akan mula dipandang oleh syarikat-syarikat lain. Dengan itu, masa depannya akan lebih terjamin. Tak dapat dinafikan jika dia benar-benar dapat bergantung kepada Syarikat Ou, dia tidak akan rugi.
Lu Yihan terus menceritakan maklumat lengkap tentang projeknya itu kepada Ou Ming. Disebabkan Luo Zhan sudah berhenti menyanyi, perbualan mereka dapat didengar oleh semua yang berada di situ.
Yu Lili berasa risau dan tiba-tiba mula faham mengapa Ou Ming mengajak Lu Yihan menyertai mereka. Lelaki itu sedang menunjukkan kuasanya kepada Yu Lili dan memberi amaran kepadanya pada masa yang sama. Jika Ou Ming tidak mahu syarikat Lu Yihan wujud, ia kerja yang amat mudah bagi lelaki itu. Ou Ming sengaja membantu Lu Yihan di hadapannya supaya Yu Lili tahu… dia boleh memusnahkan syarikat Lu Yihan bila-bila masa sahaja.
Yu Lili tidak bodoh. Dia meletakkan penyepit makanannya ke bawah dan kelihatan tidak senang duduk. Dua jam kemudian, Yu Lili dan Ou Ming telah tiba di vila Xishan. Sudah lama Yu Lili tidak berada di sini. Dalam diam dia merasakan dia agak merindui tempat ini.