Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 788 - Dia Terdesak

Chapter 788 - Dia Terdesak

Tok tok!

Yu Lili dikejutkan oleh bunyi ketukan di pintu. Dia tersedar dari alam mimpinya dan menyedari dia masih berada di hotel. Oleh kerana terlalu lama tidur, badannya terasa sakit-sakit. Dia bertanya, "Siapa tu?"

"Masa untuk daftar keluar. Dah jam 12 tengah hari, kenapa kamu belum bangun?!" Kata-kata itu dilontarkan dengan nada yang biadap. Lelaki itu terus mengetuk pintu bilik Yu Lili seakan-akan mendesaknya supaya segera mati.

Yu Lili berasa amat jengkel lalu turun dari katilnya dan menjerit, "Saya tahu, saya tahu. Saya keluar sekarang."

Lelaki yang mengetuk pintu itu pergi mengetuk pintu bilik yang lain pula. Selesai mengemaskan barang-barang, Yu Lili terus keluar dari motel itu bersama bagasinya. Setelah menemui satu kedai runcit untuk duduk, dia membeli secawan mi segera dan sebotol air. 

Sekarang dia mempunyai wang sebanyak 300 000 yuan tetapi masih kurang 200 000 untuk bayaran pampasan itu. Hanya tinggal tiga hari sahaja lagi, bagaimana mungkin dia dapat mencukupkan sehingga 500 000 dalam masa tiga hari?

Dalam situasi ini, satu-satunya cara yang tinggal ialah meminjam wang. Yu Lili mengeluarkan telefonnya dan membuka WeChat. Setelah membelek senarai kenalannya, dia teragak-agak sebentar sebelum menghantar mesej kepada Su Qianci.

[YuuuuuLi]: Qianqian, kamu sedang atas talian?

Yu Lili mula berasa menyesal sebaik menghantar mesej itu. Namun ketika dia mahu memadamnya, dia melihat Su Qianci sedang "menaip".

[Qianqian Su Ci]: Ya.

Yu Lili mengeluh perlahan kemudian menaip dengan terpaksa: Saya nak pinjam sedikit wang daripada kamu.

Tetapi jarinya yang sedang menaip mesej itu terhenti.

Su Qianci ialah isteri Li Sicheng dan Li Sicheng ialah sahabat karib Ou Ming.

Jika saya pinjam sedikit sahaja, pasti tak ada masalah. Tapi jika 200 000 yuan, saya risau Su Qianci akan mengesyaki sesuatu. Bagaimana jika dia beritahu Li Sicheng dan Li Sicheng beritahu kepada Ou Ming? Apa anggapan mereka terhadap saya?

Yu Lili bimbang Ou Ming akan ketawa sinis dan bertanya kepadanya, "Bukankah kamu kata kamu mahu bebas dan akan hidup dengan baik tanpa saya? Jadi apa yang kamu sedang lakukan sekarang?" 

Yu Lili dapat membayangkan riak wajah dan nada sinis Ou Ming. Hatinya berasa pedih dan dia memadam mesej yang telah ditaipnya itu.

[Qianqian Su Ci]: Ada apa-apa yang penting?

Yu Lili berasa agak sedih sebaik membaca mesej itu. Mengapa Su Qianci bertanya begitu? Adakah dia seorang yang tidak pernah menghantar mesej kecuali hanya apabila ada masalah?

Walaupun… Mungkin juga dia memang begitu…

Yu Lili berasa sedikit jengkel. Dia berfikir seketika kemudian membalas: Saya mahu bayar wang kamu kembali.

Dia terus memindahkan 5000 yuan kepada Su Qianci.

Su Qianci mengesahkan pemindahan itu dan membalas: Okey, dapat.

[YuuuuuLi]: [emoji nakal]

[Qianqian Su Ci]: Kalau ada apa-apa yang berlaku, jangan lupa minta tolong saya. Saya akan cuba tolong kamu sedaya upaya.

[YuuuuuLi]: [emoji nakal] Saya pulangkan kembali ayat itu untuk kamu. Jangan lupa hubungi saya!

[Qianqian Su Ci]: Dah tentu.

Selepas memberi mesej balas terakhir, Su Qianci melihat emoji yang dihantar oleh Yu Lili lalu tersenyum.

Li Sicheng yang sedang makan melihat senyuman itu lalu mendekati isterinya dan bertanya, "Siapa?"

"Lili." Su Qianci menunjukkan skrin telefonnya kepada Li Sicheng. "Waktu saya pergi ke Ireland untuk cari kamu, dia ada pinjam sedikit wang. Sekarang dia bayar kembali wang itu."

Li Sicheng melihat mesej itu sekilas pandang dan kelihatan agak terkejut. "Dia pinjam wang?"

"Ya, mungkin ada sesuatu yang penting, ataupun dia tak dapat keluarkan wang, jadi dia minta bantuan saya." Su Qianci menolak suaminya untuk duduk kembali. "Pergi makan, selepas ni kita perlu bawa anak-anak ke Ocean Park." 

"Saya tak mahu bergerak. Kamu suap saya."

"Tak mahu."

"Saya baru makan sedikit dan belum kenyang lagi."

"Makanlah sendiri."

"Suaplah." Li Sicheng mendekati Su Qianci lalu memeluk pinggangnya. "Saya lapar."