Kematian Tang Mengying menjadi topik terhangat. Selama beberapa hari seluruh negara membincangkan pengakhiran hidup wanita itu. Dalam masa dua bulan sahaja dia telah membunuh lapan orang. Tiga daripada mangsanya dibunuh di kampung terpencil, dua mangsa di sebuah pekan kecil dengan trafik yang tidak menyelesakan dan tiga lagi mangsa di Kingstown. Disebabkan jenayah besar yang dilakukan Tang Mengying dan mengambil kira situasi genting pada saat itu, polis tidak mengenakan sebarang tuduhan kepada Kapten Li kerana menembak penjenayah.
Puan Tang yang berada jauh di pusat pengasingan AIDS di Kingstown tidak dapat menerima kematian tragis Tang Mengying. Ditambah pula dengan kemurungan yang sudah lama dialaminya, akhirnya Puan Tang melemaskan dirinya di dalam tab mandi.
Tang Mengqing menjadi anak yatim piatu yang menanggung hutang yang sangat banyak. Apabila polis menyiasat, mereka mendapati Tang Mengqing telah menghilangkan diri sejak lebih setahun lalu tanpa sebarang kesan, seakan hilang begitu sahaja dibawa angin berlalu.
Tragedi keluarga Tang menjadi topik utama di semua portal berita, malah Weibo turut dipenuhi hantaran-hantaran mengenainya selama beberapa hari.
Sebelum berakhirnya cuti kebangsaan, Rong Anna dan Bo Xiao masih tidak dapat bertemu rakan kongsi yang dikatakan, tetapi wang mereka sudah hampir habis. Ketika Bo Xiao pergi ke bar, Rong Anna mengambil kad bank yang diberikan oleh Rong Rui dan berjalan secara diam-diam ke mesin ATM berdekatan.
*****
Cheng You sedang meriba anaknya sambil menyuapkan makanan. Rong Rui sedang makan dengan perlahan. Televisyen sedang menyiarkan tragedi mengerikan keluarga Tang.
Cheng You menonton berita itu sambil menjeling ke arah Rong Rui. Kemudian dia bertanya, "Apa pendapat kamu?"
"Em?" Rong Ru menghirup supnya dan dapat merasakan jelingan mencurigakan isterinya. Dia mengerutkan dahi. "Perlu lebih garam, tapi ini tetap sedap. Saya masih boleh hirupnya. Lain kali boleh tambah."
Cheng You memandang suaminya dengan tajam. "Siapa tanya tentang sup? Maksud saya apa pendapat kamu tentang keluarga Tang. Ada pandangan?"
Rong Rui mengambil kacang dengan penyepitnya. Dia tidak mengangkat wajahnya ketika berkata, "Apa pendapat saya? Mereka layak terima balasan yang lebih teruk."
"Bagaimana dengan Tang Mengying?"
"Dia dah bunuh lapan orang dan hampir bunuh anak dia sendiri. Apa gunanya hidup untuk manusia seperti itu?" Rong Rui meletakkan penyepitnya dan mengunyah makanan sambil memandang isterinya. "Tak kira apa kesusahan yang dihadapi, binatang juga tak akan bunuh anak sendiri. Perempuan itu letak pisau di leher Li Mosen. Kalau Kapten Li tak bertindak cepat, kamu rasa budak itu masih hidup?"
Jawapannya ialah ya.
Cheng You memandang suaminya dengan curiga dan mengangkat sebelah keningnya. "Kamu betul-betul fikir begitu?"
"Apa?" Rong Rui berasa tidak berdaya. "Hentikan. Perempuan seperti itu… Dulu saya buta kerana sukakan dia. Bila saya putuskan untuk bina hubungan dengan kamu, saya dah putuskan hubungan dengan dia sepenuhnya."
Adakah ia sewaktu di hospital itu? Cheng You tunduk dan menyuap anak kecilnya. Dia teringat kejadian ketika di hospital dan hatinya berasa agak tidak tenang.
[Aku cakap, aku akan jaga kau. Jangan risau.]
"Saya tak ada apa-apa perasaan pada kamu waktu itu. Saya dah lupa."
Rong Rui menambah lagi sup ke dalam mangkuknya. Mendengar kata-kata Cheng You, dia menaikkan sebelah kening dan mengangguk. "Akhirnya kita begini sekarang. Saya masih ingat kamu agak berang ketika itu dan tendang saya. Sakit."
Cheng You merenung suaminya itu tajam dan melemparkan bantal kecil ke arahnya.
Rong Rui berjaya menangkapnya lalu tersenyum. Ketika dia mahu mengatakan sesuatu, telefonnya bergetar menandakan ada mesej baru sahaja masuk.
[Bank Kingstown: Anda membuat pengeluaran 20 000 yuan dari mesin ATM. Baki di dalam akaun anda…]
Mata Rong Rui berubah.
Akhirnya, mereka kehabisan wang…