Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 751 - Kehidupan Ini atau Lain, Li Sicheng Tidak akan Dapat Melepaskan Diri

Chapter 751 - Kehidupan Ini atau Lain, Li Sicheng Tidak akan Dapat Melepaskan Diri

Wajah-wajah yang dikenalinya itu berdiri sambil memandang ke arahnya. Su Qianci tahu disebabkan dia memakai vel, ditambah cahaya di situ yang tidak terang, mereka mungkin tidak akan dapat melihat wajahnya, tetapi dia tetap berasa gementar. Wajahnya bertukar sedikit kemerahan. Su Qianci tunduk sedikit dan dibawa ke hadapan oleh Rong Haiyue. Ini adalah kali pertama dan terakhir Rong Haiyue akan menyerahkan anak perempuannya kepada menantunya.

Dahulu dia menyangka dia akan menghantar Rong Anna, gadis yang telah dibesarkannya selama lebih 20 tahun. Tetapi sekarang… anak yang memegang tangannya ialah anak kandungnya yang baru ditemui setelah lebih 20 tahun berlalu. Kerumitan hidupnya sudah cukup untuk membuatkan Rong Haiyue diselubungi pelbagai emosi. Dia memandang menantunya yang hebat di hadapan dan tidak dapat mencari apa-apa kekurangan pada lelaki itu, tidak kira daripada segi rupa paras ataupun kemampuan. Jika ada sesuatu untuk dikesali, ia adalah ketika Li Sicheng menghilangkan diri selama empat tahun ketika anak perempuannya amat memerlukan suaminya itu.

Syukurlah, segalanya berbaloi. Kebahagiaan akhirnya tiba buat mereka. Rong Haiyue menyerahkan tangan anak perempuannya kepada Li Sicheng. Beribu perkataan memenuhi hatinya, tetapi akhirnya ia bertukar menjadi satu pelukan yang penuh emosi. Dia menepuk belakang Li Sicheng dan berasa seakan hampir menangis. "Jaga dia baik-baik."

Li Sicheng menepuk perlahan belakang Rong Haiyue dan berkata, "Selagi saya hidup, saya tak akan buat dia menderita. Jika saya mati sekalipun, saya tak akan kecewakan dia." Kata-kata yang ringkas itu kedengaran amat bermakna.

Su Qianci mendengar kata-kata itu dan berasa terharu. Dia mendongak ke arah suaminya. Li Sicheng menyedari renungan itu dan turut memandang isterinya. Mata mereka bertemu dan ketika itu, perkara yang tinggal ialah perasaan mendalam yang hanya dapat difahami oleh mereka berdua.

Lagu perkahwinan dimainkan dengan semakin kuat oleh Song Yifan dan kumpulannya. Lagu yang indah itu seakan membelai telinga semua yang berada di situ dan menusuk ke dalam hati mereka. Masa seolah-olah bergerak perlahan dan semuanya kelihatan indah. Suara paderi kedengaran serius dan suci. Kedengaran bunyi puji-pujian daripada tetamu dan Su Qianci sedikit terpana.

Situasi ini memalukan dan mendebarkan, tetapi pada masa yang sama dia berasa amat gembira. Dia tidak tahu berapa lama paderi itu bercakap, tetapi tiba-tiba mendengar paderi itu memanggil namanya.

"Su Qianci, adakah kamu berjanji untuk menerima lelaki ini sebagai suami kamu yang sah, untuk bersama dan setia bermula hari ini sehingga selama-lamanya, dalam kesusahan, dalam kekayaan, dalam kemiskinan, ketika sihat ataupun sakit, sehingga maut memisahkan kalian?"

Su Qianci tersenyum sendiri mendengarnya. Li Sicheng sudah lama menjadi suaminya. Tidak kira pada kehidupan ini atau kehidupan yang lain, Li Sicheng tidak akan dapat melepaskan diri daripadanya. Dia telah mencintai lelaki itu sepanjang dua kehidupan. "Saya berjanji."

Para tetamu bersorak dan pipi Su Qianci bertukar kemerahan.

"Li Sicheng, adakah kamu berjanji untuk menerima wanita ini sebagai isteri kamu yang sah, untuk bersama dan setia bermula hari ini sehingga selama-lamanya, dalam kesusahan, dalam kekayaan, dalam kemiskinan, ketika sihat ataupun sakit, sehingga maut memisahkan kalian?"

Li Sicheng berdiri tegak dan berpaling ke arah Su Qianci lalu merenung ke dalam mata isterinya itu. Dia berkata dengan penuh takzim, "Saya berjanji."

Paderi itu memandang ke arah para tetamu dan mendepakan tangannya lalu bertanya, "Adakah kamu semua bersaksi kepada janji perkahwinan mereka?"

Kedengaran bunyi sorakan dan suara lelaki serta wanita bercampur lalu berkata serentak, "Kamu bersaksi!"

"Pengantin lelaki dan pengantin perempuan, sila bertukar cincin."