Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 734 - Menanti Panggilannya

Chapter 734 - Menanti Panggilannya

Apa maksud ini? Ke mana Lu Yihan pergi? Dia turut membawa bagasi dan pakaiannya tanpa memberitahu sesiapa. Adakah Lu Yihan pulang ke kampung? Atau pergi ke trip perniagaan? Atau dia pergi bercuti sempena cuti hari kebangsaan?

Luo Zhan berasa agak tidak senang hati. Adakah Lu Yihan… sedar perkara yang berlaku tengah hari tadi? Jadi... Tidak, ini kali pertama dia membuat perkara yang teruk itu! Tak mungkin dirinya bernasib semalang itu? Tambahan pula dia tidak berniat… dia hanya tidak dapat mengawal diri dan melakukan perkara itu di luar sedar. Luo Zhan berasa bersalah. Dia cuba menghubungi Lu Yihan lagi tetapi panggilannya tetap tidak dapat disambung. Kemudian dia membuka WeChat dan menghantar mesej: 'Kau ada di mana?"

Perbezaan masa antara China dan Ireland ialah lapan jam dan penerbangan ke sana mengambil masa selama beberapa belas jam. Ketika menerima mesej itu, Lu Yihan berada di lapangan terbang Dublin dan waktu di situ ialah jam 11.30 pagi. Sebaik membaca mesej itu, Lu Yihan merenungnya seketika dan menyedari waktu di China sekarang ialah jam enam pagi. Dia menghantar lokasinya kepada Luo Zhan sebelum meletakkan telefon itu kembali ke dalam poketnya dan bergerak ke hotel.

Luo Zhan terjaga mendengar bunyi mesej yang masuk. Dia terus membaca mesej itu. Sebaik melihat lokasi yang dihantar ialah Ireland, hatinya terasa dingin.

Perlukah bersembunyi sehingga sejauh itu… Pengecut betul…

Matanya sedikit sayu. Dia membalas mesej tersebut: 'Apa kau buat di sana? Melancong?

Tiada jawapan. Luo Zhan merasakan hatinya membeku dan seakan tersekat di kerongkongnya. Apa yang patut dia lakukan? Pasti Lu Yihan sudah tahu… Apa yang perlu dilakukannya selepas ini? Ketika Luo Zhan sedang kebingungan, telefonnya berdering.

Ia panggilan daripada Su Qianci.

Luo Zhan menjawab panggilan itu dengan fikiran yang menerawang. "Kakak ipar."

"Luo Zhan, kamu tahu ke mana Li Sicheng pergi untuk trip perniagaan?"

"Oh, dia ke trip perniagaan?" Luo Zhan benar-benar tidak tahu. "Dia tak beritahu kamu?"

Su Qianci sedikit kecewa apabila mendengar kata-kata Luo Zhan. "Tak, rasanya dia marahkan saya. Dia agak pelik sejak pagi semalam."

"Mustahil. Dia akan marah kepada sesiapa saja kecuali kamu. Kemungkinan besar dia memang perlu pergi. Jangan fikir terlalu banyak." Luo Zhan duduk di katilnya. "Kamu bawa anak-anak ke Maldives?"

"Ya."

"Dia tak ikut?"

"Ya…"

Luo Zhan turut berasa hairan. Dengan perangai Li Sicheng, bagaimana lelaki itu boleh pergi ke tempat lain seorang diri ketika keluarganya pergi bercuti? Luo Zhan mengerutkan dahinya lalu mengambil telefon bimbitnya yang lain dan cuba menghubungi Li Sicheng. Malangnya telefon itu telah dimatikan. Hai, apa yang berlaku dengan Li Sicheng dan Lu Yihan? Adakah mereka bersembunyi pada masa yang sama?

"Jika dia pergi ke trip perniagaan, pasti dia dalam kapal terbang sekarang. Nanti saya akan tanya dia. Jangan fikir terlalu banyak dan takutkan diri sendiri. Li Sicheng sangat berkebolehan, tak ada apa-apa akan berlaku kepada dia." Selepas mengatakannya, Luo Zhan tersedar dia mungkin tersilap anggap tentang kerisauan Su Qianci lalu menambah, "Dia hanya ada kamu dalam hatinya, jadi jangan bimbang."

"Terima kasih, Luo Zhan."

"Oh, tak ada apa-apalah! Jaga diri dan anak-anak kamu. Saya nak tidur sekejap. Selamat tinggal."

"Okey."

Selepas panggilan itu ditamatkan, hati Su Qianci berasa sedikit tenang. Luo Zhan juga berkata begitu. Jadi pasti Li Sicheng baik-baik sahaja, bukan? Jadi Su Qianci menanti selama tiga hari dengan mood yang tegang dan cuba menahan dirinya daripada menelefon Li Sicheng. Dia menanti kemarahan suaminya hilang dan menghubunginya. Walau bagaimanapun, Li Sicheng langsung tidak menelefon selama tiga hari itu walaupun sekali. 

Related Books

Popular novel hashtag