Suara Xu Jing dipenuhi penghinaan dan kebencian. Tambahan lagi nada menghinanya itu amat sukar untuk didengar! Sesiapa sahaja yang mendengar penghinaan sebegitu pasti berasa tidak gembira, apatah lagi seseorang seperti Yu Lili.
Yu Lili memandang wanita itu dengan riak wajah seolah-olah melihat sesuatu yang aneh. Kemudian dia berkata sinis, "120,000 saja? Mana-mana beg tangan aku jauh lebih mahal daripada itu!"
Semua orang di syarikat itu tahu Yu Lili memiliki banyak beg tangan dan setiap satunya berjenama mewah yang tidak sepadan dengan pakaian hariannya. Namun ia tetap sepadan dengan wajah dan aura Yu Lili.
Pada awalnya, semua orang berbisik-bisik tentang perkara itu, tetapi setelah agak lama mereka mula membiasakan diri. Pada masa yang sama juga, perkara itu membuatkan ramai mencemburui Yu Lili. Xu Jing termasuk salah seorang di antara mereka, tetapi dia tidak mampu memiliki beg-beg tangan semahal itu, apatah lagi suaminya.
Sebaik mendengar kata-kata Yu Lili, Xu Jing bertambah marah lalu menjerit, "Kenapa dengan perangai kamu ini?"
"Perangai kamu pula bagaimana? Kamu ingat kamu hebat sangat? Saya dilanggar kereta dan cedera. Kamu butakah?"
Sikap Yu Lili membuatkan Xu Jing semakin berang. "Saya bos kamu! Normallah kalau saya suruh kamu buat kerja!"
"Disebabkan kamu bos saya, saya bantu kamu untuk perkara yang tiada kaitan dengan kerja saya. Itu laptop peribadi kamu, bukan hak milik syarikat. Kamu paksa saya pergi ambilnya waktu kerja dan menyebabkan saya dilanggar kereta. Apa kamu nak cakap tentang itu?"
"Haha, kekarnya. Kamu ada apa-apa bukti yang kemalangan kamu ada kaitan dengan saya?"
Yu Lili menaikkan keningnya dan berkata sinis. "Jadi, kamu ada apa-apa bukti yang menunjukkan laptop kamu rosak di tangan saya?"
Kemarahan Xu Jing semakin membuak-buak. Dia membentak, "Beginikah cara kamu bercakap dengan bos?"
"Bos? Kamu cuma ketua jabatan. Jangan terlalu berlagak," kata Yu Lili sambil memandang Xu Jiang dengan dingin. "Waktu saya jadi pengarah di pusat pakaian Syarikat Ou, entah di kampung mana kamu berada!" Yu Lili sudah tidak boleh bersabar lagi. Dia telah mengalami terlalu banyak perkara buruk sejak empat tahun lalu.
Kawan yang disangkanya baik menipu dan mencuri kesemua wangnya. Dia akhirnya mendapat kerja dengan gaji yang baik, tetapi bertemu pula bos yang sebegini.
Xu Jing tidak begitu menjengkelkan sebelum ini, jadi Yu Lili memutuskan untuk bersabar sahaja. Tetapi sejak dua minggu lalu, wanita itu telah bertambah kasar dan menyakitkan hati. Disebabkan dia tetap akan menderita, lebih baik jika dia melawan wanita itu sekarang demi kebaikan rakan-rakan sekerjanya yang lain.
Xu Jing ketawa mendengar kata-kata Yu Lili. "Apa kamu cakap? Syarikat Ou? Kamu tahukah ia di mana? Kamu yang tiada pelajaran tinggi jadi pengarah di sana? Hahahaha…"
Sewaktu masih di awal pengajian, Yu Lili berhenti belajar dan sehingga sekarang dia menyesali perkara itu. Xu Jing menggunakan perkara itu sebagai bahan ketawa. Dia sememangnya telah mencabar Yu Lili.
Yu Lili merenung Xu Jing dengan pandangan dingin yang berbahaya. Kemudian dia ketawa sinis. "Patutlah suami kamu tak mampu alihkan pandangan dari saya. Rupanya kamu ketawa seperti zombie. Waktu kamu suntik wajah kamu yang seakan kuda itu, mesti kamu terlebih dos?"
Senyuman Xu Jing serta-merta hilang. Riak wajahnya berubah dan dia terus bangun sambil mengetap gigi. "Perempuan jalang!" jerit Xu Jiang lalu menaikkan tangannya dan menyerang Yu Lili.