Pandangan Li Sicheng berubah lembut lalu dia mengangguk. "Ya, memang saya."
"Rambut kamu…"
"Rambut palsu."
"Subang itu?"
Li Sicheng mengeluarkan sepasang subang bercorak pangkah dari poketnya dan menukarnya kepada bentuk alat pendengar.
Su Qianci mula faham. Tetapi setelah pasti lelaki itu adalah Li Sicheng, kesedihan terus menyelubungi dirinya dan membuatkannya hampir menangis. "Kamu tahu berapa lama saya cari kamu waktu itu? Semua orang ingat saya dah gila. Semua orang ingat kamu dah mati. Saya panggil nama kamu tanpa henti. Kenapa kamu tak keluar?"
Li Sicheng bangun dari kerusinya lalu memeluk isterinya dari belakang dan berkata perlahan, "Saya tak akan buat macam tu lagi, sumpah."
"Dulu pun kamu cakap begitu!"
"Dulu saya tak bersumpah," kata Li Sicheng sambil tersenyum. Dia menarik isterinya bangun. "Saya janji, saya tak akan buat begitu lagi."
"Betul?"
"Betul," jawab Li Sicheng dengan pandangan yang mendalam. Dia merenung wajah isterinya dan perasaan cinta menyelubungi segenap hatinya.
Su Qianci jelas dapat merasakan jantungnya berdegup kencang. Dia memandang suaminya sekilas sebelum berdiri dan berjalan keluar dari bilik itu bersama beg tangannya. Li Sicheng hanya tersenyum melihatnya kemudian mengambil jambangan ros tadi dan segera mengejar isterinya. Dia singgah di kaunter untuk membayar sebelum mereka meninggalkan restoran itu. Tiba di kereta, Su Qianci menerima panggilan daripada Luo Zhan.
"Hello?" kedengaran suara Luo Zhan.
"Hello."
"Er… Kamu ada nampak apa-apa yang istimewa lebih kurang jam 12 tengah hari tadi? Saya dengar 99,999 kuntum ros muncul di pusat membeli-belah untuk kamu. Ia cantik, tapi orang itu…" Luo Zhan mahu bertanya tetapi takut akan melukakan hati Su Qianci.
"Li Sicheng." Luo Zhan amat terkejut sebaik mendengar jawapan Su Qianci. "Dia dah kembali," kata Su Qianci sambil tersenyum. "Kali ini memang benar. Dia benar-benar kembali."
Luo Zhan berasa seakan tidak percaya. Setelah terdiam seketika, dia berkata, "Jadi, video dan gambar-gambar di Weibo itu benar?"
"Ya."
"Oh Tuhan!" Luo Zhan amat terkejut sehingga jatuh dari kerusinya, tetapi kemudian berteriak gembira, "Mana dia? Beri saya cakap dengan dia!"
Su Qianci amat faham perasaan Luo Zhan dan tersenyum kecil dengan mata yang sedikit bergenang. Dia menyerahkan telefonnya kepada Li Sicheng yang duduk di tempat duduk sebelah pemandu. "Luo Zhan."
Li Sicheng mengambil telefon itu tetapi tidak berkata apa-apa. Dia hanya tersenyum dan menunggu. Setelah terdiam buat beberapa ketika, Luo Zhan bertanya, "Kau kah tu?"
"Ya."
"Oh Tuhan!!!" Suara Luo Zhan kedengaran penuh terkejut dan teruja. "Ia memang kau. Memang kau kan? Beritahu aku!"
"Ya, ini aku."
Ayat ringkas itu membuatkan emosi yang telah ditahan oleh Luo Zhan selama bertahun-tahun muncul kembali. Luo Zhan berasa amat terharu sehingga suaranya kedengaran seperti menangis ketika dia bercakap lagi. "Memang kau, oh Tuhan… Kau di mana?"
"Sedia untuk balik ke rumah."
"Ha…" Luo Zhan tidak dapat menjelaskan perasaannya ketika itu. Gembira? Lebih daripada itu!
Fikiran Luo Zhan amat bercelaru dan menggila, tetapi satu perkara berdengung di telinganya: anak kedua keluarga Li masih hidup, anak kedua keluarga Li belum mati!
Luo Zhan telah hidup selama 31 tahun, tetapi inilah kali pertama dia merasakan dirinya boleh menjadi paranoid. "Budak, kau tunggu, aku akan tiba di sana kejap lagi!"