Kamu patut panggil dia Atuk.
Ayat itu memberi kejutan yang sangat besar kepada Rong Haiyue sehingga mainan 'One Piece' yang dibelikannya untuk Li Jianqian jatuh ke lantai dari tangannya. Rong Xuan turut memandang Su Qianci dengan wajah tidak percaya.
Li Jianqian segera turun dari sofa untuk mengutip mainan yang dijatuhkan Rong Haiyue lalu menyapunya dengan berhati-hati. Dia mahu berkata sesuatu, tetapi berhenti apabila melihat wajah terkejut Rong Haiyue dan Rong Xuan.
Su Qianci menyedari situasi itu dan turut memandang mereka. Parut kesan kebakaran masih kelihatan pada wajah dan tubuh Rong Haiyue. Disebabkan sekarang masih musim panas, lelaki itu memakai baju berlengan pendek jenama Polo yang mendedahkan parut pada leher, tangan dan wajahnya. Walau bagaimanapun, parut itu tidak banyak dan sudah semakin pudar kerana telah dirawat.
Namun Su Qianci tahu parut-parut itu adalah bukti paling kukuh yang menunjukkan bahawa Rong Haiyue telah bergadai nyawa demi menyelamatkannya dan Li Sicheng. Di bawah renungan ibu bapanya itu, Su Qianci melemparkan senyuman dengan pipi yang sedikit kemerahan.
Li Jianyue yang baru berusia hampir empat tahun tidak tahu tentang situasi yang sedang berlaku antara orang dewasa di situ. Dia menelengkan kepalanya dan bertanya dengan hairan, "Atuk? Tapi Atuk Song pun atuk saya. Mama kan cuma ada seorang ayah. Siapa akan jadi atuk saya yang sebenar?"
"Atuk Song dan Atuk Rong kedua-duanya atuk kamu." Su Qianci merapatkan dahinya pada dahi Li Jianyue dan berbisik perlahan. "Lepas ni, dia atuk kamu, Nenek Rong juga nenek kamu. Sekarang panggil mereka dengan betul."
Li Jianyue yang masih memegang anak patungnya menoleh ke arah Rong Xuan dan Rong Haiyue lalu memanggil, "Atuk, Nenek."
Sebaik mendengar panggilan itu, Rong Haiyue terus tersenyum dan matanya mula bergenang. Tetapi dia cuba menenangkan dirinya dan mengangguk. "Budak baik."
Li Jianqian yang duduk di hadapan Rong Haiyue menyedari mata lelaki itu yang bergenang dengan air mata lalu memerhatikannya dengan hairan. Ini agak pelik. Dia menyangka Rong Haiyue seorang lelaki yang garang. Li Jianqian telah diberitahu bahawa lelaki itu seorang jeneral seperti seorang lagi atuknya. Dia sentiasa melihat atuknya yang seorang lagi itu dengan gaya hebat dan berkuasa dan tidak pernah melihatnya mengalirkan air mata. Bukankah sepatutnya lelaki ini sama seperti Atuk Li itu? Malah disebabkan Rong Haiyue mempunyai parut, dia menyangka Rong Haiyue lebih ganas.
Tetapi sekarang…
"Atuk," Li Jianqian mengebilkan mata sambil memandang Rong Haiyue. "Atuk ada banyak personalitikah?"
Rong Haiyue mengangguk kemudian meletakkan Li Jianqian di ribaannya. Suaranya kedengaran gembira. "Ya betul!"
Li Jianqian sangat tidak suka diriba, tetapi dia dapat mendengar nada Rong Haiyue yang jelas sangat gembira… Lupakan, demi permainan barunya itu, dia akan bertahan sahaja buat sekali ini!
"Qianci…" Rong Xuan tidak sekuat Rong Haiyue lalu air matanya terus mengalir laju walaupun bibirnya mengukir senyuman bahagia. Li Jianyue terkejut melihatnya. "Nenek, kenapa Nenek menangis?"
Rong Xuan menyapu air matanya lalu menggeleng. "Nenek cuma terlalu gembira, Nenek tak menangis. Mari, peluk Nenek." Rong Xuan mendepakan tangannya ke arah Li Jianyue.
Li Jianyue memeluk Rong Xuan dan berkata, "Nenek, anak patung ni tak pakai seluar. Kita mesti pakaikan untuk dia. Boleh Nenek tolong carikan?"
"Okey, cuba tengok di dalam kotak. Ada tak seluar dia?"
Li Mosen yang berdiri di sebalik dinding menghala ke ruang tamu itu memandang keluarga itu dengan cemburu.
Nampak seronok…