Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 575 - Dia akan Tiba Sebentar Lagi

Chapter 575 - Dia akan Tiba Sebentar Lagi

"Selamat tinggal."

"Selamat tinggal."

Ucapan perpisahan yang biasa. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja membelakangi Su Qianci, mata Lu Yihan sedikit bergenang. Baginya, itu bukan ucapan perpisahan yang biasa.

'Semuanya telah berubah.'

Lu Yihan duduk di dalam keretanya tanpa berkata apa-apa. Dia melihat kereta Su Qianci meluncur pergi dan terus termenung. Selepas beberapa ketika, dia memandang stereng keretanya. Kereta ini telah ada bersamanya selama lebih empat tahun. Walaupun syarikatnya telah berjaya dan dia kini memiliki banyak aset, Lu Yihan tidak pernah bercadang untuk menukar kereta lain.

Lu Yihan berasa keberatan. Dia cuma mahu melindungi Su Qianci dan memastikan dia tidak disakiti. Adakah niatnya itu salah?

Tangannya mengusap stereng dan bibirnya mengukir senyuman pahit. "Dah tiba masa untuk ucapkan selamat tinggal, kawan lama." Kemudian dia menghidupkan enjin dan perlahan-lahan memandu kereta Renault merahnya pergi. Tetapi Lu Yihan mahupun Su Qianci tidak menyedari di satu sudut tersembunyi di tempat letak kereta itu, satu kereta sport berwarna putih telah diparkir selama beberapa jam.

Lelaki yang berada di dalam kereta itu ialah lelaki yang baru sahaja dikejar oleh Su Qianci. Sebelah tangannya diletakkan di atas tingkap yang terbuka manakala matanya merenung ke tempat Su Qianci dan Lu Yihan berada sebentar tadi. Tiba-tiba kedengaran satu suara yang tergesa-gesa dari anting-anting biru di telinganya. "Balik cepat. Perempuan tu akan tiba sekejap lagi." Dia menekan berlian biru pada anting-anting itu kemudian menghidupkan keretanya dan terus memandu pergi.

Selepas keluar dari restoran itu, Su Qianci tidak kembali ke syarikat sebaliknya pulang ke rumah. Kapten Li kelihatan diselubungi perasaan bersalah sebaik melihat Su Qianci tiba. Dia menggeliat dan menepuk kakinya lalu berkata, "Oh, mengantuknya. Orang tua ini perlu masuk berehat sekarang."

Su Qianci terkedu, geli hati dan berasa jengkel pada masa yang sama. Dia membuat riak wajah geram dan terus berlalu ke biliknya.

Su Qianci mengeluarkan diari kehamilan Tang Mengying dan membuka halaman yang mempunyai satu lukisan. Lukisan api itu membentuk kepala seekor serigala dengan satu bintang di tengah-tengahnya. Lukisan itu dilakar dengan jelas menggunakan pen berwarna. Su Qianci mengambil rantai itu dan mendapati ia sama seperti lukisan tersebut. Kepala serigala itu berwarna biru di dalam api yang kemerahan dan bintang di tengah-tengahnya berwarna biru nilam. Su Qianci semakin yakin lelaki yang telah dua kali mencabulinya itu ialah orang suruhan Tang Mengying.

Walau bagaimanapun, Tang Mengying, Li Sicheng, Bo Xiao dan Rong Anna telah menghilangkan diri selama bertahun-tahun. Jika mereka telah kembali, kenapa mereka tidak menunjukkan diri? Apa tujuan mereka? Su Qianci mula berasa bimbang lalu bangun dan berjalan keluar.

Sebaik melihat Nenek Rong, dia terus bertanya, "Mana budak-budak tu?"

Nenek Rong terkejut melihat riak wajah Su Qianci yang kegelisahan. "Mereka sedang bermain di halaman."

Li Jianyue sedang mendukung seekor arnab kecil sambil cuba menyumbat sebatang lobak merah ke dalam mulut arnab itu. 

Li Jianqian sudah tidak sanggup melihatnya lagi lalu berpaling dan bermain dengan iPadnya.

Li Mosen menarik perlahan tangan Li Jianyue dan berkata, "Arnab ini akan bencikan kamu kalau kamu terus buat begitu."

"Ha?" Li Jianyue kelihatan terkejut. "Saya cuma tak nak ia lapar. Kenapa ia akan benci saya pula?"

"Cuba fikir, kalau kamu tak mahu makan, tapi saya sumbat lobak merah ke dalam mulut kamu, kamu akan bencikan saya tak?"

"Mestilah!" Li Jianyue menjawab spontan. Kemudian dia membuang lobak merah itu lalu memandang Li Mosen dengan mata yang bersinar. "Abang Mosen, kamu memang bijak!"