Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 508 - Sesuatu Berlaku kepada Ou Ming

Chapter 508 - Sesuatu Berlaku kepada Ou Ming

Telefon itu berdering beberapa kali, tetapi tiada sesiapa menjawab. Akhirnya ketika ia hampir masuk ke pesanan suara, barulah seseorang menjawabnya. Kedengaran bunyi yang agak bising bersama nafas yang menderu kencang. Suara Ou Ming menyusul. Lelaki itu kedengaran mamai dan mabuk.

Wajah Li Sicheng berkerut. Dia membatalkan niat untuk memberitahu berita baik itu dan bertanya, "Apa kau sedang buat?"

"Sicheng…" panggil Ou Ming sambil tercungap-cungap. Samar-samar suaranya kedengaran sebak. "Sicheng, aku…" Tiba-tiba Ou Ming mula menangis tanpa sempat menghabiskan kata-katanya.

Li Sicheng terkejut. Wajahnya yang sebentar tadi gembira terus berubah risau dan tegang. Dia berkata dengan tenang, "Kau ada di mana?"

Soalan pertamanya bukan tentang apa yang berlaku atau kenapa Ou Ming menangis, tetapi dia bertanya di mana lelaki itu. Ou Ming terus menangis dan tidak mampu berkata apa-apa, tetapi suara sedih seorang lelaki sememangnya amat mengejutkan.

Wajah Li Sicheng semakin tegang dan dia berjalan masuk ke dalam klinik tanpa berkata apa-apa.

Shuang Yu yang tinggi lampai sedang berdiri di sisi Su Qianci. Sebaik melihat Li Sicheng kembali, dia mengangguk ke arah bosnya itu. Doktor sedang menerangkan beberapa peringatan kepada Su Qianci. Wajah Su Qianci kelihatan dipenuhi dengan kasih sayang seorang ibu hamil ketika dia mendengar dengan tekun.

Suara Ou Ming semakin perlahan ketika dia akhirnya menjawab, "Aku ada di Villa Xishan."

Villa Xishan adalah rumah di mana Ou Ming 'menyimpan' Yu Lili.

Mata Li Sicheng menjadi semakin tajam. Keadaan Ou Ming pasti ada kaitan dengan Yu Lili. Tetapi jika wanita itu mampu membuatkan Ou Ming menjadi begitu, ia bermakna Yu Lili mempunyai pengaruh yang lebih besar daripada jangkaannya.

Li Sicheng tidak bertanya banyak dan berkata, "Nanti aku sampai." Kemudian dia terus memutuskan talian.

Su Qianci menoleh dan mendapati mood suaminya sudah berubah. Dia mula berasa risau. Sebaik sahaja doktor itu selesai memberi penerangan, Su Qianci mengangguk sebelum menghampiri Li Sicheng. Dia memegang tangan suaminya dan berbisik, "Kenapa?"

"Ou Ming dalam masalah. Saya kena pergi tengok dia." Suara Li Sicheng amat perlahan, tetapi jelas menunjukkan perasaannya yang gundah. "Saya hantar kamu balik dulu."

"Tak perlu, pergilah tengok Ou Ming. Shuang Yu dan De kan ada."

Shuang Yu sentiasa berada di sisi Su Qianci tanpa berganjak.

"Saya akan hantar kamu balik dulu," Li Sicheng tetap dengan pendiriannya dan membawa Su Qianci ke kereta. Dia mengarahkan De untuk terus memandu pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan, Li Sicheng kelihatan memikirkan banyak perkara. Su Qianci memegang tangan suaminya dan berkata perlahan, "Apa yang jadi kepada Ou Ming?"

Li Sicheng menggelengkan kepalanya. "Saya tak tahu. Dia tak pernah macam tu sebelum ni."

Macam apa?

Su Qianci berasa ingin tahu, tetapi dia tidak bertanya lebih lanjut kerana tahu Li Sicheng tidak akan menceritakannya. Sebaik tiba di rumah lama, Shuang Yu keluar dari kereta bersama Su Qianci. Li Sicheng bergerak untuk turut keluar, tetapi ditolak oleh isterinya. "Kamu pergilah tengok Ou Ming. Saya dah tiba dengan selamat di rumah."

Bagi Li Sicheng, Ou Ming dan Luo Zhan adalah orang paling rapat dengannya selain keluarga, terutama Ou Ming. Mereka sudah seperti adik-beradik. Jika seseorang yang mempunyai pengaruh besar seperti Ou Ming membuatkan Li Sicheng risau sebegitu, ia pasti bukan disebabkan perkara kecil. Li Sicheng mengangguk dan menoleh ke arah Shuang Yu. "Jaga dia baik-baik."

Shuang Yu tidak boleh bercakap, jadi dia hanya mengangguk. Kemudian Li Sicheng terus mengarahkan De memandu ke Villa Xishan…

Related Books

Popular novel hashtag