Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 505 - Senapang akan Menembak Ketua Burung

Chapter 505 - Senapang akan Menembak Ketua Burung

Cheng You berasa tidak selesa. Dia telah bekerja keras selama tiga tahun untuk mencapai jawatannya sekarang, sambil menguruskan pelbagai perkara dahsyat yang hanya Tuhan tahu berapa banyak. Jika Rong Rui masuk bekerja, lelaki itu akan terus mendapat gaji yang sama sepertinya? Mana boleh! Itu terlalu tidak adil! Cheng You batuk kecil lalu berkata, "Bukankah itu melanggar peraturan?"

Li Sicheng seakan dapat membaca perkara yang berada di fikiran Cheng You lalu berkata, "Macam mana kalau saya gandakan bonus akhir tahun kamu?" 

"Baik Bos. Saya akan terus jalankan arahan Bos!"

"Terima kasih."

Beberapa minggu berikutnya, Li Sicheng menjadi sangat sibuk. Pertama, projek antara Syarikat Li dan Australia. Kedua, pengambil alihan Syarikat Tang yang belum selesai. Li Sicheng berasa amat risau kerana masih tidak mendapat maklumat tentang keberadaan Tang Zhenghao. Walau bagaimanapun, antara perkara baik yang berlaku adalah hanya dalam masa sembilan hari, kegiatan kumpulan pengedar dadah itu telah berjaya digagalkan sebanyak dua kali. Jumlah dadah yang berjaya dirampas setiap kali adalah bernilai beberapa juta dan menjadi hampir 10 juta apabila digabungkan.

Melalui perkara itu, kerjasama Syarikat Li bersama polis menjadi semakin utuh. Laman web Weibo dan berita-berita turut melaporkan perkara ini dan membuatkan saham syarikat melonjak naik dalam masa yang singkat. Walau bagaimanapun, ketika Syarikat Li menjadi semakin terkenal dari sehari ke sehari, kerisauan dalam hati Su Qianci tidak berkurang tetapi semakin bertambah.

Hari ini adalah hari pemeriksaan kehamilan. Li Sicheng bangun awal dan pergi ke bilik kerja untuk membuat kerjanya. Pada jam 9 pagi, dia kembali ke bilik tidur. Dia menyangka akan perlu berusaha keras untuk membangunkan Su Qianci, tetapi sebaik tiba di bilik, dia mendapati isterinya sudah selesai mandi. Perut Su Qianci menonjol dan kelihatan lebih besar daripada kandungan empat bulan yang biasa.

Li Sicheng memandang perut isterinya dan menyengetkan mulut. Kemudian dia memeluk isterinya. "Awal bangun harini?"

Su Qianci berkata, "Bantu saya pakai baju. Sekejap lagi kita kena pergi buat pemeriksaan."

"Okey, apa kata kamu pakai baju ni? Ia longgar dan nampak cantik." Li Sicheng mengambil sehelai baju berbunga dari almari. "Angkat tangan."

Su Qianci mengikuti arahan suaminya sambil merenung lelaki itu dengan matanya yang berbentuk badam. Dia mengelipkan matanya dan jelas mahu berkata sesuatu.

Li Sicheng berpura-pura tidak menyedarinya dan fokus memakaikan baju kepada isterinya. Dia menarik zip baju itu ke atas dan berkata, "Siap."

"Sayang."

"Ya?" Li Sicheng menjawab acuh tidak acuh sambil mengambil kot di sebelah Su Qianci dan memakaikannya kepada isterinya itu.

"Kamu tak rasa Syarikat Li terlalu dikenali sekarang? Memanglah bagus untuk bantu polis lumpuhkan kegiatan kumpulan penjenayah. Tapi sekarang semua orang tahu Syarikat Li ada kerjasama yang erat dengan polis. Bukankah ia terlalu menonjol? Kumpulan itu pasti akan cari kita."

Seperti kata pepatah, senapang akan menembak ketua burung.

Semenjak kebelakangan ini, Syarikat Li menarik semakin banyak perhatian dan menyebabkan Su Qianci berasa amat risau.

"Sayang, kamu ingat sebelum saya lakukan semua ni, kumpulan penjenayah itu tak mencari kita?" kata Li Sicheng. "Ingat patung badut tempoh hari? Itu amaran daripada mereka. Tang Zhenghao ada hubungan yang rapat dengan mereka. Saya dapat rasa yang Tang Zhenghao adalah ketua mereka, atau paling kurang antara orang tertinggi dalam kumpulan itu."

Related Books

Popular novel hashtag