Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 497 - Sekarang Saya Teman Lelaki Cheng You

Chapter 497 - Sekarang Saya Teman Lelaki Cheng You

Li Sicheng keluar dan tidak pulang sehingga keesokan paginya. Ketika Su Qianci terjaga, dia mendapati Li Sicheng tiada di dalam bilik. Dia cuba menghubunginya tetapi tiada sesiapa menjawab.

Su Qianci jarang bangun seawal itu. Selepas mandi, dia berjalan ke ruang tamu. Li Jinnan pertama kali melihat kakak iparnya bangun seawall itu. "Hei Su Qianci, awal bangun hari ni?"

"Ya." Su Qianci terus cuba menelefon Li Sicheng lagi.

Li Jinnan menghampirinya dan bertanya, "Telefon abang saya?"

"Ya, abang kamu tak balik malam semalam. Telefonnya pula tak berjawab."

"Mungkin dia sedang sibuk dengan kerja. Jangan risau, dia tak akan berlaku curang," kata Li Jinnan sambil membuka sebotol Coke. "Lelaki dalam keluarga kami sangat berdisiplin."

"Saya bukan risau tentang itu. Ada perkara lain." Su Qianci semakin panik apabila masih gagal menghubungi suaminya. Dia terus menelefon Cheng You pula. Panggilan itu dijawab tetapi suara lelaki yang kedengaran. Su Qiani melihat jam yang menunjukkan baru 6 pagi. Dia melihat skrin dan pasti itu adalah nombor Cheng You.

"Helo? Saya cari Cheng You…"

"Dia sedang tidur." Suara lelaki itu kedengaran sedikit serak. Kemudian dia menyambung, "Saya Rong Rui."

"Oh, tak apalah. Biarkan dia tidur."

"Okey."

Su Qianci tiba-tiba terfikirkan sesuatu dan menjerit, "Tunggu!"

"Ada apa-apa lagi?" Rong Rui kedengaran mengantuk. Lelaki itu bercakap dengan suara perlahan. Jelas dia masih berada di dalam bilik.

"Antara kamu dan Tang Mengying dah tak ada apa-apa, kan? Kamu tak akan bantu Tang Mengying atau keluarga Tang lagi, kan?"

Selepas kira-kira tiga saat, Rong Rui menjawab, "Kalau diikutkan, kamu sebenarnya sepupu saya. Saya dah buat perkara buruk kepada kamu sebelum ini dan saya minta maaf. Tiada apa-apa lagi antara saya dan perempuan tu. Kalau kamu perlu bantuan, kamu boleh beritahu saya. Sekarang saya teman lelaki Cheng You."

"Tak tahu malu, siapa teman wanita kamu!" Kedengaran suara Cheng You yang agak tenggelam. Jelas wanita itu masih di bawah selimut.

Rong Rui ketawa kecil dan berkata, "Kalau dah tak ada apa-apa, saya letak dulu. Selamat tinggal sepupu."

Su Qianci berasa lega dengan jawapan Rong Rui yang meyakinkan. Walau bagaimanapun, dia tidak mampu bertenang selagi tidak mendapat berita Li Sicheng. Disebabkan tidak dapat maklumat melalui Cheng You, apa kata dia menelefon Luo Zhan?

Dia mendail nombor rakan baik suaminya itu dan tidak menjangka panggilan itu akan dijawab dengan amat pantas. Suara Luo Zhan kedengaran segar. "Hai ada apa Su Qianci?"

"Luo Zhan, kamu tahu suami saya ada di mana?"

"Saya tak tahu, tapi dia mesti sedang sibuk sekarang. Nanti dia akan balik rumah. Jangan tunggu dia, tidur dulu." Luo Zhan menuturkannya seolah-olah telah menghafal kata-kata itu. Dia diam seketika sebelum menyambung, "Dia yang suruh saya beritahu itu dan minta kamu jangan risau. Jaga diri dan kandungan kamu."

"Macam mana?" Kedengaran satu suara yang dikenali Su Qianci. Itu suara Lu Yihan.

Luo Zhan mendongak ke arah Lu Yihan manakala tangannya masih sibuk menaip pada papan kekunci. "Okey saja."

"Kamu nak makan apa-apa?"

"Ya, saya nak sandwich. Terima kasih, Mak Cik Lu."

Su Qianci terkejut. Sejak bila dua lelaki itu tinggal bersama? Tambahan pula Lu Yihan membuat sarapan untuk Luo Zhan?

Luo Zhan kelihatan baru tersedar panggilan itu masih bersambung. Dia segera memutuskan talian.

Related Books

Popular novel hashtag