Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 455 - Berkongsi Bilik dengan Rong Rui

Chapter 455 - Berkongsi Bilik dengan Rong Rui

Langkah Cheng You terhenti. Dia berjalan kembali ke arah Rong Rui sambil menarik skarf yang dipakainya. Rong Rui hanya memakai sehelai baju hitam yang menampakkan susuk tubuhnya dan kelihatan hebat. Tetapi baju itu terlalu nipis untuk malam yang dingin ini. Cheng You mencampakkan skarf itu kepada Rong Rui lalu cuba menanggalkan jaket pula, tetapi Rong Rui menariknya lalu terus memeluknya. "Kenapa tergesa-gesa? Kamu boleh tanggalkannya nanti."

Tanggalkannya nanti…

Cheng You berasa sakit hati dan bergelut, "Jangan sentuh saya! Jangan sentuh saya!"

Tetapi Rong Rui tidak melepaskannya tidak kira betapa kuat dia bergelut. Kemarahan Cheng You terus membuak lalu dia menampar wajah Rong Rui. Rong Rui terkedu setelah ditampar dengan kuat, kemudian dia berasa amat terhina. Ia tidak begitu sakit tetapi ini adalah kali pertama dia dipukul oleh seorang perempuan!

Cheng You menyedari perubahan riak wajah Rong Rui dan berasa terkejut. Belum sempat dia berkata apa-apa, Rong Rui mengangkatnya dan membawanya ke tepi jalan. "Hei, kamu nak buat apa?"

Rong Rui tidak menjawab dan menahan sebuah teksi. Selepas membuka pintu belakang dan menolak Cheng You ke dalam, dia turut masuk dan berkata, "Yijing Bay."

"Rong Rui!"

Rong Rui memandang Cheng You dengan kemarahan yang jelas terpacar pada wajahnya. Walau bagaimanapun, suaranya masih tenang dan dalam. "Kamu nak tidur di jalan? Atau di tangga? Atau kamu ingat ibu kamu akan buka pintu rumah? Atau kamu ingat budak perempuan di kedai tadi akan pinjamkan kamu wang untuk tidur di hotel?"

Kata-katanya sungguh tajam sehingga membuatkan Cheng You terkedu.

"Jadi, sila berkelakuan baik. Saya akan dapatkan bilik untuk kamu tidur malam ni."

Cheng You membuka mulutnya tetapi tiada perkataan yang keluar. Tetapi dia berasa sangat sejuk! Tiada alat pemanas di dalam teksi itu dan tubuhnya terus menggigil. Pakaiannya pula sangat nipis terutama seluarnya. Walau bagaimanapun, apabila melihat baju nipis yang dipakai Rong Rui, dia cuba untuk bertenang.

Rong Rui menjelingnya sekilas sebelum menarik Cheng You ke arahnya. Cheng You yang terkejut mengangkat tangannya ke atas secara spontan dan berkata, "Apa kamu buat?"

"Saya sejuk!" Rong Rui terus memeluknya dan berkata, "Jaket saya ada dengan kamu, jadi saya kesejukan sekarang."

Cheng You hanya diam sambil cuba menjauhi lelaki itu.

"Jangan bergerak. Mari duduk rapat-rapat supaya lebih hangat."

Cheng You tidak dapat menafikan dia berasa lebih hangat.Dia hanya diam dan berhenti bergelut. Dalam masa kurang dari 15 minit, teksi itu berhenti di hadapan Hotel Yijing Bay.

Rong Rui menarik Cheng You ke lobi. Sebaik tiba di kaunter, dia mengeluarkan dompet dan mengambil kad pengenalannya untuk menempah bilik.

Walau bagaimanapun, selepas penyambut tetamu menyemak maklumat Rong Rui, dia tersenyum dengan sopan. "Tuan, kad pengenalan kamu dah digunakan untuk menempah bilik. Tuan boleh terus daftar masuk."

"Saya nak tempah bilik untuk dia."

"Boleh saya minta Cik tunjukkan kad pengenalan?"

"Tak ada dengan saya. Saya dihalau keluar dari rumah secara tiba-tiba."

"Kalau macam tu kami tak dapat bantu untuk dapatkan bilik. Kamu berdua pasangankah?"

"Ya."

"Tak!"

Mereka menjawab serentak.

Penyambut tetamu itu tersenyum. "Boleh Cik bagi nombor kad pengenalan? Kami akan semak maklumat diri Cik untuk kepastian. Selepas tu Cik boleh berkongsi bilik dengan Tuan ini."

"Beritahu dia nombor kad pengenalan kamu."

Cheng You berasa jengkel dan berkata, "Saya nak balik!"

Rong Rui menariknya dan berkata, "Katil tu cukup besar untuk kita berdua."

Walau bagaimanapun, bukan itu yang dirisaukan oleh Cheng You…