Su Qianci menundukkan kepalanya dan mengangguk. Selepas makan malam, Kapten Li memberikan kuplet musim bunga yang ditulisnya sendiri dan keratan kertas perayaan yang disediakan oleh Liu Sao dan Qin Shuhua kepada Li Sicheng. "Jangan ingat kamu boleh lari daripada buat kerja jika datang lewat. Pergi gantung semua ini di dalam setiap bilik!" Li Sicheng mengambilnya sambil tersenyum. Su Qianci turut membantu suaminya dengan meletakkan gam dan menggantung kertas-kertas itu.
Selepas menghias semua bilik, Su Qianci berasa agak letih. Dia merasakan kesihatannya telah merosot. Jika dahulu, dia jarang berasa seletih itu. Mereka mengambil masa selama dua jam untuk menyiapkan semua kerja.
Atuk menyuruh mereka tidur di rumah lama itu. Su Qianci bersetuju manakala Li Sicheng mempunyai kerja penting untuk diselesaikan dan pergi.
Su Qianci berbaring di atas katil itu seorang diri sambil merenung siling. Tiada apa-apa yang berlaku pada malam itu.
Keesokan harinya, penerbangan Li Sicheng ke Itali yang sepatutnya bertolak tengah hari telah diubah ke waktu pagi.
Selepas menyambut hari sebelum Tahun Baru Cina, Su Qianci menduduki peperiksaan akhir semester. Badannya terasa semakin letih selepas menghadapi peperiksaan itu. Beberapa hari kemudian, tanpa diketahui sesiapa, dia pergi ke sebuah klinik kecil yang mempunyai rating tinggi di internet dan jauh dari rumah mereka. Dia mengambil teksi kerana tidak berani untuk memandu sendiri ke sana.
Su Qianci yang memakai kaca mata dan topi mendaftar di bahagian penyakit berjangkit. Selepas darahnya diambil, dia duduk di luar dan menunggu.
"Doktor Liu, kamu pastikah? Betulkah anak saya ada AIDS?" Kedengaran satu suara wanita yang seperti menahan tangis. Su Qianci yakin jika Doktor Liu menjawab ya, wanita itu akan terus menangis.
Doktor Liu menjawab perlahan dan Su Qianci tidak dapat mendengar apa yang dikatakannya. Walau bagaimanapun, wanita tadi terus menangis. "Oh Tuhan. Anak saya masih kecil. Apa perlu saya lakukan…" Tidak lama selepas itu, wanita itu keluar dari bilik doktor sambil menangis teresak-esak.
Su Qianci berasa semakin takut. Sebaik sahaja gilirannya tiba, dia masuk ke dalam bilik doktor dan duduk berhadapan dengan doktor itu. Nama doktor itu ialah Liu Quan. Entah kenapa, Su Qianci merasakan seperti pernah mendengar nama itu. Dia mendongak dan melihat seorang lelaki muda yang memakai kaca mata berbingkai logam. Doktor itu memandangnya dengan pandangan ragu-ragu.
"Tanggalkan kaca mata kamu," kata Liu Quan.
Su Qianci menanggalkan kaca mata itu. Wajah cantiknya mula terserlah. Sebaik menyedari siapa di hadapannya, Liu Qiuan mengangkat sebelah kening. Betulkah ini dia?
Liu Quan melihat rekod kesihatan Su Qianci dan berkata, "Kamu fikir kamu ada AIDS?"
Su Qianci berasa gementar dan mengangguk.
"Kenapa?"
"Saya… kemungkinan besar saya dah dirogol oleh pesakit AIDS."
"Dia guna kondom?"
"Saya tak tahu."
"Kamu pasti kamu dah dirogol?"
Soalan itu sangat terus-terang. Mata Su Qianci kemerahan dan dia menggelengkan kepalanya. "Saya tak tahu. Waktu itu saya tak sedarkan diri. Apabila saya bangun, seluruh badan saya sakit dan saya demam panas."
"Oh begitu. Jadi mungkin kamu memang dah dijangkiti AIDS sekarang." Liu Quan melemparkan rekod perubatan itu ke tepi sambil bersandar pada kerusinya. Dia menguap dan berkata, "Cara paling mudah untuk dijangkiti AIDS adalah melalui seks. Selepas kejadian itu, kamu ada lakukan seks dengan suami kamu?"
Su Qianci merasakan hatinya seolah-olah ditikam. Air matanya terus jatuh. Dia menggelengkan kepalanya sambil tersedu, "Tak…"
Tidak mungkin dia berani melakukannya.