Sebaik mendengar kata-kata itu, wajah Li Sicheng berkerut dan dia berkata perlahan, "Dia tak akan ikut saya."
"Itu bukan masalah Atuk. Kalau Atuk tak nampak kamu berdua di sini hari ini, Atuk akan diserang darah tinggi dan sakit jantung. Kamu akan bertanggungjawab atas kematian Atuk!"
"Atuk…"
"Kalau kamu tahu Atuk ini atuk kamu, kamu sepatutnya jaga perangai. Kali ini mesti salah kamu lagi. Qianqian itu wanita yang baik. Bagaimana kamu boleh asyik bergaduh dengannya? Kenapa kamu tak boleh berbincang daripada bergaduh? Kamu mahu bunuh Atuk?"
"Atuk…"
"Diam! Atuk tak nak dengar apa-apa. Kamu ada masa satu jam untuk bawa isteri kamu ke rumah lama ini untuk makan malam. Kalau Atuk tak nampak kamu berdua… Atuk tak akan makan dan Atuk akan berlapar!"
Liu Sao yang mendengarnya ketawa perlahan. Kapten Li berkelakuan seperti budak-budak pada usia sebegitu… Boleh pula dia mengugut untuk berlapar?
Walau bagaimanapun, ia adalah satu-satunya perkara yang tidak dapat dibantah Li Sicheng. Dia mengeluh dan menjawab, "Baiklah. Saya tak akan biarkan Atuk berlapar."
"Bagus." Kapten Li meletakkan gagang telefon dengan wajah berpuas hati lalu berjalan ke sofa dengan tongkatnya.
Walau bagaimanapun, semakin dia memikirkannya, dia berasa semakin tidak senang hati. "Aduh. Dah berapa lama Nenek Rong cakap mereka tak tinggal bersama?"
Liu Sao berfikir seketika sebelum menjawab, "Setengah bulan…"
Selesai perbualan telefonnya bersama Atuk, Li Sicheng melepaskan keluhan berat. Dia tiada banyak kerja untuk dilakukan selepas menyerahkan baki tugasannya kepada Cheng You. Tetapi dia masih meneliti beberapa dokumen di tempat duduknya.
Selesai melakukan beberapa tugasan, Cheng You kembali ke pejabat dan melihat Li Sicheng masih ada di tempat duduknya. Dia terkejut lalu bertanya, "Encik Li, bukankah kamu perlu balik ke rumah lama?"
"Ya…" Li Sicheng mendongak dan berkata, "Minta Yang telefon Su Qianci dan tanya bila kelas dia tamat."
"Okey."
"Jangan beritahu saya yang tanya."
Cheng You tidak menjawab apa-apa. Sebagai pembantu Li Sicheng, dia tersangat sibuk. Kenapa dia yang perlu lakukannya? Namun dia tidak mampu membantah arahan bosnya. Dua minit kemudian, dia kembali dan memberitahu, "Tinggal satu kelas elektif saja lagi. Kelas itu baru nak bermula."
Li Sicheng mengangguk dan bersandar lemah pada kerusinya.
"Jadi, nak saya suruh Yang jemput dia?"
"Okey."
Ketika Cheng You baru sahaja menghantar mesej kepada Yang, Li Sicheng mengubah fikirannya. "Lupakan. Biar saya yang pergi."
Cheng You merenungnya.
"Jangan beritahu dia."
"Baiklah."
Cheng You keluar dari biliknya dan Li Sicheng cuba menguruskan dokumen-dokumen di atas mejanya seperlahan mungkin. Namun kerjanya selesai dalam masa kurang 20 minit. Dia membuka laci untuk menyimpan kesemua dokumen itu. Di dalam laci itu, dia mendapati telefon hitam lamanya yang telah lama dibaiki berada di situ. Tetapi baginya yang rosak tetap rosak. Dia tidak bercadang untuk menggunakan sesuatu yang pernah rosak. Li Sicheng meletakkan dokumen-dokumen tadi sebelum menutup dan mengunci laci itu. Kemudian dia meninggalkan pejabat itu.
Su Qianci keluar dari kampus sambil menggalas begnya. Dia segera melihat kereta hitam Mayback di luar pagar. Langkahnya terhenti, dia tahu siapa yang berada di dalam kereta itu. Apabila Yang dan Li Sicheng berada di dalam negara, Yang tidak akan memandu kereta itu. Jadi yang tinggal hanya dia…