Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 337 - Ingin Cekik Kamu Sehingga Mati

Chapter 337 - Ingin Cekik Kamu Sehingga Mati

Li Sicheng menguatkan genggamannya pada tangan Su Qianci. Dia merenung isterinya dengan dingin dan bertanya, "Apa maksud kamu?"

Dagu Su Qianci turut dipegang. Su Qianci memandang mata yang dingin itu; seolah-olah ada ribut yang berlaku di dalamnya dan hampir menelannya. Hatinya berasa pedih. Su Qianci meneruskan tindakannya mengangkat baju tanpa lengannya.

Li Sicheng menghalangnya sambil mengetap gigi dan menjerit, "Apa kamu nak buat ini?"

Su Qianci fikir dia datang ke sini hanya untuk tidur dengannya? Su Qianci bersandar pada dinding dan menangis. Dia berkata dengan nada mengejek, "Kenapa kamu nak berlakon lagi? Perempuan simpanan kamu tak dapat puaskan kamu, sebab itu kamu datang cari saya. Bukan begitu?"

Perempuan simpanan?

Li Sicheng merasakan hatinya seakan digigit anjing liar dan hilang sebahagiannya. Ia seolah-olah hancur dan berdarah. Li Sicheng mengetatkan pegangannya pada dagu Su Qianci sebelum menumbuk dinding di sebelah Su Qianci dengan kuat.

Bum!

Bunyi itu membuatkan tubuh Su Qianci menggeletar. Lututnya terasa lemah dan hampir terkulai. Walau bagaimanapun, dia tidak mahu membiarkan dirinya rebah. Dia menggigit bibir sambil memandang Li Sicheng dengan wajah tekad.

Li Sicheng memandangnya dan mendengus sebelum tunduk mengambil jaket yang ditanggalkan Su Qianci. Mata Su Qianci bergetar dan air matanya jatuh ke rambut Li Sicheng. Li Sicheng terhenti seketika, tetapi kemudian terus mengambil jaket itu. Melihat Su Qianci terketar ketakutan di hadapannya, hatinya terasa direntap. Li Sicheng melemparkan jaket itu ke arah Su Qianci dan berkata dengan suara dalam, "Saya benar-benar nak cekik kamu hingga mati."

Suaranya sangat suram sehingga membuatkan Su Qianci meremang.

Li Sicheng ketawa sinis. "Saya mesti dah gila kerana biarkan kamu memijak hati saya seperti ini." Suara dalamnya bergema di koridor yang lengang itu.

Su Qianci hanya mampu melihat Li berjalan pergi dan masuk ke dalam lif. Dia merenung koridor yang kini kosong itu dengan hati yang kering. Selepas seketika, dia mengambil kunci dan membuka pintu rumah itu. Su Qianci merebahkan dirinya di atas katil dan merenung siling dengan fikiran yang kosong. Kepalanya terasa amat sakit…

Selepas berbaring seketika, dia mengambil telefon dari beg tangannya lalu menghantar beberapa mesej kepada Li Sicheng.

"Encik Li, saya tahu semuanya tentang trip perniagaan kamu."

"Encik Li, ibu kamu datang jumpa saya hari ini. Dia cuba paksa saya untuk bercerai dengan kamu menggunakan kontrak kita. Saya menolak dan melawan cakapnya. Saya baru tahu yang saya pandai bercakap dengan baik."

"Encik Li, saya tak akan bercerai dengan kamu. Kita ada lebih lima bulan lagi sebelum masa yang ditetapkan dalam kontrak itu. Saya akan bercerai dengan kamu apabila masanya sudah tiba."

"Li Sicheng, saya cintakan kamu."

*****

Cheng You merasakan dirinya gagal memahami apa yang sedang berlaku.

Kenapa?

Bosnya yang biasanya tenang pergi ke kelab dengan kecederaan yang belum pulih. Bukan sahaja minum arak, malah Li Sicheng juga terlibat dengan pergaduhan di kelab itu dan menyebabkan lelaki yang bergaduh dengannya dikejarkan ke hospital. Sekarang luka Li Sicheng yang baru sahaja hampir sembuh telah kembali berdarah.

Related Books

Popular novel hashtag