Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 291 - Sangat Janggal

Chapter 291 - Sangat Janggal

Li Sicheng melihat jam tangannya dan berkata, "Dah pukul 9 malam. Jom balik."

"Okey. Atuk memang orang tua, jalan sekejap dah letih." Sepanjang perjalanan pulang, Atuk berbincang dengan Li Sicheng tentang majlis perkahwinan itu, daripada reka bentuk menu sehingga ke chef pencuci mulut.

Mendengar perbincangan mereka, Su Qianci merasakan dirinya terasing dan bingung. Banyak perkara yang perlu dibuat berkenaan majlis perkahwinan tersebut. Dia pula merupakan orang utama bagi majlis itu…

Apabila tiba di rumah, Su Qianci mendapati dirinya sudah tidak lagi cuba menjauhkan diri daripada Li Sicheng. Menyedari perubahannya sendiri, dia hampir berasa tidak berdaya. Perempuan memang makhluk yang tidak tetap pendirian. Selesai mandi, dia melihat Li Sicheng masih membuat kerja di bilik kerjanya. Su Qianci melepaskan keluhan kerana berasa kasihan kepada suaminya itu. Kesukaran lelaki itu menguruskan bisnesnya sendiri berada di luar bayangan Su Qianci. Walaupun Li Sicheng mempunyai kelebihan atas populariti Kapten Li, sangat jarang di Kingstown mahupun seluruh negara seseorang dapat membina bisnes sebesarnya hanya dalam masa beberapa tahun sahaja.

Su Qianci masih ingat pada kehidupan lalu, satu majalah memaparkan senarai bisnes paling laju berkembang di dalam negara dan syarikat Li Sicheng berada pada tempat pertama. Kemudian, satu senarai pemuda bawah 30 tahun terkaya negara dikeluarkan dan Li Sicheng berada pada kedudukan pertama. Selepas itu, senarai calon suami idaman pula dikeluarkan dan Li Sicheng masih menjadi juara. Su Qianci tersenyum dan merasakan sedikit kemenangan.

Sambil duduk di atas katil dan memeluk bantalnya, Su Qianci teringat kata-kata Li Sicheng tentang majlis kahwin dan bulan madu mereka…"Oh, apa patut saya buat…" Dia merasakan dirinya seolah-olah berada di puncak dunia, sangat bahagia sehingga ia terasa seperti mimpi… Kemudian dia berbaring di atas katil itu sambil berguling dan tidak dapat menahan dirinya daripada terfikir kejadian Li Sicheng makan dari mangkuknya dan menggigit buah epalnya. "Hentikan, hentikan!" Dia menyembamkan wajahnya ke atas bantal sambil kakinya menendang ke udara. "Kalau kamu mudah sangat berpuas hati, nanti kebahagiaan akan hilang."

Li Sicheng tersenyum melihat isterinya bercakap seorang diri. Dia berjalan menghampiri Su Qianci lalu memeluk pinggangnya dan berbisik, "Ia tak akan hilang."

Su Qianci terkaku dan berasa malu. Dia… dengarkah? Janggalnya… Dia menyembamkan wajahnya semakin dalam ke bantal itu ketika pipinya mula kemerahan seolah terbakar.

Li Sicheng mengalihkan bantal itu dan berkata, "Kamu nak lemaskan diri?"

Su Qianci yang berasa sangat malu berpusing membelakanginya.

Li Sicheng ketawa kecil dan memberitahu, "Saya mandi dulu."

Mandi!

Jantung Su Qianci berdegup kencang dan dia segera menyelubungkan dirinya dengan selimut. Kenapa perlu beritahu? Sekarang fikirannya sudah mula meliar. Dia mengerekot di atas katil itu dan memaksa dirinya untuk tidur. Tetapi kenapa dia berasa teruja… dan dahaga? Sangat dahaga sehingga dia tidak dapat tidur. Dia mengalihkan selimut itu lalu menyarung seliparnya dan turun ke dapur. Air, dia perlukan air yang banyak.

Setelah meneguk dua gelas air, Su Qianci masih merasakan mulutnya kering. Ketika dia minum gelas yang ketiga, telefon di ruang tamu berbunyi. Dia pergi ke telefon itu dan mendapati panggilan itu datang dari rumah lama. Hari sudahpun lewat malam. Kenapa seseorang dari rumah lama menelefon mereka?

Related Books

Popular novel hashtag