Setelah Li Sicheng bertolak ke trip bisnesnya, rumah itu terasa kosong kembali. Su Qianci berbaring di atas katil sambil berguling ke kiri dan kanan, gagal untuk tidur. Sesuatu sedang bermain di fikirannya tetapi dia sendiri tidak tahu apakah ia. Tiba-tiba dia bangun dan membuka laci meja di tepi katilnya. Fail yang mengandungi kontrak perceraian mereka masih ada di situ. Apa gunanya kontrak itu pada saat ini?
Su Qianci merasakan dirinya seperti mudah dipermainkan. Walaupun dia telah dilayan sebegitu pada malam itu, dia langsung tidak terfikir tentang perceraian. Setiap kali perkataan cerai terlintas di fikiran, ia sangat menyakitkannya. Dia tidak mahu menghadapinya. Tetapi adakah Li Sicheng akan menggunakan kontrak itu? Su Qianci sendiri tidak pasti. Dia merenung tandatangan Li Sicheng pada kontrak itu lalu mencebikkan bibir dan meletakkan kontrak itu di bawah bantalnya. Masih ada lima hari sebelum suaminya itu balik. Apabila dia balik nanti, mereka perlu berbincang tentang kontrak perceraian itu.
Lima hari berlalu dengan pantas. Su Qianci sempat melawat Lu Yihan sebanyak dua kali sepanjang lima hari tersebut. Selepas meminta maaf, dia tidak berani untuk duduk lama. Dia juga hanya akan pergi sewaktu hari siang.
Pada hari Isnin itu, kelas Su Qianci habis agak lewat. Ketika dia berjalan keluar dari kampus, dia ternampak kereta Maybach Li Sicheng dan bukannya kereta yang biasa digunakan Yang untuk menjemputnya. Sebaik melihat kereta itu, Su Qianci berhenti berjalan.
Itu… dia.
Melihat wajah Su Quanci yang ketakutan, Li Sicheng bersandar pada tempat duduknya dengan rasa tertekan. Kemudian dia menyumbat hadiah yang telah dipilihnya dengan sebaik mungkin ke bawah tempat duduk.
"Su Qianci, suami kamu dah datang. Cantik betul keretanya!" kata salah seorang rakan sekelas Su Qianci.
Su Qianci hanya senyum dan berpura-pura tidak melihat atau mendengar apa-apa. Dia menahan teksi dan terus masuk ke dalam teksi itu. Apabila melihat cermin belakang, dia mendapati kereta Maybach itu telah tiada. Su Qianci sedikit keliru tetapi berasa lega lalu bermain-main dengan tali begnya.
Sebaik sahaja tiba di rumah, dia melihat kereta Li Sicheng sudah diletakkan di halaman depan dan tahu lelaki itu sudah tiba dahulu. Sambil memegang begnya dan berdiri di pintu hadapan, Su Qianci teragak-agak untuk masuk.
Nenek Rong sedang membawa pakaian yang siap dijemur masuk ke dalam rumah. Sebaik menyedari Su Qianci hanya berdiri di situ, dia bertanya, "Puan, kenapa?"
Su Qianci menggelengkan kepalanya.
Melihat riak wajah Su Qianci yang janggal, Nenek Rong memutuskan untuk berkata, "Tuan dah balik. Puan mesti rindukan dia. Marilah masuk dan makan."
Dia tidak rindu… Su Qianci memuncungkan bibirnya dan masuk ke dalam rumah.
Li Sicheng tiada di ruang tamu. Su Qianci naik ke tingkat atas dan mendapati pintu kedua-dua bilik tidur terbuka. Li Sicheng sedang berjalan sambil membawa beberapa barang Su Qianci di tangannya. Sebaik melihat Su Qianci, dia tidak menjelaskan apa-apa.
Su Qianci berasa agak marah. "Apa yang kamu buat?"
Dia masih marahkannya. Kenapa Li Sicheng membawa barangnya ke bilik tidur utama? Adakah lelaki itu cuba… membuat perkara itu lagi? Mengarut!
Li Sicheng memandangnya dan berkata perlahan, "Atuk nak datang tidur sini selama beberapa hari."
Jadi dia sedang menyediakan tempat untuk Atuk.
"Kita ada lebih daripada sepuluh bilik tetamu!" Jadi kenapa dia mengosongkan bilik yang sedang didudukinya?
"Atuk minta untuk tidur di bilik ini. Sebagai cucu saya tak boleh membantah," kata Li Sicheng dengan serius.
"Tapi…" Wajah Su Qianci kemerahan. "Saya tak mahu kongsi bilik dengan kamu."