Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 281 - Tukar Baju

Chapter 281 - Tukar Baju

Sejak mereka berkahwin, tiada satu saat pun Su Qianci tidak takut kepadanya. Adakah dia begitu menakutkan? Li Sicheng merasakan ia sukar untuk difahami. Dia cuba mencapai gelas Ou Ming tetapi gagal. Kemudian dia terus mengambil botol arak itu dan meneguknya.

Ou Ming kemudiannya mendapati Li Sicheng telah meneguk separuh daripada botol itu dalam hanya beberapa saat. Dia terkejut lalu terus merampas botol itu dan menolak Li Sicheng ke atas sofa. "Pelayan, ambil botol ini." Jika Li Sicheng terus minum, dia mungkin akan dikejarkan ke hospital kerana sakit perut. Ou Ming mula menyesal kerana mengajaknya minum. Sekarang dia bukannya dapat meluahkan keseksaan yang dirasakannya, malah terpaksa menemani si tuan muda ini pula.

"Apa kena dengan kau ini? Biasanya kau tak minum macam ini!"

Li Sicheng masih agak mabuk. Sebelum Ou Ming tiba, dia sudahpun meneguk separuh botol. Namun dia masih sedar apa yang berlaku di sekelilingnya. Li Sicheng menolak Ou Ming dan bertanya, "Kau pula kenapa?" Setiap kali Ou Ming mengajaknya keluar, pasti ada sesuatu yang berlaku dalam hidupnya tidak kira baik ataupun buruk.

"Aku hantar kau balik. Kau dah terlalu mabuk untuk dengar cerita aku."

"Aku tak mabuk," kata Li Sicheng sambil memandang Ou Ming dengan serius.

Ou Ming menyedari sahabatnya itu bercakap benar dan berkata, "Apa lagi? Perempuan itulah, cuba untuk larikan diri daripada aku lagi. Aku nak tahu macam mana kau pikat isteri kau. Bukan sebelum ini kau dah tandatangan kontrak cerai?"

Li Sicheng merasakan mabuknya hilang serta-merta. Betul, kontrak cerai! Dia sudah terlupa langsung tentangnya! Li Sicheng terus bangun dan berkata, "Aku kena pergi. Nanti kita berbual lagi."

Ou Ming terpinga-pinga. Dia memandang belakang Li Sicheng dan menyumpah dengan marah, "Celaka…" Kemudian dia teringat sesuatu dan segera mengejar Li Sicheng. "Kau tak boleh memandu. Biar aku hantar kau."

Su Qianci tidak berani untuk menunjukkan mukanya di hadapan Lu Yihan. Malah dia juga takut untuk menelefon lelaki itu. Walaupun dia sangat risau dengan keadaan Lu Yihan, Su Qianci menahan keinginannya untuk melawatnya. Beberapa barangnya masih ada di bilik tidur tetamu, jadi dia membuka laptopnya dan membuat tugasannya di atas katil. Disebabkan dia tidak menghadiri kelas selama beberapa hari, rakan-rakan sekelasnya menghantar tugasan dan nota-nota kepadanya. Walaupun hatinya masih sedih, Su Qianci tahu dia tidak boleh meninggalkan pelajarannya supaya dia tidak akan gagal mana-mana subjek.

Selepas seketika, Su Qianci berasa dahaga lalu turun ke tingkat bawah dan masuk ke dapur. Sebaik sahaja dia mengambil gelas, dia mendengar suara orang bercakap. Dia berpaling ke belakang dan melihat Ou Ming. Seseorang yang tinggi dan kacak kemudiannya mengikuti Ou Ming masuk ke dalam rumah itu.

Itu dia.

Su Qianci memandang ke arah mereka dan segera meneguk minumannya.

"Su Qianci," panggil Ou Ming.

Sebaik melihat Su Qianci berdiri di dapur sambil memakai gaun tidur berwarna putih, Li Sicheng terus menutup mata Ou Ming dan merenung Su Qianci dengan tajam. "Pergi tukar baju."

Mata Su Qianci terkebil-kebil dan dia tunduk melihat bajunya. Gaun tidur panjang, biasa sahaja. Apa yang tidak kena?

Melihat isterinya keliru, Li Sicheng menjeling pada kesan lebam berwarna ungu pada leher Su Qianci dan mengingatkannya, "Leher kamu."

Su Qianci kebingungan seketika sebelum tersedar dan terus naik ke tingkat atas dengan wajah kemerahan.

Ou Ming mula berasa janggal. "Okey, kau dah sampai rumah. Aku balik dulu." Kemudian dia segera pergi dan menutup pintu.

Li Sicheng mengikut Su Qianci ke tingkat atas dan masuk ke bilik tidur mereka. Walau bagaimanapun, bilik itu kosong. Mata Li Sicheng berubah dan dia berjalan ke bilik tidur tetamu. Sewaktu menolak pintu bilik itu, dia mendapati ia terkunci.

Di dalam bilik tidur tetamu, Su Qianci sedang bersandar pada pintu itu. Dia berasa takut memikirkan kemungkinan Li Sicheng akan memecah masuk dan…