Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 265 - Dibasahi Peluh

Chapter 265 - Dibasahi Peluh

Sewaktu makan malam, walaupun Su Qianci dan Li Sicheng duduk berhadapan antara satu sama lain, tiada antara mereka yang memulakan perbualan. Nenek Rong juga menyedari ada sesuatu yang tidak kena. Sebenarnya, semuanya serba tidak kena. Tetapi bukankah keadaan baik-baik sahaja sewaktu mereka keluar dari rumah tengah hari tadi?

Selepas makan malam, Su Qianci berkeras untuk membasuh pinggan. Nenek Rong menyedari angin Su Qianci kurang baik dan membiarkannya. Selepas Su Qianci selesai membasuh kesemua pinggan, jam telah menunjukkan pukul tujuh petang. Nenek Rong membasuh sedikit pakaian dan kini sudah tiba masa untuk dia pulang ke rumahnya.

Li Sicheng sedang duduk di atas sofa sambil membalas dokumen-dokumen penting yang dihantar Cheng You. Keadaan sunyi seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Namun Nenek Rong masih berasa agak risau.

"Nenek Rong, kamu boleh balik sekarang," kata Su Qianci dengan senyuman sambil mengelap tangannya.

Nenek Rong berfikir sebentar sebelum berbisik kepada Su Qianci, "Kalau ada sesuatu yang buat kamu tak gembira, luahkannya kepada suami kamu dan semuanya akan jadi lebih baik."

Su Qianci tidak dapat mengelak daripada tersenyum dan mengangguk. Setelah Nenek Rong pergi, Su Qianci terus naik ke tingkat atas tanpa mengganggu Li Sicheng. Dia mandi dan berbaring di atas katil lalu terus terlelap. Selepas seks mereka yang hebat pada pagi tadi, Su Qianci merasakan bukan sahaja tubuhnya keletihan, tetapi hatinya turut sama letih. Kata orang, seseorang berkemungkinan besar akan mengalami mimpi buruk apabila terlalu kepenatan.

Su Qianci tidak tahu sama ada dia sedang mengalami mimpi buruk atau bukan. Dia melihat Li Sicheng terbaring di dalam sebuah gudang terbiar. Mata lelaki itu tertutup dan tangannya terikat di belakang. Beberapa bahan letupan diikat pada dadanya. Api sedang marak menyala dan menjadikan keadaan sekeliling berwarna merah. Bunyi percikan api kedengaran di setiap sudut gudang itu.

Melihat situasi itu, Su Qianci terus menangis dan meluru ke arah Li Sicheng lalu cuba menyedarkannya. Namun lelaki itu langsung tidak bergerak. Su Qianci membuang bahan letupan yang berada pada dada Li Sicheng dan menggunakan seluruh kudratnya untuk mengangkat suaminya itu keluar. Li Sicheng masih tidak sedarkan diri dan pandangan Su Qianci mula kabur disebabkan asap yang tebal. Dia menggunakan seluruh kekuatannya untuk menolak Li Sicheng keluar dari api. Walau bagaimanapun, matanya menjadi semakin pedih. Dalam kekaburan itu, Su Qianci melihat satu susuk tubuh berjalan menghampirinya. Susuk tubuh itu mahu melambai dan menjerit, tetapi tiada suara kedengaran. Apa yang dia cuba katakan?

Hati Su Qianci terasa remuk sambil dia terus menangis, "Bantu dia… tolonglah…"

Li Sicheng terjaga apabila mendengar suara Su Qianci dan mendapati isterinya itu dibasahi peluh. Tangannya seolah-olah sedang menggenggam sesuatu. Air mata berlinangan pada wajah Su Qianci dan dia menendang kakinya seperti seorang anak kecil yang mahukan sesuatu dan dalam kesedihan.

Li Sicheng memeluk Su Qianci dan menepuk-nepuk belakangnya sambil berbisik, "Tak apa. Saya ada di sini."

Su Qianci menangis semakin kuat dalam pelukannya sambil berkata dalam tidak sedar, "Bukan dia. Tapi saya… Encik Li…"

Encik Li… dia memanggilnya dengan panggilan itu lagi. Tetapi suara Su Qianci penuh ketakutan dan terasa jauh. Kenapa dia menggunakan panggilan itu lagi? Li Sicheng tidak mampu memahaminya.

Su Qianci kembali tenang. Namun dia masih dibasahi peluh dingin. Tubuhnya yang basah dan panas yang disandarkan pada Li Sicheng membuatkan Li Sicheng merasakan bahagian bawah pinggangnya menjadi hangat. Walau bagaimanapun, kata-kata Su Qianci selepas itu tiba-tiba membuatkan dada Li Sicheng terasa sesak.

"Maafkan saya Encik Li… Saya tak berniat untuk jatuh cinta kepada kamu. Maafkan saya…"

Tangisan Su Qianci kedengaran sangat sayu. Hari sudah larut malam tetapi Li Sicheng sudah tidak mengantuk lagi. Tanpa bersuara, dia memeluk Su Qianci dengan lebih erat.