Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 178 - Tidak Dapat Melarikan Diri

Chapter 178 - Tidak Dapat Melarikan Diri

Su Qianci yang berasa teramat malu tidak sedar dirinya menguis kakinya sambil memandang ke arah Sheng Ximing. Sheng Ximing tidak mendengar apa yang dikatakan mereka, tetapi apabila melihat wajah Su Qianci seakan terbakar, dia dapat meneka yang lebih baik jika dia tidak mendengar apa-apa. Menyedari reaksi wajah Su Qianci yang gementar, Sheng Ximing menundukkan kepalanya ke bawah dan berpura-pura tidak menyedari apa-apa.

"Kenapa muka kamu merah?" Li Sicheng seolah tidak tahu apa yang telah dikatakannya tadi. Tangannya menyentuh muka Su Qianci. "Panasnya, kamu tak sihat?"

"Kamu… Pergi!" Su Qianci merenungnya tajam ketika perasaan malunya semakin menebal.

Li Sicheng tersenyum kecil dan melepaskannya. Kemudian dia membersihkan tangannya dan mula membantu mereka menyediakan barbeku.

Su Qianci terkejut. Dia tidak pernah tahu pemuda kaya itu pandai menyediakan barbeku. Setelah memerhatikan buat seketika, dia mendapati Li Sicheng mampu membuat sate yang lebih baik berbandingnya.

Song Yifan kemudiannya datang ke situ dan berkata, "Saya dengar Syarikat Kewangan Li sedang cari kumpulan muzik untuk acara yang bakal diadakan. Kamu dah jumpa mana-mana kumpulan muzik?"

"Acara?" Su Qianci menoleh ke arah Li Sicheng, "Kita akan adakan acara?"

Kenapa dia tidak tahu langsung tentangnya?

Setiap acara yang dilakukan oleh kumpulan kewangan Li adalah acara besar-besaran. Ia kebiasaannya diadakan untuk perasmian kepada projek baharu atau bagi membuat pengumuman yang teramat penting. Selalunya ia akan menelan belanja yang banyak dan memerlukan tenaga kerja yang ramai. Walau bagaimanapun, pada kehidupan yang lalu, sepatutnya tiada apa-apa acara sebegitu pada masa ini. Mungkin dia sudah lupa?

"Ia bukan acara untuk syarikat." Li Sicheng berkata tanpa memandangnya. "Ia untuk kamu."

"Untuk saya?" Su Qianci teruja. "Kenapa?"

"Pesta dan sidang akhbar untuk menunjukkan kamu kepada orang ramai." Li Sicheng menghentikan kerja yang sedang dilakukannya dan memandang Su Qianci. "Lambat-laun wanita saya perlu ditunjukkan kepada orang ramai juga."

Wanita saya... dua patah perkataan yang ringkas itu membuatkan jantung Su Qianci berdegup laju. Dia merenung wajah Li Sicheng yang kacak. Tidak kira betapa dinginnya reaksi lelaki itu, Su Qianci masih dapat merasakan hatinya berdebar-debar. Li Sicheng sudah mula menerimanya? Bukan hanya kerana datuk sukakannya, atau kerana dia menyukai Li Sicheng, tetapi dia benar-benar telah diiktiraf sebagai wanitanya?

Tambahan lagi, Li Sicheng berusaha mengadakan parti dan sidang akhbar untuknya… Su Qianci tidak pernah mendapat layanan sebaik ini pada kehidupan yang lepas. Dia berasa gementar, dan bertanya dengan wajah kemerahan, "Datuk yang suruh kamu adakannya?"

Li Sicheng mengangguk dan melihat wajah Su Qianci yang jelas kecewa. "Atuk suruh saya adakan sidang akhbar."

Jadi, parti itu adalah ideanya sendiri.

Walau bagaimanapun, Su Qianci tidak memahaminya dan menjawab perlahan, "Faham."

Li Sicheng merenung Su Qianci dengan dalam, tidak menjelaskannya, dan berkata kepada Song Yifan, "Belum ada lagi. Jika kumpulan kamu berminat, kita boleh berbincang mengenainya."

"Bagus. Bila ia akan diadakan?"

"15 haribulan."

Su Qianci berasa gementar, "Cepatnya?"

"Lagi cepat lagi bagus." Li Sicheng sudah tidak sabar menanti. Dia tidak sabar untuk memberitahu dunia yang Su Qianci isterinya. Pada waktu itu, tidak kira betapa Su Qianci cuba mengelak, dia akan sentiasa dilabelkan sebagai "Isteri Li Sicheng." Su Qianci tidak akan dapat melepaskan diri daripadanya.

Related Books

Popular novel hashtag