Chereads / Perceraian Ke-99 / Chapter 164 - Saya akan Berikan Kesudahan Bahagia Kamu

Chapter 164 - Saya akan Berikan Kesudahan Bahagia Kamu

Su Qianci menyapu air matanya dan cuba menenangkan dirinya. "Kamu perlukan apa-apa? Saya nak mandi."

Suaranya kedengaran seolah-olah dia tidak pernah menangis.

Mata Li Sicheng menjadi gelap ketika dia mengagumi lakonan Su Qianci yang bagus. Dia berfikir seketika sebelum berkata, "Saya nak masuk tandas. Keluar sekejap."

"Kan ada tandas lain."

"Semua ada orang."

Selepas suasana diam seketika, akhirnya pintu bilik air itu dibuka. Su Qianci menundukkan kepalanya dan mahu berjalan melepasi Li Sicheng, tetapi tangannya segera direntap oleh lelaki itu.

"Kamu nak apa?" suara Su Qianci kedengaran perlahan dan serak.

"Mari duduk dengan saya." Kemudian lelaki itu menariknya ke katil tanpa menunggu jawapannya.

Su Qianci kelihatan terpaksa dan cuba menarik tangannya. Matanya kembali basah.

"Kenapa kamu menangis?" Li Sicheng melembutkan suaranya ketika tangannya yang kasar cuba menyapu air mata isterinya. Mata lelaki itu jelas menunjukkan rasa bersalah. "Jangan menangis."

Su Qianci baik-baik sahaja tanpa Li Sicheng melayannya dengan lembut sebegitu, tetapi apabila mendengar suaranya, dia tidak lagi dapat menahan perasaannya. Air mata mula berlinangan di pipinya. Su Qianci menolak tangan Li Sicheng dan mahu bangun, tetapi lelaki itu menahannya.

"Tak apa," kata Li Sicheng.

Walaupun anak itu telah tiada, tetapi asalkan dia mahu, mereka boleh ada anak lagi… Namun itu pasti bukan persepsi Su Qianci.

"Sudah tentulah tiada apa-apa bagi kamu." Su Qianci tersenyum pahit. Tidak kira kehidupan lalu atau sekarang, Li Sicheng sentiasa mencintai Tang Mengying, manakala dia hanya seseorang yang bergelar isteri dan tidak lebih daripada itu. Su Qianci merasakan seperti dia telah menipu dirinya sendiri. Dia menarik nafas secara dalam dan menguatkan dirinya untuk tersenyum, sebelum berkata dengan nada tenang, "Encik Li, apa kata kita bercerai lebih awal."

Kata-kata Su Qianci ibarat segelas air sejuk yang menenggelamkan kesemua perasaan sayang dalam hati Li Sicheng. Wajah lelaki itu menjadi tegang, dan suhu sekelilingnya seolah-olah turun secara mendadak. Raut wajah lembutnya tadi terus hilang.

"Bukankah kamu mahu bercakap dengan saya tentang ini juga? Sekarang saya akan berikan kesudahan bahagia kamu…"

Wajah Li Sicheng semakin dingin ketika dia menguatkan genggaman tangannya pada lengan Su Qianci, "Itu mustahil."

Wajah Su Qianci berkerut kesakitan. Apabila melihat wajah Li Sicheng menjadi dingin, dia akhirnya dapat menenangkan dirinya dan menarik tangannya dari genggaman lelaki itu. "Apa gunanya kita teruskan lagi?" Lelaki itu ada kekasih dan kehidupan yang lain. Dan dia hanya perisai yang digunakan lelaki itu terhadap datuk. Oleh kerana Qin Shuhua juga sukakan Tang Mengying, mungkin datuk akan mengubah fikirannya kelak. Tidak kira apa sekalipun, perceraian lebih baik daripada perkahwinan palsu ini.

Wajah Li Sicheng berubah muram melihat keseriusan Su Qianci. Dia kemudian tersenyum sinis, "Saya yang akan tentukan perkahwinan ini ada gunanya atau tidak." Dia melepaskan tangan isterinya itu lalu bangun dan memandangnya, "Kamu yang buat kontrak itu, dan sekarang kamu tak ada hak untuk mengubahnya."