Su Qianci dapat merasakan semua orang sedang memandangnya dengan cemburu.
"Ya! Kamu!"
"Kamu pandai main piano?"
"Saya rasa dia tak pandai. Pusingan kedua, pusingan kedua!"
Mendengar jeritan itu, Su Qianci mengelipkan matanya dan serta merta berasa teruja. "Betul?" Su Qianci memandang Li Sicheng, jantungnya berdegup kencang.
Li Sicheng mengangguk.
"Oh Tuhan!" Su Qianci menjerit, "Bertuahnya saya!"
Pengacara majlis berkata sambil tersenyum, "Betul, gadis bertuah. Kamu pandai main piano?"
"Ya!"
Sudah tentu. Sewaktu dia melalui saat-saat paling sukar dalam hidupnya pada kehidupan lalu, lagu-lagu Song Yifanlah yang telah memberinya harapan. Lagu ciptaan Song Yifan kedengaran sayu pada awalnya, tetapi ia sebenarnya memberi semangat. Song Yifan juga yang telah menyebabkan Su Qianci memutuskan untuk belajar piano. Dapat melihat idolanya itu dengan mata sendiri sudah cukup, tetapi sekarang dia diberi peluang untuk bermain piano bersamanya. Jantung Su Qianci terasa bagai ingin tercabut.
Melihat Su Qianci yang sedang teruja, pengacara majlis itu berasa sedikit hairan. Gadis itu tidak kelihatan berbeza daripada peminat-peminat lain, dan nampaknya ini kali pertama dia bertemu Song Yifan. Kenapa Song Yifan meminta pemilik restoran supaya memilihnya? Walaupun dipenuhi rasa ingin tahu, pengacara majlis itu tetap bersikap professional dan melambai ke arah Su Qianci, "Jemput datang ke hadapan."
Su Qianci terus bangun dan segera berjalan ke pentas. Pada saat itu, dia berasa gementar kerana sedang diperhatikan oleh semua orang. Namun dia berjaya menenangkan dirinya.
Tiada masalah!
Anggap sahaja bermain piano seperti biasa. Setelah menanam hal itu dalam fikirannya, Su Qianci berasa lebih tenang dan terus berjalan ke arah Song Yifan. Dia menyedari lelaki itu sedang merenungnya. Renungannya seolah-olah telah lama mengenali Su Qianci. Ia sama seperti renungan Sheng Ximing kepadanya sewaktu pertama kali mereka bertemu. Walau bagaimanapun, riak wajah Song Yifan jelas kelihatan sedih dan agak beremosi. Menyedari hal itu, Su Qianci memandang ke arah Sheng Ximing tanpa sedar. Sheng Ximing yang terkejut apabila Su Qianci tiba-tiba menoleh ke arahnya terus tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus dengan jarinya.
"Apa nama kamu, gadis bertuah?"
"Nama keluarga saya adalah Su."
"Baiklah, Cik Su. Kamu kenal Encik Song Yifan!"
"Sudah tentu!" Su Qianci tidak dapat menahan keterujaannya.
Song Yifan merenung Su Qianci sambil tersenyum lembut, dan matanya kelihatan menunjukkan perasaan… sayang. Apabila Su Qianci mengelipkan matanya untuk memastikan perkara itu, senyuman Song Yifan telah hilang. Ia mesti bayangan saya sahaja, fikirnya. Lagipun ini adalah kali pertama mereka bertemu.
Walau bagaimanapun, tiada sesiapa sedar di meja salah satu sudut restoran itu, mata Li Sicheng bertukar dingin, dan sedang merenung tajam ke arah Song Yifan.