"Lihatlah bendera itu! Itu Pasukan Hu Timur!" Bunyi sorakan yang gemuruh bergema. Pada saat itu, semua orang terkejut. Mereka menatap seolah-olah mereka begitu teruja sehingga muka mereka menjadi merah.
"Itu Pasukan Hu Timur! Merekalah itu!"
"Mereka merupakan tentera Putera Ketujuh! Sekutu kita! "
"Hidup Tuanku Ketujuh! Hidup Empayar Xia!"
….
Wei Shuye terduduk di atas kudanya. Tidak pernah dalam hidupnya dia menjangkakan pada saat yang sangat kritikal ini, Zhao Che, yang sepatutnya merampas Bandar Zhen Huang akan muncul di sini. Dia telah mengabaikan persahabatan ini untuk mengikut arahan keluarganya dengan menyokong Zhao Yang. Ironinya, di saat keluarganya, Zhao Yang dan Empayar Xia mengabaikannya, orang yang telah dia abaikanlah yang berpaling untuk menyelamatkannya. Mengetap giginya, Wei Shuye terus membelah tengkorak musuhnya.
"Bunuh musuh!" Panggilan begol untuk menyerang telah dibunyikan sekali lagi. Bersama-sama dengan semangat yang berkobar-kobar, semangat bertarung mereka dinyalakan sekali lagi. Di dalam medan perang yang penuh kehancuran itu, waktu senja kini menjelang dan bunyi pembunuhan akhirnya berkurang sehingga menjadi senyap. Angin malam membawa bersama-sama bau hamis darah.
Dalam sut pertarungannya, Zhao Che sedang berdiri di atas sebuah empangan semasa dia menyaksikan medan perang yang berlumuran dengan darah ini. Wei Shuye berdiri tidak jauh di belakangnya sambil memandang susuk tubuh Zhao Che. Pada saat itu, dia seolah-olah telah kembali ke masa lalu di mana Wei Shuye teringat pada suatu ketika dahulu, putera yang dikalahkan ini baru sahaja kembali ke ibu negara. Apabila Zhao Che berlutut di Dataran Zi Wei dan mengaku bersalah, Wei Shuye hanya berdiri seperti itu, memerhatikan belakangnya yang selalu tegak dan penumbuknya yang sentiasa digenggam.
Setelah bertahun-tahun mengharungi situasi hidup dan mati, naik dan turun, bahaya dan risiko, kesetiaan dan pengkhianatan, anak mata setiap orang seolah-olah sudah semakin berusia.
Zhao Yang telah menjadi seorang lelaki yang bercita-cita tinggi, Zhao Song terus berputus asa atas segala cita-cita, Zhao Qi meninggal dunia di Yan Bei, Yan Xun bertukar menjadi kejam dan tegas, Zhuge Yue akhirnya tersedar daripada kedegilannya sendiri. Namun, dalam semua perubahan ini, hanya Zhao Che sahaja yang kekal sama seperti dirinya yang dulu. Dia sentiasa kental dan tegas. Dia tidak pernah kelihatan lemah dan tidak pernah menunjukkan tanda-tanda kelemahan. Lelaki ini telah dilahirkan sebagai seorang askar dan seorang pejuang.
Berjalan perlahan-lahan ke belakang Zhao Che, Wei Shuye akhirnya membuka mulutnya dan berkata, "Terima kasih kerana menyelamatkan saya."
Zhao Che tidak berpaling seolah-olah dia sudah lama mengetahui lelaki ini sedang berdiri di belakangnya. Suara rendah kemudiannya dapat didengari, "Saya cuma tak mahu mengecewakan nama keluarga saya." Sesungguhnya dia merupakan keturunan Maharaja Peiluo, dengan darah diraja yang paling tulen mengalir dalam tubuhnya. Dia hanya mempertahankan wilayah dan rakyatnya. Ini tiada kaitan dengan suku keluarga masing-masing atau untuk menyelamatkan sesiapa pun.
"Lihatlah betapa indahnya." Zhao Che tiba-tiba menghulurkan tangannya dan dengan menggunakan sarungnya, dia menunjuk ke arah dataran rumput di bawahnya. Di bawah matahari terbenam, sinar merah terang menerangi dataran gersang yang ditiup oleh angin. Ia kelihatan seperti darah yang mengalir melalui lautan emas. Sesungguhnya satu pemandangan yang indah nian.
"Orang duniawi tak pernah melihat keluasan dunia yang sebenar, kerana dunia seperti itu belum lagi tercipta. Akan ada suatu hari, dari Tanah Tinggi Shangshen Yan Bei ke Pantai Timur Empayar Song, dari Tanah Tandus Ahdu di Gurun Barat ke Banjaran Gunung Jiuwai di Sempadan Selatan, semua orang akan tunduk di kaki Empayar. Pembuka cerita itu akan ditulis oleh pedang saya ini." Dia mengalihkan pandangannya dengan mata yang sangat bersemangat. Dia menatap ke arah Wei Shuye sambil tersenyum dengan yakin sebelum menghulurkan buku limanya dan berkata dengan tegas, "Empayar Xia tak akan pernah pupus."
Wei Shuye membalas pandangannya itu. Wei Shuye senyap buat seketika sebelum tersenyum. Senyuman yang tersebar pada wajahnya menunjukkan matanya kini sudah hidup semula. "Empayar Xia tak akan pernah pupus!" Dia pun turut menghulurkan buku limanya lalu melagakannya dengan buku lima Zhao Che.
Di bawah langit Wilayah Barat Laut, matahari yang indah terbenam perlahan-lahan ke bawah kaki ;angit. Tentera yang bekerja keras sepanjang hari akhirnya boleh berehat dan seluruh pasukan mula masak makan malam dan tidur. Mereka hanya mempunyai empat jam untuk berehat. Sebaik sahaja masanya tiba, mereka perlu terus bergegas ke Barat Daya.
Setelah memeriksa keadaan seluruh ahli tenteranya, Zhuge Yue baru sahaja kembali ke kem utamanya apabila dia melihat Chu Qiao telah bersiap-sedia untuk pergi. Dia kelihatan seolah-olah sedang menunggu pemuda itu kembali sebelum dia berangkat pergi.
Zhuge Yue berdiri di depan pintu dan memerhatikannya dengan senyap tanpa mengungkapkan sepatah perkataan pun. Angin musim bunga terasa sedikit kencang dari kebiasaannya kerana ia telah menyelak tirai pintu masuk itu dan membiarkan cahaya dari luar memasuki khemah.
"Awak dah buat keputusan?" Suara rendah itu akhirnya bergema. Dia tidak mengetahui emosi yang tersirat di sebalik suara yang tenang itu.
Chu Qiao mengangguk dan menjawab dengan serius, "Ya, saya dah buat keputusan."
Setelah mendengarnya, Zhuge Yue berpaling untuk beredar dan berkata, "Saya akan siapkan kuda perang untuk awak."
"Zhuge Yue!" Chu Qiao melangkah ke hadapan dan meraih tangan Zhuge Yue, seolah-olah dia sedang berada dalam dilema. Suasana di dalam khemah terasa tegang. Chu Qiao menundukkan kepalanya dan berkerut. Tapak tangannya terasa sejuk seperti dua bongkah ais. Akhirnya, lelaki itu berpaling dan menatap wanita itu dengan serius. Dia terdiam buat seketika, menghela nafas tidak berdaya sebelum mengeluarkan pedangnya dan meletakkannya di pinggang Chu Qiao. Dia kemudiannya berpaling untuk mengikat pisau belati yang tersembunyi pada betisnya. Selepas itu, dia melangkah keluar dari khemah dan membawa masuk satu set baju zirah lembut lalu perlahan-lahan memakaikannya pada Chu Qiao. Dia menanggalkan mantelnya sendiri lalu meletakkannya di atas bahu wanita itu. Tanpa berkata apa-apa, dia terus membantunya menyediakan peralatannya, mengasah pedangnya, memeriksa bagasinya dan ubat-ubatannya. Mata Chu Qiao berkaca tatkala dia mengetap bibirnya dan memerhatikan lelaki yang sedang sibuk itu.
"Baiklah." Selepas menyelesaikan segala-galanya, lelaki itu berdiri di hadapannya dan berkata, "Bersiap-sedia untuk makan. Selepas dua jam ini, kita akan berpisah. Saya hanya dapat menghantar awak sampai sini saja."
Chu Qiao mengangguk dengan rasa kesedihan dan tidak berdaya yang bercampur rasa bersalah dan sedikit rasa takut. Sudah lama dia tidak berasa takut seperti ini. Seperti yang dijangkakan, seseorang itu tidak patut terlalu senang dengan apa yang ada. Apabila seseorang itu merasakan kebahagiaan yang melampau, dia akan takut kehilangannya.
"Xing'er, janji dengan saya, awak mesti kembali dengan sempurna untuk berjumpa saya."
Chu Qiao cepat-cepat mengangguk dan mengangkat kepalanya untuk melihat Zhuge Yue untuk bertanya, "Awak tak marahkan saya?"
Zhuge Yue tersenyum kelat. "Jika saya marah, awak tak akan pergi ke?"
Chu Qiao menundukkan kepalanya. Mereka sudah berhujah beberapa kali disebabkan hal ini, tetapi pada saat ini sebelum perpisahan mereka, dia tidak mahu meneruskan topik bahaya ini lagi.
"Oleh sebab tiada jalan lain bagi saya untuk menghalang awak dari pergi, saya mahu hantar awak dengan cara yang betul." Zhuge Yue tiba-tiba mendepakan tangannya untuk memeluk Chu Qiao dalam pelukannya. Dagunya diletakkan pada dahinya dan dia berkata dengan senyap, "Xing'er, Zhao Che membawa pasukannya ke Kawasan Barat Daya. Berdasarkan situasi ini, saya perlu bergegas ke sana untuk membantunya. Disebabkan pendudukan Yan Bei di Kawasan Barat Daya, laluan ke Empayar Tang dari Empayar Xia akan terputus. Tak kira apapun yang berlaku, saya tak akan dapat membantu awak. Keadaan di Empayar Tang hanyalah sesuatu yang dapat diteka tanpa mengetahui butirannya, jadi awak mesti berhati-hati. Sebaik sahaja awak sedar semuanya sedang menuju ke arah selatan, awak mesti berundur."
Chu Qiao memeluknya dengan erat dan mengangguk tanpa mengeluarkan sebarang bunyi.
Zhuge Yue mengeluh sebelum meneruskan kata-katanya, "Kalau keadaan di Empayar Tang semakin buruk dan kekalahan tidak dapat dielakkan, awak harus bawa rakyat ke Qinghai. Saya dah arahkan Yue Qi untuk pulang ke Sempadan Cuiwei. Dia akan berada di sana untuk menunggu kepulangan awak."
Mata Chu Qiao berubah menjadi lembap tatkala dia menangis dan mengangguk.
"Baiklah. Oleh sebab awak dah memilih untuk pergi, jangan tampilkan yang awak itu seorang yang tak tegas. Perkara yang paling penting untuk memimpin tentera di dalam peperangan ialah kekal tenang. Kalau awak akan pergi seperti ini, bagaimana boleh saya duduk diam?"
Chu Qiao mengangkat kepalanya dan tersenyum kepadanya, tetapi dia masih menangis apabila dia menjawab, "Bawa bertenang. Tiada apa-apa yang akan berlaku kepada saya."
Zhuge Yue meraih wajahnya lalu mencium bibirnya sebelum tersenyum. "Inilah keyakinan yang buah hati saya patut ada."
Chu Qiao berasa gembira apabila mendengar kata-katanya itu. Dia kemudiannya memandang lelaki itu dan berkata, "Awak pun hati-hati. Situasi kali ini agak berat. Bukan saja awak harus mengawasi pasukan Yan Bei, tetapi awak juga harus berwaspada terhadap Zhao Yang dan golongan bangsawan yang lain. Empayar Xia telah berpecah dan musuh juga sedang menyerang kita. Dalam keadaan yang tak stabil ini, awak mesti lebih berhati-hati."
"Saya faham." Angguk Zhuge Yue. "Saya telah memimpin pasukan di dalam pertempuran buat sekian lamanya, jadi jarang sekali bagi saya menjadi kurang bernasib baik. Awak sepatutnya lebih mempercayai suami awak."
Dalam pakaian perangnya itu, Chu Qiao kelihatan comel. Setelah mendengar hal itu, wajahnya memerah lalu dia pun memarahi Zhuge Yue, "Awak suami siapa? Saya dah berkahwin dengan awak secara rasmi ke?"
Zhuge Yue menolak kenyataan itu dengan mencemuh. "Awak dah lama berkahwin dengan saya di dalam hati awak, cuma awak saja yang enggan mengakuinya." Setelah itu, pandangannya tiba-tiba berubah menjadi lembut lalu dia pun berkata, "Xing'er, saya masih berhutang perkahwinan yang luar biasa dengan awak."
Mata Chu Qiao penuh rasa cinta tatkala dia berbisik, "Saya tak perlukan perkahwinan yang luar biasa. Selagi awak ada di samping saya, itu dah mencukupi."
Bunyi begol tentera yang nyaring berbunyi di luar sehingga menembusi dataran rumput yang luas. Persekitaran mereka tiba-tiba terasa begitu kosong apabila bunyi itu bergema. Chu Qiao memejam matanya lalu berjengket untuk mengucup Zhuge Yue. "Zhuge Yue, kita berdua mesti kekal selamat."
"Ya." Zhuge Yue memeluknya dengan erat.
Dalam laluan yang tandus itu, Chu Qiao memimpin Xiao He tatkala dia duduk di atas kuda itu. Dia memandang ke arah kejauhan pada susuk tubuh kacak yang berdiri di bawah bendera Qinghai.
"Zhuge Yue! Saya pergi dulu!" Angin meniupkan debu-debu bersama jubah Chu Qiao lalu mendedahkan baju zirah putih yang dipakainya.
Mata Zhuge Yue tajam dan tegas. Raut wajahnya tenang dan tidak berubah ketika dia menjerit, "Semoga berjaya!"
Chu Qiao menaikkan cemetinya sambil menjawab dengan kata-kata yang sama, "Semoga awak berjaya juga!"
Bunyi dentuman gendang perang bergema apabila Chu Qiao melibas kudanya dan memusingkannya sebelum menjerit dengan kuat, "Gerak!" Dengan derapan tapak kaki kuda itu, bulu merah di bahagian atas topi keledarnya kelihatan seperti api yang berkobar-kobar dan begitu menarik di dunia ini.
Selepas perpisahan mereka, tidak ada lagi kata-kata berhati-hati atau teragak-agak. Mereka hanya mengucapkan selamat terhadap kejayaan masing-masing. Mereka berdua tahu apa yang mereka mahukan. Dalam dunia yang tidak stabil ini, kehidupan sangat mudah hilang. Satu-satunya perkara yang tidak akan mati ialah kepercayaan mereka yang utuh.
"Tuan," Yue Liu berkerut sambil bertanya, "Kenapa Tuan tak halang Cik Puan daripada pergi? Empayar Tang itu sangat berbahaya. Mengapa Tuan tak hentikan dia?"
Zhuge Yue berpaling dan tersenyum kecil. "Kalau dia tak pergi, adakah dia benar-benar Chu Qiao?"
Bunyi derapan kuda semakin menghilang di kejauhan. Setelah melihat ke arah sana, hati Zhuge Yue dipenuhi dengan kata-kata yang tidak dapat diungkapkannya sebelum mereka berpisah.
Orang yang saya sayang ialah orang ini. Bagaimana mungkin saya menyimpannya di sebelah saya selepas saya berjaya meraih hatinya dan perlahan-lahan memusnahkan keperibadian dirinya?
Zhuge Yue tertawa sebelum mengarahkan orang bawahannya, "Mari pergi!"
Pada separuh pertama Tahun 882, Yan Bei memulakan serangan penuh terhadap Empayar Xia. Mereka telah bekerjasama dengan Cik Puan Jingan yang membuka pintu Sempadan Tanghu untuk membenarkan kemasukan mereka sebelum mengalahkan semua Garison Tang sehingga ke barat Gunung Mei. Ini bertujuan untuk membersihkan laluan ke ibu negeri bagi pasukan Raja Jingan. Sebelum Empayar Tang meletus sepenuhnya dalam perang saudara, tentera Yan Bei telah mengeluarkan diri mereka dari keadaan tersebut dan mengepung Sempadan Baizhi Empayar Xia.
Oleh sebab kemunculan perang saudara di Empayar Xia, Putera ke-14 Zhao Yang telah memindahkan lebih 80 peratus daripada Garrison Barat Daya untuk menentang tentera Qinghai dan pasukan Hu Timur yang masing-masing diperintah oleh Zhuge Yue dan Zhao Che. Di samping itu, disebabkan kekurangan peperangan di Sempadan Baizhi pada tahun-tahun yang lalu, garison yang ditugaskan di sana sangat lemah. Seluruh pintu gerbang itu hanya dikawal oleh ratusan tentera lama sahaja. Di hadapan pasukan elit Yan Bei, Sempadan Baizhi ini hanya tampak seperti tingkap kertas sahaja.
Selepas menyembelih sekumpulan pasukan yang menentang pencerobohan itu, Yan Xun telah membuka laluan itu dan membenarkan kemasukan penyamun yang membawa bencana kepada penduduk awam di wilayah Barat Daya.
Disebabkan keluasan Benua Meng Barat, terdapat banyak kawasan kecil yang tidak diperintah oleh sesiapa. Di tempat-tempat itu, terdapat banyak organisasi penyamun. Beberapa kumpulan yang lebih besar malah dapat menahan kumpulan kecil pasukan diraja. Dengan kaedah mereka yang tidak berperikemanusiaan dan reputasi yang kejam, banyak keluarga bangsawan di Bahagian Barat Daya cuba mengelak dari bertemu dengan mereka. Dengan itu, krisis pelarian besar kini terbit dan pasukan tentera enggan menyerang atau berundur tanpa pertandingan lalu menyerahkan wilayah besar mereka kepada tentera Yan Bei. Lantas, Yan Xun berjaya memperoleh manfaat yang paling besar dengan harga yang terkecil.