Chapter 196 - Bab 196

Tiba-tiba, ledakan bom yang kuat bergema dari arah belakang. Chu Qiao lantas memusingkan kepalanya untuk bersabung mata dengan mata Yan Xun yang penuh dengan kemarahan. Tangan pemuda itu dihayunkan di hadapan dadanya seperti senjata tajam yang bersedia untuk menumpahkan darah sesiapa sahaja dan memberikan isyarat supaya melepaskan anak panah pada bila-bila masa sahaja.

Chu Qiao serta-merta diselubungi rasa ketakutan yang melampau sehingga telah memberi kesan ke seluruh tubuh badannya. Idea-idea yang dibanggakannya dahulu, harga diri dan maruah dirinya telah dibuang keluar. Gadis itu lantas terjatuh ke atas lantai lalu dahinya kelihatan merah kerana kulitnya yang lembut itu menampakkan daging dan tulang. Air matanya mengalir laju sambil wanita itu menggerakkan tangannya dan merayu, "Jangan! Tolonglah, Yan Xun, jangan…"

Yan Xun memerhatikan wajah wanita ini yang dihurung kesedihan dengan hati yang sakit. Wanita ini satu-satunya orang yang berada di sisinya apabila dia terdesak dan tidak mempunyai apa-apa suatu masa dahulu. Wanita itu telah menderita bersamanya selama lapan tahun ketika di penjara Ibu Negara Maharaja dahulu. Dia pernah bersumpah untuk memberikan segala-segalanya untuk Chu Qiao dan melindunginya, tetapi malangnya dia seorang yang tidak berpegang pada janjinya. Dia yang memburaikan segala janji-janji yang telah diucapkan kepada Chu Qiao dan lantas senyuman kelat terukir di bibirnya. Ekspresi wajahnya ketika itu tidak terlalu berbeza dengan reaksi wajahnya ketika dia sedang menulis di mejanya dan Chu Qiao datang mencarinya kembali, berpeluh kepanasan akibat daripada cahaya lilin pada masa itu.

'Ah Chu, saya tak pernah berubah. Hanya awak saja yang tak tahu apa sebenarnya yang saya mahukan. Hari ini akan menjadi hari di mana saya akan berkongsi dengan awak semua kepercayaan saya, cita-cita saya dan segala-galanya. Satu demi satu.'

"Serang!" Seisi dunia bagaikan telah berubah menjadi sunyi sepi sehingga angin juga turut berhenti bertiup. Hanya bunyi serangga kecil saja yang kedengaran seolah-olah hanya mereka satu-satunya makhluk bernyawa yang langsung tidak terkesan dengan segala konflik yang penuh kebencian ini.

Seramai 20,000 orang tentera berkuda Pasukan Tentera Helang Hitam telah melancarkan serangan maut. Beribu-ribu serangan anak panah dilepaskan lantas memenuhi ruang di langit sehingga menenggelamkan cahaya matahari yang selalunya menerangi langit yang cerah. Hari yang terang telah bertukar kelam seperti malam disebabkan oleh besi logam yang bercucuran jatuh dari atas. Anak panah itu dipenuhi cangkuk yang berkilat dan dihujungnya diikatkan tali yang panjang mensasarkan ke arah Zhuge Yue.

"Lindungi Jeneral!" Yue Da dengan badannya yang dipenuhi anak panah dan kehilangan sebelah kakinya masih melompat ke hadapan Zhuge Yue. Pasukan Tentera Yue yang masih hidup terus berdegil untuk mempertahankan diri walaupun mereka terluka, hancur dan kehilangan sebahagian daripada anggota badan mereka. Anak panah tidak terkena pada tubuh mereka namun sebaliknya tertusuk ke dalam sungai yang membeku seperti perisai logam.

Yan Xun lantas memberikan arahan supaya 20,000 orang tentera berkudanya untuk berpaling dan melarikan diri jauh dari situ. Tali yang diikat pada anak panah ditarik ketat lalu menyebabkan hamparan ais beku yang menutupi sungai itu mulai retak. Sesaat selepas itu, ia akhirnya runtuh lalu menampakkan air yang berada di bawahnya. Chu Qiao memalingkan kepalanya dalam keterpaksaan dan melalui matanya yang dikaburi dek darah dan juga debu kotoran, dia ternampak Zhuge Yue yang bakal terjatuh ke dalam arus air tasik deras dan membeku. Kepingan ais yang tajam menembusi badannya dan mengeluarkan darah tetapi wajahnya kelihatan tenang dan tidak beremosi seolah-olah bercanggahan dengan situasi huru-hara di medan perang. Matanya bertemu dengan mata milik Zhuge Yue yang kelihatan tenang, langsung tidak dihurung kebencian, tiada permusuhan, tiada kegembiraan dan juga tiada paksaan. Ia kelihatan sama seperti tahun-tahun yang lalu di mana dia memandang Chu Qiao dengan pandangan yang kosong dari jauh ketika Chu Qiao berlalu pergi meninggalkan dirinya dan juga di saat wanita itu telah menghayunkan pedangnya pada kepala pemuda itu.

Malangnya, masa berlalu dengan begitu pantas. Chu Qiao membuka matanya dengan luas dan dia melutut di atas tanah sambil air matanya mengalir sekali lagi. Dia bergerak dua langkah ke hadapan seperti anak patung yang kekeliruan sambil memerhatikan tragedi yang sedang berlaku di depan matanya tanpa dapat melakukan apa-apa. Mata mereka bertemu dan dengan perlahan-lahan Zhuge Yue mulai tenggelam. Angin bertiup kencang seperti jeritan binatang buas yang meniupkan ribut salji di antara mereka dan mengaburkan pandangan di sekelilingnya. Air yang sejuk itu menenggelamkan dirinya lalu matanya hilang dari pandangan. Tiada sesiapa yang dapat melihat wajahnya yang angkuh itu lagi dan rambut hitamnya yang pekat juga tidak lagi kelihatan kerana ditenggelami air dalam itu. Chu Qiao membuka mulutnya untuk menjerit namun tiada suara yang mampu terkeluar dari tekaknya. Hanya angin sejuk saja yang memasuki ruang mulutnya sehingga dia terbatuk. Setiap kali dia mencuba untuk berdiri, dia terjatuh semula. Dengan percikan yang kuat, dia melompat masuk ke dalam air berais itu.

Kesejukan yang dirasai wanita itu sesaat dia menerjun ke dalam tasik itu dapat menusuk jauh ke dalam tulangnya dan seluruh badannya menjadi kebas. Dia berenang dengan sepenuh kekuatannya sebelum mula mengesan dengan matanya yang terbuka luas itu. Dengan bantuan cahaya matahari yang bersinar terang dari atas, wanita ini dapat melihat banyak bayang-bayang yang sedang bergelut untuk menyelamatkan diri dan mulutnya lantas dipenuhi rasa logam besi. Dia mencari kelibat Zhuge Yue namun langsung tidak dapat mengesannya. Chu Qiao lantas mula menangis akibat berputus asa, air matanya bercampur dengan air ais dan darah segar di sekelilingnya. Bibirnya mula berubah kebiruan kerana tubuhnya mula membeku dan sukar untuk bergerak. Dia merasakan seolah-olah ada sesuatu dipinggangnya yang cuba menariknya ke atas.

Tidak, belum tiba masanya untuk wanita ini ke permukaan tasik lagi. Lalu, dia menarik pedangnya untuk mencantas sebarang halangan yang cuba menariknya ke atas tanpa kerelaannya. Namun, pada masa ini, sepasang tangan yang sejuk memegang pergelangan tangannya dengan kuat lantas menghalang pergerakannya.

Wanita ini bagaikan telah dianugerahkan dengan kuasa telepati apabila dia dapat merasakan orang yang menggenggam tangannya itu adalah Zhuge Yue. Dia lantas berpusing dan sekaligus wajah kacak yang tertera di hadapan wajah wanita ini adalah milik Zhuge Yue. Matanya yang hitam pekat, bibirnya yang pucat dan juga hidungnya yang tinggi. Anak matanya bersinar apabila memandang wajah Chu Qiao dengan bersemangat sambil menggenggam tangan wanita itu. Darah yang merembes keluar dari lukanya lantas memasuki mulut Chu Qiao sebelum wanita itu cuba untuk memeluknya kerana berasa terlalu gembira. Lantas dia menarik tangan pemuda itu untuk berenang ke atas dengan segala kekuatannya namun Zhuge Yue pantas merampas pedangnya. Pemuda itu menarik tangan wanita itu sambil hujung jarinya menulis sesuatu di atas tapak Chu Qiao. 'Teruskan kehidupan…Teruskan kehidupan…Teruskan kehidupan…'"Bersama-sama!" Chu Qiao cuba untuk membuka mulutnya dan mengatakan perkataan tersebut namun hanya buih-buih kecil saja yang mampu terhasil.

Dengan perlahan-lahan pemuda itu menggelengkan kepalanya sambil terus menulis perkara yang sama berulang-ulang kali.

Air mata Chu Qiao mula mengalir laju sambil menggelengkan kepalanya dan cuba untuk menarik Zhuge Yue sekali lagi.

'Mari ikut saya! Teruskan kehidupan bersama saya!'

'Saya tak nak teruskan kehidupan seorang diri. Saya tak nak hidup selamanya terhutang budi dengan awak. Saya tak nak awak mati! Tidak!'

Wanita itu lantas merasakan tarikan di pinggangnya yang mula menolaknya ke atas perlahan-lahan. Dia sudah tidak mempunyai kekuatan lagi, yang tinggal hanyalah tangannya yang masih berpaut untuk menarik lelaki itu. Dia tidak pernah tahu kematian lelaki itu akan menyebabkan dia berasa cemas, tidak pernah tahu yang lelaki itu telah mengambil tempat yang penting dalam hatinya. Dia tidak pernah tahu yang segala kebencian dan perasaan ingin balas dendam itu hanyalah alasan untuk menidakkan perasaannya sendiri, tidak pernah tahu yang dia akan berasa sangat sedih apabila melihat lelaki itu pergi meninggalkannya.

'Zhuge Yue, Zhuge Yue, tolong jangan berlaku kejam dengan saya. Jangan biarkan saya hidup dengan kesakitan ini buat selama-selamanya. Kalau tiada cara untuk saya membalas jasa awak, biarkan saya mati bersama awak.'

Cahaya matahari kelihatan semakin cerah ketika wanita ini semakin dekat dengan permukaan. Dia terus menangis dan pandangannya dikaburi oleh air matanya. Dia terbayangkan pandangan lembut Zhuge Yue. Jari-jemarinya terus menarik tangan lelaki itu dengan kuat seolah-olah dia cuba untuk menyalurkan segala emosi yang dirasainya melalui cengkaman tangannya terhadap lelaki itu. Dia masih bergelut dan menggelengkan kepalanya, merayu supaya lelaki itu berhenti menolaknya ke atas. Tiba-tiba dia rasa serba-salah. Kalaulah dia tidak memberitahu Yan Xun perasaannya sebelum ini dan tidak memarahinya, Zhuge Yue mungkin tidak akan mati. Sekiranya dari awal lagi dia merayu pada Yan Xun, Zhuge Yue mungkin tidak akan mengalami nasib seperti ini.

Kesakitan dan ketakutan ini boleh disamakan dengan sebuah jurang maut yang sangat dalam yang cuba menelan dirinya sambil dia terus memegang lelaki itu, enggan untuk melepaskannya.

Zhuge Yue kelihatan sangat kacak ketika dia asyik menatap wajah seseorang buat kali pertama dalam hidupnya. Selepas bertahun-tahun lamanya, dia merasakan impiannya selama ini mula mendapat sedikit balasan. Dengan segala kekuatannya, dia berenang ke arah Chu Qiao lantas memeluknya erat. Dia lantas mengucup bibir Chu Qiao dengan bibirnya yang sejuk itu.

Pada ketika itu, air mata Chu Qiao mengalir dengan deras, bercampur dengan air di sekeliling mereka. Ia terasa seolah-olah perasaan putus asa telah menikam jiwanya dan meninggalkan kesan lubang di hatinya, menyebabkan air di sekelilingnya mula memasuki lubang itu untuk memenuhi kekosongan di hatinya itu.

Wanita ini sudah tidak bermaya lagi jadi dia mula terapung ke permukaan sungai apabila pinggangnya ditolak dari bawah. Tangannya yang masih berpaut pada lengan pemuda itu kini mula menjauh daripadanya. Zhuge Yue membuka cengkamannya di lengan Chu Qiao, satu jari pada satu masa sebelum akhirnya tangan mereka terpisah, membuatkan jarak antara mereka semakin jauh. Chu Qiao menghulurkan tangannya kembali namun dia hanya mampu melihat tubuh pemuda itu mula tenggelam, dalam dan lebih dalam lagi. Matanya masih kelihatan jernih walaupun dia mula beransur-ansur ditenggelami kegelapan dan kedalaman air.

Hatinya hancur berkecai dan penglihatannya mula kabur. Pandangan Zhuge Yue yang lembut namun tegas itu masih bermain-main di fikirannya seperti mengulangi ayat-ayat itu: 'Teruskan kehidupan…Teruskan kehidupan…Teruskan kehidupan, awak masih mempunyai banyak mimpi dan impian yang perlu ditunaikan.'

Wanita ini sering mengucapkan kata-kata itu kepada seseorang lama dahulu. Namun, dia tidak sedar ada insan lain di belakangnya yang telah berdoa untuk keselamatan dirinya secara senyap-senyap.

Ketika Chu Qiao keluar dari air, dia merasakan seolah-olah dia telah mati. Dia menjadi bingung ketika cahaya matahari mulai menyinari kulitnya.Walaupun Yan Xun sedang memanggilnya dengan kuat, dia seperti tidak dapat mendengar apa-apa. Ia seolah-olah dia sudah mati di dalam tasik itu dan hanya jasadnya sahaja yang keluar dari situ.

Angin yang bertiup kencang mula bertiup lembut seperti burung putih yang berterbangan di atas langit. Matahari sudah terbenam dan salji juga telah berhenti, kelihatan sangat cantik apbila menghasilkan sebuah cahaya yang mempesonakan. Ia menyinari seluruh alam dengan cahaya yang kemerah-merahan.

Namun, Zhuge Yue tidak akan pernah melihatnya lagi.

Tiba-tiba, Chu Qiao menjadi panik seolah-olah dia telah mendapat sebuah kekuatan ajaib lalu dia menolak Yan Xun ketepi. Wanita ini berlari laju menuju ke arah lubang di lapisan air tersebut. Yan Xun yang terkejut dengan tindakannya terus mengejarnya dan memeluknya dengan erat. Jaraknya dengan lubang itu hanya lima meter, namun dia tidak dapat pergi dengan lebih dekat. Kemurungan serta-merta menyelubungi hatinya seperti banjir yang tidak dapat dikawal. Dia yang sedang melutut di atas tanah kemudiannya menjerit, "Keluar! Keluar dari sana!"

Darah terpercik keluar dari mulutnya terkena pada tangan Yan Xun lalu membuatkan dia terjatuh ke atas tanah bersalji itu dalam keadaan menggigil seperti daun yang jatuh berguguran.

"Ah Chu!" Yan Xun memanggil namanya di tepi telinganya namun suaranya seolah-olah begitu nyaring.

Wanita ini berhenti menangis lalu memusingkan kepalanya ke arah Yan Xun dan merenung pemuda itu dengan perasaan yang bercampur-baur menyelubungi diri.

Apakah emosi yang terpancar di pandangannya?

Kemarahan, kebencian, kekecewaan dan kesedihan semuanya terbayang satu demi satu sebelum bercampur menjadi rasa berputus asa. Ketika dia melihat Yan Xun, air matanya mula mengalir lagi. Segala harapannya telah hilang seperti kabus di siang hari manakala segala impian yang telah dikongsi bersama pemuda itu hancur seperti debu yang ditiup angin.

Semua kerisauan, ketakutan, kesakitan Yan Xun sebelum ini mula membeku di sebalik pandangannya yang dingin itu. Yan Xun melonggarkan cengkaman tangannya lalu berdiri dan melihat Chu Qiao.

Angin mula bertiup kembali dan seperti ada sesuatu benda putih melekat di bulu matanya lalu mengaburi penglihatannya. Kesedarannya mula hanyut sedikit demi sedikit dan dalam kebingungan dia seolah-olah melihat sepasang mata itu lagi.

Teruskan kehidupan, teruskan kehidupan, teruskan kehidupan..Suaranya seolah-olah kedengaran hampir di telinganya. Dia menutup matanya lalu terjatuh ke atas tanah dan pengsan. Dia hanya berharap semua ini hanyalah satu mimpi yang buruk.

Angin kembali bertiup kencang lantas menerbangkan kepingan salji ke dalam sungai dan kawasan yang terdedah mula kembali membeku. Dalam kesunyian yang tidak bermaya, kewujudan sungai itu seperti mitos Mata Air Kuning.