Kuda pertempuran itu menerpa ke arah kedua pasangan tersebut dan lantas penunggang itu menuruni kudanya sebelum berlari ke hadapan sambil berteriak, "Jeneral!"
"Apa yang dah berlaku? Kenapa baru sekarang kamu pulang? Mana yang lain? Kamu ada nampak Cik Yu tak?"
"Jeneral, kami terserempak dengan perompak tadi. Habis semua saudara kita dirompak!"
"Apa?" Ujar Chu Qiao dan Xue Zhiyuan serentak, lantas disusuli Chu Qiao yang berkata terpana, "Siapa punya angkara ini? Awak ada lebih 500 orang tentera bersama awak. Macam mana awak boleh kena rompak pula?"
"Jeneral, walaupun kami ada ramai tentera, tapi jumlah tentera mereka lebih ramai, seramai lebih daripada 7,000 orang."
"Mengarutlah!" Tempik Xue Zhiyuan. "Kamu semua yang cuai tapi cuba nak salahkan perompak pula. Di Yan Bei ini hanya ada tentera pakatan sajalah, jadi dari mana 7,000 orang perompak ini datang pula? Kamu yang cuba mengelat ini!"
Tentera itu berkerut sebelum membidas dengan tegas, "Jeneral Xue, walaupun kami tak handal, tapi kami dah lama ikut Tuanku pergi berperang. Walau kami mati sekali pun, kami tak akan menyesal. Kalau kata-kata saya hari ini salah, saya minta Dewa hukum saya dengan kematian yang dahsyat!"
Chu Qiao menghela nafasnya lalu bertanya dengan nada rendah, "Bagaimana pula dengan tentera-tentera kita sekarang ini? Perompak-perompak itu ada apa-apa permintaan ke? Mereka ada bunuh tentera kita ke?"
Tentera itu tiba-tiba kembali bertenaga apabila membalas kata-kata Chu Qiao, "Tak, tiada sesiapa yang terkorban. Serangan hendap mereka terhadap kami hanya melibatkan kecederaan minimum saja. Mereka memang bengis pun pada mulanya dan mengugut kami supaya membantu mereka sampaikan pesanan. Tapi, selepas dapat tahu yang kami berkhidmat di bawah Jeneral layanan mereka terhadap kami terus berubah baik."
Chu Qiao terpaku sejenak. "Apa?"
"Jeneral, mereka tak kenal kami. Mereka jadikan kami tebusan supaya dapat sampaikan pesanan kepada Cik, untuk berjumpa dengan Cik."
"Mereka nak jumpa saya?"
"Ya."
Chu Qiao berkerut dan bertanya, "Siapa ketua mereka?"
"Lelaki itu berusia dalam lingkungan 30 tahun. Dia memang seorang yang gagah dan dari caranya, dia nampak seperti seorang tentera terlatih dan bukanlah calang-calang perompak. Tentera mereka juga sangat teratur selain daripada handal dalam pertempuran satu lawan satu, tapi mereka tak memakai pakaian seragam tentera walaupun mereka dilengkapi dengan senjata. Mereka tak mahu dedahkan identiti mereka dan hanya cakap yang mereka tiada niat jahat. Saya rasa Cik tentu kenal mereka kalau Cik berjumpa mereka nanti."
Chu Qiao berkerut dan berfikir sejenak. Kemudian dia berkata, "Sediakan kuda. Kita akan pergi jumpa mereka."
"Awak dah gila ke?" Xue Zhiyuan berkata sambil menarik tangan Chu Qiao. Walaupun mereka sering bertelingkah, namun mereka berdua masih berada di dalam pihak yang sama dan berjuang untuk negara yang sama, jadi pemuda itu lantas berkata lagi, "Awak dah jemu hidup ke sampai nak tinggalkan bandar di saat genting seperti ini?"
Chu Qiao memandangnya lalu membalas dengan tegas, "Orang bawahan saya semuanya tengah berada dalam genggaman musuh sekarang ini."
"Jadi? Awak nak selamatkan mereka sendirian ke?"
"Awak nak beri tentera awak kepada saya ke? Saya tak perlu ramai pun, hanya 5,000 tentera juga sudah memai."
Xue Zhiyuan hanya terkedu. Pemuda ini dinaikkan pangkat menjadi seorang komander tentera barisan hadapan. Pada masa yang sama, Cao Mengtong pula berhasrat untuk menyimpan tenaga setiap ahli Pasukan Tentera Kedua jadi jangankan 5,000 orang askar, 500 orang pun pemuda ini tidak mampu untuk kerahkan.
Chu Qiao mendengus lalu melonjak menaiki kudanya sebelum mengekori belakang tentera tadi. "Ayuh!" Kuda pertempuran itu meringkik tatkala dia mengangkat kedua telapuknya. Lantas, ia pun mara ke hadapan dan meninggalkan bandar tersebut.
Xue Zhiyuan mengangkat keningnya. Secara kebetulan, seorang lagi tentera sedang menuju ke arahnya sambil menunggang kuda, jadi pemuda itu pun terus merenggut kuda tersebut dan menderap ke arah Chu Qiao.
Angin di sebelah utara terasa begitu kencang sekali dengan salji yang tebal telah melitupi kawasan itu sehingga ia kelihatan putih sahaja. Oleh sebab itu, ia agak sukar bagi mereka untuk menentukan arah dan kedudukan mereka namun dalam malam yang dingin ini, sekumpulan manusia sedang berjalan dalam barisan yang panjang dengan angin yang menghembus ke wajah mereka lantas menyukarkan mereka untuk membuka mata tetapi ia langsung tidak mematahkan semangat mereka. Merekalah rakyat Yan Bei yang telah menerima isyarat kerahan daripada Pasukan Tentera Kedua supaya dapat mempertahankan tanah air mereka, bersiap sedia dengan parang bersama kuda terkuat mereka dan terus menuju ke Bandar Beishuo. Mereka berhasrat untuk berlawan demi Da Tong yang menjadi harapan mereka sehingga kini.
Inilah sesebuah puak yang teguh, tidak pernah ditelan zaman bersama setiap rakyatnya yang menetap di sini sudah mempelajari menunggang kuda sejak kecil lagi. Mereka pasti dapat menjadi pasukan tentera elit dengan sedikit latihan tambahan namun Chu Qiao yang melihat penduduk Yan Bei yang hidup dengan penuh keyakinan dan sanggup bertahan dalam cuaca dahsyat, namun masih boleh mengalunkan lagu-lagu ini terus berasa sedih. Wanita muda ini ingin menghentikan mereka namun dia hanya telah menerima pandangan cemuhan. Apabila mereka nampak mereka bertiga meluru ke arah barat, mereka terus berteriak memarahi mereka, "Pengkhianat!"
"Jeneral, jom kita pergi," Tentera yang telah ditinggalkan oleh Yan Xun itu menoleh dan berkata dengan segera.
Chu Qiao terus mengangkat keningnya dan menarik tali kekang kudanya itu pada saat itu dan tentera itu juga berhenti setelah mengambil 20 langkah, lalu menoleh dan bertanya, "Jeneral, kenapa?"
Chu Qiao berkerut sebelum mengangkat telinganya. Wanita ini menoleh dan berkata kepada Xue Zhiyuan yang berada di sampingnya itu, "Awak dengar tak bunyi itu?"
Boom! Boom! Boom! Bunyi dentuman yang kuat berkumandang dari jauh dan kedengaran semakin menghampiri mereka. Bunyi itu lantas meremangkan bulu rma mereka, lantas Xue Zhiyuan meraih keningnya sebelum terus melompat dari kudanya itu dan meluru ke arah sebuah cerun lalu memerhatikan keadaan dari jauh. Jeneral muda ini terus terpaku apabila dia memandang ke kejauhan di sebelah barat, langsung tidak berani untuk berganjak walau seinci, dan tidak lama kemudian pemuda ini diikuti oleh beberapa orang rakyat jelata yang turut tertarik dengan bunyi di tengah-tengah dataran bersalji tersebut.
Kesepian terus melanda kawasan tersebut sebelum seseorang menoleh ke kiri dan ke kanan dan menuding jarinya ke arah barat dan bertanya, "Itu sebuah pasukan tentera ke? Mereka pasukan tentera kita ke?"
Bunyi telapuk kuda yang kuat kedengaran datang dari arah barat lantas menjadikan sebuah bayang-bayang berwarna hitam yang meleret menjadi satu barisan panjang tiba-tiba muncul di ufuk barat itu. Lantas, ribuan askar keluar meluru ke arah mereka dari Pergunungan Luori!
"Lari!" Suara wanita muda itu bergema.
Semua orang yang berada di situ terus terperanjat lalu menoleh ke arah gadis berpakaian perisai yang sedang menunggang kudanya itu, dia sedang menggenggam sebilah pedang di tangan dan lantas mengacukannya ke arah barat sambil menjerit, "Itu Pasukan Tentera Xia! Lari cepat! Lari ke Beishuo!" Suasana yang sungguh panik mula tercetus dalam sekumpulan tentera itu namun seseorang tiba-tiba mempersoalkan, "Apa yang Pasukan Tentera Xia sedang buat di tanah air Yan Bei ini?"
"Yalah," Seseorang lagi bersuara. "Mereka semua berada di luar Sempadan Beishuo!"
Namun, semuanya sudah terlambat. Dari kaedah tunggangan mereka dan juga teknik perbalahan pedang mereka... Jelas sekali mereka merupakan tentera sempadan terlatih dari Xia.
Raut wajah Chu Qiao berubah pucat, tapak tangannya yang memegang pedang itu sudah pun berpeluh. Mereka ini siapa sebenarnya? Bagaimana mereka boleh memecah masuk ke Sempadan Beishuo dan muncul di tanah air Yan Bei pula? Tiada tentera yang handal di sini. Kalau mereka bertempur di tanah air Yan Bei ini, apakah akibatnya nanti?
Pada saat itu, pelbagai perkara yang bermain di dalam fikiran Chu Qiao, jadi wanita muda itu mengangkat pedangnya sebelum berteriak kuat, "Saya Chu Qiao, Jeneral Atasan dari Jabatan Strategi Ketenteraan Yan Bei. Kalian semua, dengar arahan saya!" Namun angin kencang yang bertiup telah menenggelamkan suara gadis ini dan lantas, ribuan tentera ini terus meluru ke arahnya dengan raut wajah yang menggerunkan!
"Mana mungkin semua ini terjadi?"
Bunyi meronta-ronta tiba-tiba berkumandang dalam khalayak ramai itu. Para jejaka Yan Bei yang menyahut seruan negara tiba-tiba menjadi panik apabila musuh sedang menghampiri mereka.
"Lari!"
Namun ia sudah terlalu lewat bagi mereka untuk melarikan diri dan sesiapa yang masih melarikan diri pasti akan mati dibunuh jadi Chu Qiao terus berpaling dan berteriak, "Jangan lari! Hentikan mereka!"
Namun, tiada sesiapa yang mendengar kata-kata wanita itu lalu si tentera yang telah mengekorinya sebentar tadi mara ke hadapan lalu menyentak tali kekang kuda milik wanita itu. "Jeneral, jom lari!"
"Laporkan hal ini kepada kem utama di Beishuo sekarang!"
"Jeneral! Masa dah semakin suntuk!"
Laungan peperangan untuk mengobarkan semangat pejuang supaya membunuh musuh mereka bergema kuat datang dari arah pihak lawan, memang tidak syak lagi pasukan tentera itu kepunyaan pasukan tentera utama Xia dengan bunyi telapuk kuda mereka yang riuh-rendah kedengaran seperti sedang mengejar rakyat jelata yang lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri. Para tentera tersebut pantas menghunuskan pedang mereka lalu menghayunkannya pada setiap rakyat Yan Bei yang mereka temui. Tatkala kepala mereka putus dipancung dan terpelanting di udara, darah terpercik di sekeliling kawasan tersebut dan mengotori tanah yang putih bersalju!
Para kuda milik pihak lawan tersangatlah pantas dan penunggangnya juga berkemahiran tinggi dalam teknik berlawan pedang sehingga tiada seorang pun rakyat Yan Bei yang mampu, malah tahu cara untuk menentang musuh. Teriakan mereka ditenggelami bunyi telapuk kuda yang menderap laju. Sesiapa sahaja yang terjatuh dari kuda mereka pasti akan dipijak sehingga mati.
Chu Qiao berasa terperanjat dengan serangan secara tiba-tiba itu, langsung tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memutarkan situasi apabila diserang dengan sebegitu dahsyat. Seorang pemuda meluru ke hadapan dengan kudanya. Seorang musuh yang berjaya mengejar pemuda tersebut terus memancung kepala pemuda itu dan menyebabkan darahnya terpercik pada mantel Chu Qiao. Gadis itu kemudiannya menikam tentera Xia itu di dadanya yang menyebabkan darahnya turut terpancut keluar.
"Xue Zhiyuan! Patah balik dan laporkan kepada kem utama sekarang!"
Pasukan tentera itu boleh dikatakan 1,000 kali ganda lebih kuat daripada tentera Yan Bei dengan setiap seorang daripada mereka sedang memakai pakaian seragam tentera milik tentera Xia, mengejar para rakyat yang sibuk melarikan diri tanpa mengendahkan beberapa orang askar yang handal bertempur. Xue Zhiyuan telah dikepung oleh tiga orang tentera Xia, jadi Chu Qiao menerpa ke arahnya bersama pedang di tangan lalu membantu pemuda ini menangani situasi sulit itu. Wanita tersebut lantas menempik, "Lari cepat!"
"Seorang perempuan yang datang melindungi aku? Aku tak boleh terimalah!" Xue Zhiyuan merupakan seseorang yang berpengalaman, jadi pemuda ini dapat memancung kepala tentera Xia itu dengan pantas disebabkan ketangkasannya.
Chu Qiao berkerut lalu mencampakkan mantelnya ke tanah sebelum berteriak, "Bedebah! Kamu dah bunuh rakyat-rakyat! Kamu memang layak untuk mati!" Setelah itu, wanita ini meraih pedangnya dengan tinggi lalu meluru ke arah tentera Xia.
"Jeneral!" Askar yang menyaksikan perkara itu terus mengekori Chu Qiao dan lantas kedua-dua mereka mara ke arah ribuan tentera Xia yang semakin menghampiri itu. Babak itu kelihatan menggelikan hati namun tiada sesiapa yang ketawa. Para tentera pihak lawan lantas menyedari kehadiran Chu Qiao setelah melihat pakaian seragamnya, seseorang berteriak, "Ada seorang pegawai di sini!" Pada saat itu, tentera Xia terus mengepungnya. Pegawai tentera sebagai habuan sudah semestinya lebih baik daripada rakyat jelata Yan Bei sahaja.
Xue Zhiyuan berasa terpana apabila melihat para tentera yang sedang mengepung mereka itu hanya menumpukan perhatian mereka kepada Chu Qiao sebelum darahnya terasa hangat. Pemuda ini sedar Chu Qiao sedang melengah-lengahkan masa supaya dia dapat melarikan diri namun ia bukanlah di atas dasar persahabatan, tetapi semata-mata demi keselamatan jutaan penduduk di Bandar Beishuo!
Angin utara yang kencang bertiup terus membuatkan mata pemuda ini memerah lalu dia mengeluarkan teriakan yang kuat sebelum bergegas kembali ke Bandar Beishuo dengan menunggang kudanya.
Namun, dia berlari dengan terlalu pantas dan jika pemuda ini dapat menunggu buat beberapa saat, dia pasti dapat melihat pemandangan yang jauh berbeza. Begitulah takdir yang seringkala sukar untuk difahami. Lantas sebuah lagi bayangan hitam yang muncul dalam barisan di ufuk yang sama sebelum tanah menjadi bergegar, dengan angin yang bertiup sungguh kencang. Aura membunuh serta-merta berlegar-legar di udara sebelum menyelubungi setiap penjuru dataran bersalji itu. Sekumpulan tentera bergegas ke arah medan peperangan pada malam yang bertemankan cahaya bulan yang samar-samar!