Zhan Ziyu pin membalas, "Rasanyalah. Cuma anginnya saja yang kadangkala tak elok."
"Oh." Angguk Chu Qiao. "Semua kuda yang bagus begitu, mereka cuma perlukan masa untuk jinak. Kuda itu dah dengar cakap sekarang?"
"Dia dah mati."
Chu Qiao terpana, dan Zhan Ziyu menyambung, "Dia tak sanggup nak ikut arahan seorang manusia agaknya jadi dia terhantuk kepalanya ke tiang dan mati."
Chu Qiao memandang pemuda itu dengan penuh terpukau, buntu untuk memikirkan ayat untuk membalas.
Zhan Ziyu ketawa dan berkata, "Awak boleh pergi sekarang. Kita akan mendarat di Bandar Wupeng esok, dan awak boleh ambil peluang itu untuk larikan diri."
Chu Qiao meraih keningnya dan berbisik, "Siapa awak sebenarnya?"
Zhan Ziyu mengangkat wajahnya tenang, dan cahaya bulan yang memucat itu menerangi wajah pemuda itu dan lantas membentuk sebuah vel yang kelihatan seperti pasir kelabu memutih di pantai. "Saya ada ternampak gambar awak di kem tentera di Daerah Xiushui. Saya pun ada ternampak perintah yang dah dikeluarkan oleh beberapa pasukan tentera baru-baru ini jadi tiadalah susah mana untuk kenal pasti identiti awak sebenarnya."
"Kenapa awak lepaskan saya?"
"Saya menetap di Xiushui sekejap, tapi saya bukanlah rakyat Empayar Xia." Zhan Ziyu memusingkan kerusi rodanya dan bergerak ke arah kabin miliknya. "Lagipun, saya tak nak masalah datang."
Chu Qiao mengejar pemuda itu dan menggenggam belakang kerusi rodanya sambil berkata, "Jadi kenapa awak selamatkan saya?"
Zhan Ziyu berpaling untuk melihat wajah gadis itu dengan bersahaja dan dia mengutur perlahan setelah seketika, "Putera Maharaja Ketiga Belas ada tulis surat kepada saya, dan minta saya untuk mencari awak. Saya terhutang budi pada dia."
Chu Qiao yang terpaku mendengar kata-kata Zhan Ziyu itu terus melepaskan genggaman tangannya pada kerusi roda milik pemuda itu.
"Saya hanyalah ahli yang dah dipinggirkan oleh puak keluarga saya dan mulai esok, akan ada lebih ramai orang dari Xia yang akan menaiki kapal ini. Saya dah tak boleh nak sorok awak di mana-mana lagi. Saya dah buat yang terbaik, yang selebihnya terletak pada awak." Kerusi roda itu pun meluncur di atas dek dan lantas mengeluarkan bunyi keriang-keriut. Chu Qiao berdiri di dalam kesejukan malam yang berangin itu buat seketika sehingga langit bertukar menjadi warna putih susu.
Permukaan air sungai mengalir perlahan mengikuti deras timur, dengan hujan yang mula membasahi permukaan air lantas menyatukan sempadan langit dan sungai. Chu Qiao mendepangkan kedua-dua belah lengannya dan menatap langit. Sebuah bot lepap melintasi kapal mereka dengan perlahan, bersama beberapa ekor kuda yang sedang menderap laju di tebing sungai.
Chu Qiao berdiri membisu, dengan perasaan seram sejuk yang menyelubungi dirinya disebabkan air hujan yang melencuni seluruh tubuhnya lantas gadis itu memejamkan matanya sambil membayangkan seorang pemuda berwajah pucat dan berbibir merah, lengan baju pemuda tersebut yang kosong berterbangan ditiup angin sejuk. Apabila dia sedang asyik dibuai khayalan, sekumpulan kuda yang menderap di tebing sungai itu tiba-tiba berhenti dan seorang lelaki berpaling untuk melihat ke arah Chu Qiao namun gadis yang tidak tidur semalaman ini terlalu penat untuk terus memikirkannya jadi dia pun berpusing dan kembali ke kabin. Pemuda yang berada di tebing sungai itu tidak lain dan tidak bukan, Zhuge Yue.
"Tuan, Wilayah Huashu ada di depan. Pekan dia kecil saja. Kita boleh berehat sekejap di sana sebelum meneruskan perjalanan kita. Lagipun, Bandar Wupeng itu bukannya jauh sangat pun."
Air hujan menitik menuruni wajah Zhuge Yue yang sedang merenung beberapa buah kapal besar di sungai lantas bertanya, "Zhu Cheng, kapal-kapal itu berlepas bersama kita di Bandar Xian Yang ke?"
Zhu Cheng yang merenung ke kejauhan itu lantas mengangguk. "Tuan, penglihatan tuan ini baguslah. Itulah kapal-kapal yang disediakan untuk kita oleh jabatan pengangkutan kargo marin Daerah Xian Yang. Kita mungkin dah bagi tempat kita kepada keluarga Zhan dari Tang selepas kita memilih untuk bergerak melalui darat."
"Keluarga Zhan itu dari Permatang Xizhi?"
"Ya."
Riak wajah Zhuge Yue ternyata sukar ditafsirkan, lantas pemuda itu pun berkata bersahaja, "Keluarga kecil yang tak penting itu pun dijemput. Ini bermakna akan ada sebuah parti di Tang Jing."
Zhu Cheng menambah, "Seluruh keluarga Zhan akan pergi ke Tang. Nampak macam ada yang tak kena saja."
Zhuge Yue membalas, "Mereka selalu menyimpan perasaan sebegitu, tapi nak teruskan dengan agenda itu pun satu hal juga."
"Tapi, saya terdengar yang ketua keluarga Zhan itu orang yang penyabar. Dia ada banyak kenalan dan juga berpengaruh di dalam dunia tinju. Dia pun berkawan dengan Putera Maharaja Ketiga Belas, dia bukanlah orang bodoh yang kita sangka."
Zhuge Yue berkerut dan bertanya, "Kamu sedang bercakap mengenai Zhan Ziyu, yang berkahwin dengan adiknya sendiri itu ke?"
"Itulah orangnya," Balas Zhu Cheng. "Zhan Ziyu telah dihantar ke Pergunungan Cang waktu zaman kanak-kanaknya untuk belajar bermacam-macam jenis seni dengan guru Paderi Dian Cang yang juga dikenali sebagai Cang Xue. Semasa dia berumur 17 tahun, dia mengembara ke kaki gunung dan berjumpa Cik Kedua Keluarga Zhan, Zhan Zijin, yang pada masa itu pun sedang menjadi pelarian selepas melepaskan diri dari berkahwin paksa. Kedua-dua mereka bertunang dengan sesama sendiri dan melahirkan seorang anak, dan hanya mendapat tahu tentang identiti masing-masing setelah keluarga Zhan bertemu mereka. Dalam kemarahan, Tuan Besar Zhan mematahkan kaki Zhan Ziyu dan membakar Zhan Zijin hidup-hidup. Atas sebab inilah keluarga Zhan kehilangan tapak berpijak mereka di antara puak-puak keluarga yang lain di dalam Empayar Tang, dan terpaksa berpindah ke negara Xia yang telah diuruskan oleh Putera Maharaja Ketiga Belas."
"Dibakar hidup-hidup?" Zhuge Yue meraih keningnya dan mencemuh. "Zhan Ziyu ini memang tak guna orangnya. Dia langsung tak cari butiran tentang sesuatu situasi sebelum dia bertindak, dan langsung tak ambil tanggungjawab setelah memulakan tindakannya. Mematahkan kaki dia itu dikira sebagai hukuman kecil saja."
Zhu Cheng melepaskan ketawa. "Betul itu, Tuan memang pandai."
Zhuge Yue juga mengikut ketawa dan membalas, "Sudah, jangan nak mengampu lagi. Mari kita pergi. Kita kena sampai di Wupeng sebelum subuh dua hari lagi."
Pengiringnya mengangguk tanda setuju, lantas mereka melibas cemeti kuda dan bersedia untuk berlepas. Pada masa yang sama, kuda pertempuran berwarna hitam yang telah mengekori Zhuge Yue di sisinya itu memandang ke arah sungai dan mula meringkik kuat, tanpa sebarang cara untuk menghentikannya seolah-olah ia telah menjadi gila.
"Liu Xing!" Zhuge Yue berkata dengan suara yang rendah. "Apa yang tak kena?"
Kuda pertempuran itu berdiri dengan dua telapuk kakinya dan melepaskan sebuah ringkikan yang memekikkan sambil menghala ke arah kapal-kapal di tebing sungai. Zhuge Yue berkerut dan lantas melibas kuda tersebut di lehernya, bertanya, "Apa yang kamu buat ini?"
"Tuan, saya rasa Liu Xing terkejut."
"Terkejut?"
Zhuge Yue pun berkerut dengan lebih ketat, merenung permukaan sungai yang terbentang luas di hadapannya.
Di dalam kabin, Chu Qiao tiba-tiba terduduk.
"Xiaoqiao, apa terjadi?" Liang Shaoqing yang terkejut bertanya.
Chu Qiao yang masih mamai itu terduduk dan membalas, "Saya rasa saya terdengar Liu Xing sedang panggil saya."
"Siapa?" Liang Shaoqing bertanya. "Siapa panggil awak?"
Chu Qiao menjawab, "Liu Xing, kuda saya."
Liang Shaoqing membalas, "Tak mungkinlah. Kita bukan ke berada di atas air. Kuda awak tahu berenang ke?"
Chu Qiao berkerut dan membuka tingkap dan hujan di luar itu terus tertempias memasuki kabin, gadis itu pun mengeluarkan kepalanya melalui tingkap tersebut untuk mengesan kawasan sekeliling, namun tidak dapat melihat sebarang gambaran kerana ribut yang melanda sudah mula mengencang, lantas menyebabkan selaput kabus muncul di permukaan sungai. Chu Qiao mengerutkan dahi, membuka telinganya buat masa yang lama sebelum melonjak menuruni katil untuk menukar pakaian, bersedia untuk meluru keluar.
Liang Shaoqing yang terkejut cuba menghalang wanita muda ini, lantas berkata, "Awak nak pergi ke mana?"
"Saya nak keluar untuk tengok kawasan sekeliling. Saya betul-betul dengar Liu Xing yang panggil saya."
Liang Shaoqing menggeleng kepalanya. "Hujan di luar itu lebat sangatlah, awak akan demam kalau awak keluar sekarang."
Chu Qiao yang masih lagi berkerut itu meletakkan sehelai lagi lapisan kain untuk melindungi dirinya sebelum meluru keluar.
Hujan telah menjadi semakin lebat dengan kawasan sekeliling yang diselubungi kabus, menyekat segala daya penglihatan wanita muda ini. Kapal besar itu dengan goyahnya mengimbangi diri sendiri di atas permukaan air yang semakin bergelora dek air hujan yang menyebabkan pengemudi kapal mengambil alih untuk mengimbangi kapal ini secara manual. Anak-anak kapal pula sedang mengaut air yang sudah mula membanjiri dek.
Chu Qiao berdiri di tengah-tengah kerumunan manusia itu, melihat sekelilingnya namun gagal untuk mengesan lokasi Liu Xing, lantas menutup mulutnya dengan sebelah tangan lalu menjerit, "Liu Xing!" Namun suaranya ditenggelami bunyi desiran ribut petir yang sedang melanda.
Kapten kapal tersebut berlari ke arah kabin sambil berlaung ke arah penolongnya, "Beritahu Tuan yang kita kena mendarat sekarang. Hujan semakin lebat!"
Penolong itu pun membalas, "Kita nak mendarat di belah mana?"
"Walaupun kita lebih dekat dengan barat di sebelah kiri, tapi air di situ cetek dan pasti tak dapat nak menampung kapal kita. Kita mendarat di sebelah kanan sajalah!"
Pada masa ini, di tebing sungai di sebelah kiri, Zhuge Yue dan iringannya terpaksa mencari teduh di sebuah astaka usang disebabkan hujan lebat itu. Liu Xing terlompat-lompat dengan ganas, seolah-olah dia ingin memutuskan tali yang mengekangnya.
Zhuge Yue berdiri di astaka sambil melihat Liu Xing, telinganya bergerak sedikit apabila pemuda itu membentuk sebuah kerutan di mukanya. "Zhu Cheng, kamu dengar tak itu?"
Zhu Cheng terpaku, lantas bertanya, "Tuan Muda, dengar apa?"
Zhuge Yue masih terdiam dan mendengar sumber bunyi itu sambil berkerut, namun bunyi samar-samar tersebut hilang di dalam hujan yang meribut yang disatukan dengan bunyi guruh yang berdentum.
Zhuge Yue tidak menguturkan sepatah kata, masih berdiri dan merenung ke hadapan namun pemuda itu hanya dapat melihat satu lapisan yang memutih. Kapal-kapal itu sudah pun hilang dari pandangan akibat ribut petir itu.
Chu Qiao meletakkan tangannya ke bawah. Kapal yang dinaiki wanita muda ini telah mendarat di tebing di sebelah kanan supaya dapat terus mengekalkan keseimbangan kapal. Gadis itu basah lencun dari rambut ke kakinya, dengan suara yang telahpun menjadi serak. Liang Shaoqing yang telah mendapatkan sekaki payung entah dari mana itu menempatkannya di atas kepala Chu Qiao dan berkata, "Mari masuk ke dalam. Awak akan jatuh sakit kalau awak terus macam ini."
Chu Qiao masih berdiam diri, merenung ke tebing bertentangannya itu dan berkeras gadis ini tidak tersalah dengar. Pada hari kedua selepas pemberhentian kapal, gadis ini telah menyelinap kembali ke tempat di mana gadis ini terdengar suara kuda itu dan seperti yang dijangka, Chu Qiao terjumpa seutas loceng yang telah diikatnya khas pada leher Liu Xing.
'Kenapa Li Xing di sini? Bukan ke dia dah kembali ke Bandar Zhen Huang?'
Pada hari itu, Chu Qiao terpaksa mengubah haluannya ke Empayar Tang semasa Zhao Chun'er sedang giat mengejarnya. Gadis ini berniat untuk mengambil laluan air barat daya daripada Chengzhou untuk pulang ke Yan Bei dan memerlukan seseorang daripada Yan Bei untuk berada di sebelah sana. Namun gadis ini tidak dapat memberikan pesanan tersebut kepada Yan Xun dan dia telah menulis sepucuk surat dan menyembunyikannya di sebalik telapuk kuda Liu Xing disebabkan oleh keadaannya yang terdesak itu. Liu Xing telah dihadiahkan kepadanya oleh Cik Puan Yu, kuda ini telah membesar di kandang kuda di Zhen Huang yang dimiliki oleh Kesatuan Da Tong. Kuda tersebut amat pintar dan telah dijadikan sebagai pengutus pesanan buat dirinya dengan Cik Puan Yu selama bertahun-tahun ini. Walaupun Cik Puan Yu sudah tidak menetap di Zhen Huang lagi, Liu Xing masih mampu menghantar pesanan tersebut asalkan ia kepada seseorang dari Da Tong.
Namun, kuda itu telah berada di sini pada hari itu. Adakah pesanannya dipintas? Haruskah dia meneruskan perjalanannya ke Chengzhou? Adakah pasukan tentera Xia akan bersembunyi dan menyerang hendap apabila gadis ini tiba di sana? Jika dia tidak pergi ke Chengzhou pula, gadis ini harus mengharungi sebahagian besar kawasan Empayar Xia untuk pulang ke Yan Bei. Bukankah itu lebih membahayakan?
Chu Qiao yang akhirnya memutuskan dia tidak akan pulang ke Yan Bei buat masa ini terus mengikuti jejak yang telah ditinggalkan oleh iringan Zhuge Yue untuk mendapatkan lebih banyak maklumat. Akhirnya, gadis ini tiba di kediaman para pegawai di Bandar Wupeng yang kelihatan indah tersergam, dan lantas Chu Qiao mengetahui dia perlu memecah masuk ke dalam.
Bulan di angkasa sedang disembunyikan oleh kepulan awan menghitam, lantas menjadikan langit malam kelihatan amat gelap. Dalam masa yang singkat, Chu Qiao telah menyelinap masuk ke dalam bangunan tersebut, menuruni pokok itu dan bagaikan seekor ikan loach apabila dia bersembunyi di sebalik batu-batuan. Serta-merta gadis ini terdengar bunyi tapak kaki yang semakin menghampiri apabila dia melebarkan telinganya.
Chu Qiao mengecilkan mata dan dengan kekuatan kaki, gadis ini meluru ke arah sebatang tiang yang terletak di sebelah kirinya. Apabila dia ingin menyentuh tiang tersebut, gadis ini mengangkat kakinya lantas mendaki tiang itu sebanyak tiga langkah dan apabila graviti hampir menariknya kembali ke tanah, Chu Qiao dengan cekap mendepangkan lengannya dan lantas menggenggam jubin bumbung. Gadis ini licik memanjat bumbung itu dengan melilitkan kakinya pada tiang tersebut dan apabila lampu yang muncul dari sisinya mendekati, Chu Qiao terus bersembunyi di atas jubin bumbung itu dengan pantas!
"Di sini." Sebuah suara nyaring tiba-tiba bergema. Suara itu kedengaran menawan namun berwaspada, bagaikan ia milik seorang hamba dan seterusnya, bunyi tapak kaki yang diramalkan seramai dua puluh orang itu mula kedengaran kuat. Chu Qiao berkerut sambil berdiam dan menunggu saat yang sesuai.
"Saya dengar yang Tuan ini kacak, bijak, dan menonjol daripada orang ramai. Hari ini, saya lihat dengan mata kepala saya sendiri. Khabar angin mengenai tuan itu kurang benar kerana tuan lebih indah." Pemuda itu tiba-tiba melepaskan ketawa yang terbahak-bahak, jelas dia bersenang hati setelah mendengar pujian yang melambung itu. Tuan muda yang sedang memujinya itu tetap berdiam. Taman bunga itu dipenuhi dengan bunyi gelak ketawa para lelaki, lantas menjadikan situasi itu amat janggal.