Kumpulan media terus menjadi kecoh. Apa yang dimaksudkan oleh Mo Ting? Adakah dia berniat untuk mengambil Tangning sebagai artis naungan? Adakah ini satu jenaka?
Walau apa pun sebabnya, para wartawan tidak lagi berani mengganggu Tangning. Sebaliknya, mereka menyandarkan semua kesalahan tersebut pada Syarikat Hiburan Tianyi.
Dengan itu, masalah bagi Syarikat Hiburan Tianyi bermula. Pembantu Mo Yurou secara tidak sengaja telah menjadi orang yang memulakan masalah ini. "Kalau hal kecil seperti ini pun kamu tak boleh tangani, apa lagi yang boleh kamu buat? Tunggu dan lihatlah bagaimana Presiden Han akan menghukum kamu!"
Tangning tidak terganggu. Reaksinya begitu tenang sekali. Dia menyalin pakaiannya dan dengan selambanya meninggalkan tempat kejadian. Sebaik sahaja dia melangkah keluar daripada pintu itu, dia ternampak kereta Mo Ting yang diletakkan di luar.
"Masuk."
Tangning dengan patuhnya memasuki kereta tersebut. Dia benar-benar berterima kasih dengan apa yang telah dilakukan oleh Mo Ting. "Terima kasih untuk hari ini."
Mata Mo Ting bergerak sedikit apabila dia tersengih. "Kamu fikir saya akan biarkan orang lain membuli isteri yang baru saya nikahi di hadapan orang ramai?"
"Sebenarnya, saya tidak berbaloi untuk dibantu kamu. Saya sengaja membiarkan orang ramai tahu siapa saya sebenarnya," Tangning menerangkan dengan perasaan bersalah.
Mo Ting melihat terus ke dalam mata wanita yang duduk berhadapan dengannya. "Saya tahu."
"Cuma kalau kamu tidak tahu cara lebih baik untuk menentang seseorang, kamu patut bertanya pada saya. Tidakkah kamu rasa bahawa mengorbankan diri kamu untuk membalas perbuatan mereka itu satu tindakan yang agak bodoh?"
Tangning: "…"
"Di mana patut saya hantar kamu?"
"Rumah kamu. Bukankah kita pasangan suami isteri sekarang?" Tangning membalas tanpa ragu-ragu. Semenjak dia membuat keputusan tersebut, dia tidak akan menariknya kembali. Apatah lagi menyesal.
"Awak yakin? Kita bukan sahaja sudah berkahwin. Malah, malam ini malam pertama kita!"
Tangning merah padam menahan malu. Tapi dia mengangguk dengan yakin. "Saya sudah bersiap sedia dan saya sangat berterima kasih yang kamu tidak dedahkan hubungan kita. Namun, mulai sekarang saya minta kamu kekal biasa begini. Saya mahu bergantung pada diri sendiri untuk mengambil kembali apa yang sememangnya milik saya."
Mo Ting tidak memaksa. Lagipun, jarang dia berjumpa yang seorang wanita tidak menggunakan dirinya sebagai batu loncatan. Dia membuat keputusan untuk duduk sahaja dan melihat Tangning menunjukkan kemahirannya.
Pasangan itu bergerak pergi. Tidak lama kemudian, Tangning mendapat panggilan telefon daripada pengurusnya, Long Jie. "Tangning, saya sudah mendapat bukti mengenai kehamilan Mo Yurou. Apa yang kamu mahu saya lakukan dengan bukti ini? Dan juga, kejadian yang kamu lakukan di pertunjukan barang kemas hari ini sudah tular. Orang ramai mengecam kamu di internet. Apa yang kamu bercadang untuk lakukan sekarang?"
"Long Jie, adakah kamu sanggup untuk terus berada di sisi saya?"
"Kenapa kamu tanya benda mengarut seperti itu?" gumam Long Jie. "Kamu ingat saya mahu terus patuh pada pasangan curang itu?"
"Kalau begitu, keluarkan kenyataan yang saya suruh kamu siapkan awal-awal tadi. Tapi ingat, dengan melakukan hal itu kamu akan menentang Syarikat Hiburan Tianyi!"
"Saya tidak takut!" Long Jie menyeru dengan teruja. "Kita patut buat benda ini lebih awal lagi. Saya akan siapkan semua bukti sekarang dan keluarkan kenyataan tersebut sebelum Han Yufan sempat bertindak balas."
Tangning memutuskan panggilan dan kereta itu kembali tenang. Dalam hatinya, Tangning agak gementar. Apalah yang akan difikirkan oleh Mo Ting mengenainya…
"Saya…"
"Tak perlu terangkan. Saya dengar perbualan kamu sebentar tadi. Tapi, saya ada satu soalan…adakah kamu memang sentiasa jujur begini?" Kereta itu berhenti pada lampu isyarat merah. Mo Ting mengambil peluang ini untuk memegang rahang Tangning dan memeriksanya dengan pandangan tajamnya yang seperti helang.
"Saya hanya jujur di hadapan kamu dan saya berhajat untuk kekal begini…" Tangning menunjukkan kesetiaannya –"…kerana saya bimbang jika kamu salah faham dan berfikir buruk mengenai saya."
Mo Ting terperanjat buat seketika sebelum dia sambung berkata-kata. "Kalau saya jadi kamu, saya akan jadi lebih melampau!"
Mo Ting pastilah sudah dapat mengagak apa yang berlaku di antara Tangning, Mo Yurou dan Han Yufan. Kerana reaksinya, Tangning mula menghargai suami barunya. Dia berjanji pada dirinya, tidak kiralah apa yang berlaku, dia akan mengingati hari ini dan janji yang dibuat pada Mo Ting untuk selamanya.
…
Sementara itu, Han Yufan dalam keadaan tidak percaya apabila dia menerima berita mengenai pendedahan Tangning di atas pentas. Bukan itu sahaja, pada masa yang sama dia turut menerima panggilan telefon daripada HF. Mereka memaklumkannya mengenai rancangan mereka untuk membawa Syarikat Hiburan Tianyi ke mahkamah kerana melanggar kontrak. Dalam sekelip mata, Syarikat Hiburan Tianyi berada dalam masalah besar sementara khabar angin mula merebak dengan pantas.
Mo Yurou begitu fokus melihat rakaman persembahan Tangning di atas pentas lalu menarik Han Yufan ke arahnya. "Tengok, Tangning memang mahu dikenali. Dia tahu perbezaan paling besar antara kami ialah kaki kami. Dia memang sengaja berbuat begitu!"
"Yurou, Tagning bukan begitu. Ini bukannya kali pertama dia menggantikan kamu." Dalam hatinya, Han Yufan masih mempercayai Tangning.
"Jadi kamu nak katakan yang kamu lebih percayakan Tangning? Jangan jadi bodoh Yufan! Sekarang kejadian ini sudah berlaku, seseorang perlu galas semua kesalahan ini. Kamu mahu kehilangan kontrak ini? Kamu mahu bagitahu semua orang yang kamu minta Tangning gantikan saya? Kalau begitu, memang habislah kita!"
"Apa yang kamu cadangkan?"
"Memandangkan kamu dan Tangning akan berkahwin tidak lama lagi, dia tidak lagi akan menjadi sebahagian daripada industri ini. Demi kebaikan Syarikat Hiburan Tianyi, kamu perlu buat pengumuman. Kamu perlu bagitahu semua orang yang kamu langsung tidak tahu akan kejadian ini dan ini semua adalah cubaan Tangning untuk mencetuskan kekecohan. Itu sebabnya dia buat perkara ini di belakang kita dan berpura-pura menjadi saya." Mo Yurou menyandarkan semua kesalahan pada Tangning.
"Saya rasa, dengan keadaan sekarang ini sahajalah yang kita boleh lakukan." Han Yufan mengangguk setuju. Namun begitu, sebaik sahaja dia cuba menghubungi ketua PR, dia menerima panggilan daripada pembantunya.
"Cepat Presiden Han. Periksa tajuk utama berita hiburan! Pengurus Tangning baru sahaja mendedahkan berita besar!"
Han Yufan segera ke atas talian untuk emncari tajuk utama tersebut. Dia tidak percaya yang pengurus Tangning berada satu langkah di hadapan mereka. Dia mendedahkan bahawa Han Yufan telah memaksa Tangning untuk menggantikan Mo Yurou buat beberapa kali, lengkap dengan gambar perbandingan antara dua peragawati tersebut sebagai bukti. Dia juga merungut bahawa syarikat kecil gemar membuli orang lain dan Tangning sudah dibuli selama beberapa tahun.
Dengan marah, Han Yufan segera menghubungi perngurus Tangning.
"Long Jie, kamu dah gila ke?"
Di sebelah sana, ketawa Long Jie kedengaran. Dengan tenang dia membalas, "Saya sudah lama ingin tinggalkan syarikat buruk kamu ini."
"Yufan, ini sememangnya perbuatan Tangning. Cepat, sorokkan hal ini dengan memuat naik berita mengenainya cuba mencetuskan kekecohan!"
Tanpa bertangguh, Han Yufan segera menghubungi kenalannya dalam lapangan media dan menarik balik berita yang disediakan Long Jie. Dia cepat-cepat menggantikan berita tersebut dengan laporan mengenai Tangning yang cuba mencetuskan kekecohan yang sudah disediakannya awal-awal lagi.
Dalam sekelip mata, 'Tangning' dan 'Syarikat Hiburan Tianyi' menjadi terma carian yang paling tinggi digunakan dalam talian dengan berbagai-bagai reaksi.
Tiada orang yang tahu akan hubungan antara Tangning dan Mo Ting. Jadi, berbanding dengan Tangning, tiada orang yang cukup berani untuk menyinggung Han Yufan.
Tangning semestinya menerima nasib yang lebih malang. Dia menerima hinaan dan cacian yang begitu banyak dalam talian.
Sewaktu orang lain memikirkan bahawa keadaan sudah berubah, frasa 'penggantian Tangning' tiba tiba menjadi carian utama dalam talian. Semua hasil carian akan membawa kepada berita yang dieluarkan oleh Long Jie tadi – yang mendedahkan bahawa Tangning ialah mangsa sebenar…
Sudah tentulah, berita Long Jie lebih dahulu keluar dan netizen sudah membuat keputusan mereka. Berbanding hal lain, berita mengenai bahawa Tangning sudah banyak kali menggantikan Mo Yurou tanpa mencetuskan sebarang masalah dan terus dipergunakan menjadi isu panas dalam talian. Komuniti atas talian bersetuju bahawa Tangning adalah mangsa sebenar.
Dalam ketidakpercayaan, Han Yufan mengambil telefonnya dan menghubungi PRnya. Dia mengarahkan mereka menggunakan lebih banyak wang untuk membawa turun berita Tangning.
Sementara itu, Mo Ting juga dalam perbualan telefon dengan sumber berita utama. "Kalau berita mengenai Tangning hilang daripada senarai kedudukan carian, bersiap sedialah untuk menutup syarikat kamu."