Chapter 13 - Saya di Pihak Kamu

Berita mengenai permintaan HF untuk menukar jurucakap segera tersebar dalam industri tersebut…

Mo Ting juga terdengar akan berita itu ketika dia berehat. Bagi Mo Ting, jika syarikatnya yang menerima tawaran jurucakap tersebut, peragawati kelas bawahan pun tidak akan memberi perhatian. Tetapi, untuk Tangning, itu bermakna bahawa dia telah berjaya mendapatkan sesuatu yang memang miliknya daripada Mo Yurou. Jadi, Mo Ting segera menelefon Tangning. "Kamu buat dengan baik."

Tangning melepaskan tawa lembut dan membalas dengan penuh berterima kasih, "Pujian daripada abang membuatkan saya lebih gembira berbanding perkara lain."

"Saya akan tunggu kamu…untuk kembali ke tempat nombor satu."

Kali ini, Tangning hanya membalas ringkas dengan tiga patah perkataan: "Saya akan kembali!" Masanya sudah tiba untuk kembali ke Tianyi dan berhadapan dengan perangai buruk Mo Yurou.

Sewaktu berita tersebut tersebar, Mo Yurou masih tidur dengan lena di rumah Han Yufan. Malam sebelumnya, dia datang dari hospital terus ke rumah Han Yufan dan menggunakan perasaan bersalah untuk mengawal Han Yufan sepanjang malam. Dia tidak membenarkan Han Yufan membuat sebarang panggilan kepada Tangning. Dia tidak akan membiarkan orang lain berangan untuk mengambil apa-apa sahaja yang dimilikinya, terutamanya Tangning yang kelihatan seperti sentiasa menentangnya.

Pembantu Mo Yurou tidak sabar dan begitu gelisah sewaktu dia tiba di rumah tersebut. Dia membuka berita untuk ditonton Mo Yurou dan wanita tersebut enggan mempercayainya. "Jurucakap HF sudah pun ditetapkan. Tidak mungkin mereka akan mengubahnya."

"Yurou, ini benar-benar berlaku. Presiden Han menerima panggilan daripada HF tengahari ini. Mereka sendiri memberitahu dia yang mereka mahu menukar jurucakap tersebut kepada Tangning, atau mereka lebih sanggup bekerjasama dengan syarikat lain." Pembantunya menuding ke arah berita di hadapan mereka dengan riak marah dan tidak sabar. "Apa yang Tangning lakukan? Jika dia mahukan sebarang tawaran, kenapa tawaran kamu yang perlu diambilnya?"

"Mari balik ke pejabat. Saya mahu Yufan memberi penjelasan kepada saya secara peribadi." Mo Yurou tahu jika dia ingin membincangkan hal tersebut dengan Han Yufan melalui panggilan telefon atau pun di rumah, Han Yufan akan menggunakan kata-kata manis untuk menyelamatkan dirinya. Jadi, dia membuat keputusan untuk kembali ke pejabat dan berhadapan sendiri dengan isu tersebut. Dengan cara ini, Han Yufan terpaksa menguruskan berurusan dengan profesional.

Sementara itu, Han Yufan sudah lesu dan longlai. HF begitu bersungguh-sungguh untuk menukar terus Mo Yurou dengan Tangning. Tetapi dia tahu ini akan sangat-sangat melukakan Mo Yurou. Apa pun, adakah dia berhak untuk berkata tidak? Bagaimanapun, dia tetap tidak akan menolak duit.

Sewaktu Han Yufan sibuk memikirkan cara untuk memujuk Mo Yurou, Mo Yurou yang dibantu pembantunya memasuki bilik tersebut dengan kerusi roda. Dia tiba sebelum Tangning dengan jarak hanya beberapa ratus meter.

"Yufan, apa semua ini? Macam mana tawaran jurucakap tersebut yang dimiliki saya boleh diambil oleh Tangning?"

Han Yufan memberi arahan kepada pembantunya untuk meninggalkan bilik tersebut. Sebaik sahaja hanya mereka berdua yang tinggal di dalam bilik itu, Han Yufan merapati Mo Yurou dan memeluknya. "Yurou, hal ini di luar kawalan saya. Saya akan bantu kamu dapatkan tawaran yang lebih baik."

"Kamu tahu benar bukan yang Encik Eugene daripada HF itu merupakan abang kepada Cik Erin, salah seorang hakim di Anugerah Peragawati Sepuluh Teratas. Tawaran ini sangat penting buat saya dan yang paling penting, sampai hati kamu serahkannya kepada Tangning?" Mo Yurou menolak Han Yufan dengan marah. Suaranya terketar-ketar. "Dia sudah mencuri kamu dari saya, tidak cukupkah itu? Kenapa dia perlu bertanding untuk semua benda dengan saya? Saya tidak kisah…kalau saya hilang tawaran ini, saya tidak mahu anak ini. Saya tidak akan berada dalam Tianyi juga."

"Jangan biarkan amarah kamu berkata-kata." Han Yufan cuba mengawal baran Mo Yurou. "Macam mana kamu sanggup melepaskan anak kita begitu mudah? Kamu tahu saya di pihak kamu. Tapi, kali ini, HF begitu bersungguh-sungguh…"

"Tangning sudah banyak kali mengalah pada masa lalu. Apa salahnya mengalah lagi? Dia sudah hampir berkahwin dengan kamu, kenapa dia perlukan tawaran ini?"

Selepas mendengar alasan Mo Yurou, Han Yufan merasakan perkara itu masuk akal. Berdasarkan personaliti Tangning, dia sudah banyak melepaskan pelbagai peluang pada masa lalu. Dia tidak akan kisah untuk melepaskan peluang sekali lagi. Han Yufan yakin Tangning akan bersetuju, jadi dia memujuk Mo Yurou. "Saya akan bercakap dengan dia mengenai perkara itu. Jangan marah, okey?"

Mo Yurou menangis bersungguh-sungguh sewaktu dia membiarkan dirinya dipeluk Han Yufan. Pada masa itu, pintu bilik diketuk. Tangning dan Long Jie sudah kembali ke pejabat.

Mo Yurou segera menahan tangisan dan menjauhkan dirinya daripada Han Yufan sambil memandang pada lelaki itu seolah-olah dia dilayan dengan tidak adil. Kemudian, Tangning menolak pintu tersebut dan masuk ke dalam bilik.

"Tangning, ke mana kamu pergi semalam? Kamu tahu tak saya mencari kamu sepanjang malam?" Han Yufan bertubi-tubi menanyakan soalan.

Tangning memandang sekilas padanya dan kemudian pada Mo Yurou.

"Itu hanyalah satu salah faham antara Yurou dengan saya. Saya sudah keluarkan kenyataan untuk betulkan semuanya. Jangan kecoh sebab perkara itu, boleh tak?"

Tangning memandang ke arah lain tanpa sepatah kata. Dia tahu benar apa yang Han Yufan maksudkan dengan 'mencari dia sepanjang malam'. Jelas sekali bahawa dia mencari begitu bersungguh-sungguh sehingga pencariannya berakhir di atas katil dengan Mo Yurou. Kalau tidak, dia sepatutnya sudah perasan yang Tangning tidak lagi tinggal di rumah asalnya.

"Malangnya, isu antara Mo Yurou dengan saya bukanlah satu salah faham…" Tangning berkata dengan tenang. "Saya sudah menolongnya banyak kali, tetapi dia tetap mengkhianati saya. Adakah saya begitu senang untuk dibuli di mata kamu berdua?"

"Tangning, Yurou bimbang mengenai wartawan di sekeliling. Jadi itu sahaja yang boleh dilakukannya!"

"Betul kah?" Tangning bertanya dengan ragu-ragu.

"Apa-apa pun, kejadian ini sudah berlaku. Janganlah dikenang lagi. Mengenai tawaran jurucakap HF pula, apa kata kamu pulangkannya kepada Yurou. Tawaran ini sangat penting baginya. Kamu sudah berundur dan tidak membuat sebarang pertunjukan, jadi tiada guna kamu menjadi jurucakap." Han Yufan berkata terus dengan nada orang atasan, memaksa Tangning mengembalikan tawaran tersebut kepada Mo Yurou.

"Tepat sekali, Tangning. Kamu tidak membuat pertunjukan untuk bertahun lamanya. Kamu sudah tidak biasa dengan pentas pun…" Mo Yurou menambah. "Paling penting, tawaran itu milik saya pada asalnya. HF mesti memikirkan bahawa saya cedera dan tidak akan sembuh tepat pada masanya. Jadi sebab itu mereka memilih kamu. Kamu tidak mahu menjadi gantian bukan?"

"Kata-kata itu kedengaran ironi daripada Mo Yurou," Tangning membalas dengan dingin dan menyedarkan Han Yufan. "Tangning, kamu bukan seperti ini sebelum ini. Kalau kamu masih sayangkan saya, kamu tidak akan terima tawaran ini. Untuk kebaikan masa depan syarikat, kita perlukan Yurou untuk menangi anugerah tersebut supaya kita boleh naikkan taraf syarikat kita di dalam industri."

Kata-kata Han Yufan membawa nada ugutan. Dia begitu melampau sehingga menggunakan perasaan sayang sebagai alasan.

Mo Yurou yang mendengar sehingga ke saat ini ketawa di dalam hati. Dia tahu Tangning akan melakukan apa sahaja untuk Han Yufan, termasuklah melepaskan tawaran.

"Yufan, cepat hubungi HF. Maklumkan mereka yang Tangning sibuk mengatur perkahwinannya dan tidak boleh menerima sebarang kerja baru…"

Han Yufan mengangguk sambil mencapai telefon. Sebaik sahaja dia memegang telefon, Tangning menghentikannya. "Tawaran itu…saya sudah terima."

"Tangning!" Han Yufan menyeru terkejut. Tangning tidak pernah melawan keputusannya sebelum ini.

"Jangan lupa, saya juga peragawati Syarikat Hiburan Tianyi. Sebenarnya, saya sudah bercakap dengan pengasas HF, Encik Eugene. Dia bersemangat untuk bekerja bersama."