Selepas penggambaran selesai, akhirnya Jia Qingqing mendapat peluangnya. Paling bagus, Ning Xi sudah beredar dari set penggambaran, jadi dia mendekati Jiang Muye sambil tersipu-sipu malu. "Abang Muye, Abang rasa tempat mana yang sesuai untuk makan malam? Apa kata kita pergi ke Hotel Rivers untuk makanan laut? Ayah saya ahli di sana, jadi kita boleh gunakan bilik VIP!"
Jiang Muye meregangkan badan tanpa semangat lalu menjawab, "Lupakan saja. Saya tak pergi. Saya terlalu letih hari ini!"
Apabila mendengar kata-katanya, Jia Qingqing bimbang. "Ah? Tapi ini hari pertama Abang dekat set. Kita kena raikannya dengan makan malam tak kira apa pun!"
Wajah Jiang Muye semakin gelap. "Siapa buat peraturan kita mesti raikan pada hari pertama? Kalau kamu tetap juga nak makan, pergilah sendiri!"
Sebenarnya semua orang tahu, Jiang Muye bukan seorang yang penyabar.
Sekiranya anginnya baik, dia selalunya tiada masalah. Kalau tidak, maka…
Jelas sekali, budak ini tidak berapa gembira sekarang.
Terkejut dengan kemarahannya, mata Jia Qingqing bertukar merah serta-merta. "Saya cuma ingin bersopan. Abang Muye, kenapa Abang marah-marah macam ini…"
Atuk siapa Abang Muye kau?
Jiang Muye begitu geram sehingga hampir meletup. Guo Qisheng yang berada di sisinya sedar keadaan semakin teruk, dengan cepat campur tangan. "Mungkin hari lain. Muye memang letih hari ini. Baik kita biarkan dia berehat dan biasakan diri dengan keadaan sekeliling pada hari pertamanya di sini. Siapa tahu kita sempat siapkan begitu banyak babak hari ini. Baiklah, semua orang boleh balik awal hari ini. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk mengadakan majlis makan malam!"
"Baiklah…" Diberi jalan keluar, Jia Qingqing mengangguk kepala dengan berat hati, dan pada masa yang sama kebenciannya terhadap Ning Xi lebih menebal dalam hatinya. Semua ini salah Ning Xi kerana menghabiskan banyak masa dengan Abang Muye sepanjang hari dan menyebabkan dia begitu letih sehingga tidak mahu makan malam!
Jiang Qingqing menundukkan kepala dan diam-diam memandang beberapa foto dalam telefon bimbitnya, lalu tersenyum sinis dan kejam.
'Kau tunggu dan lihat, Ning Xi! Saya pastikan kamu akan bayar!'
…
Kediaman Lu.
"Saya sudah pulang, Sayang!" Sebaik sahaja Ning Xi pulang ke rumah, keletihan dari sepanjang hari telah hilang sepenuhnya.
Si Cilik berlari dan melompat riang apabila mendengar suaranya. Segelas jus buah-buahan sejuk dipegang dalam tangannya.
"Sayang, kamu sangat manis! Sayang kamu!" Ning Xi mengambil gelas itu dan menghabiskan jusnya dengan sekali teguk. Kemudian, dia berkata dengan gembira, "Mari sini. Mak Cik akan pilih satu set pakaian comel untuk kamu pakai. Kita keluar makan periuk panas nanti!"
Ban kecil yang sebelum ini biasa melarikan diri ke loteng apabila mendengar dia akan keluar dari rumah, mengikuti Ning Xi ke tingkat atas dengan patuh.
Di dalam bilik tidur, dia membenarkan Ning Xi memilih beberapa pakaian untuk dicuba, satu demi satu.
"Yang ini terlalu biasa, yang ini pula terlalu membosankan, yang ini tidak cantik… Oh Tuhanku! Siapa belikan semua pakaian untuk kamu ini? Kenapa gayanya macam ini! Tak perlu tanya, pasti ayah kamu yang pilih semua ini! Dia lupa kamu hanya budak lima tahun, bukan tiga puluh lima tahun?"
Sambil memaki Lu Tingxiao, Ning Xi terus mencari. Di bahagian bawah kabinet, akhirnya, dia dapat mencari pakaian yang memuaskan. "Wow! Yang ini comel!"
Ia kemeja berlengan pendek putih kecil dengan hud dua telinga arnab panjang keluar daripadanya, siap dengan sepasang seluar dungari yang mempunyai saku besar di depan seperti Doraemon.
"Nampak dari gaya ini, pasti bapa saudara kedua kamu yang belikan! Sekurang-kurangnya dia boleh dipercayai dalam hal seperti ini. Budak kecil harus pakai pakaian yang comel dan cerah!" Ning Xi puas hati dan mengangguk kepalanya, lalu bertanya, "Apa kata sayang? Sayang sukakan pakaian ini? Kalau tak, Mak Cik boleh tolong carikan pakaian lain untuk kamu!"
Ning Xi tidak lupa untuk bertanya pendapat Si Cilik walaupun Si Cilik sentiasa bersetuju dengannya.
Sudah tentu, Ban Kecil mengangguk kepalanya tanpa teragak-agak.
Ning Xi pun membantu Ban Kecil memakaikan pakaiannya dengan gembira.