Lu Tingxiao sedang bermain "Hakim Terakhir" di sana. Kenapa Ning Xi pula yang perlu selamatkan mereka?
Panggilan telefon Lu Jingli memang tidak masuk akal!
Pada mulanya, Ning Xi memutuskan untuk mengabaikan situasi tersebut. Namun, atas sebab yang tidak diketahui, dia terasa secubit perasaan bersalah di celahan hatinya…
Tak guna! Kenapa dia perlu peduli?
Ketika dia mengeraskan hati dan memutuskan untuk mengabaikan situasi tersebut, Lu Jingli menghantar satu lagi video.
Dalam video tersebut, wajah Lu Tingxiao yang dingin seperti pisau yang menusuk tepat melalui skrin dan menakutkan Ning Xi. Dia merenung kosong sebelum dia sedar lelaki itu sebenarnya sedang merenung Lu Jingli.
"Lu Jingli, kamu ada setengah jam untuk membuat semula kertas kerja cadangan ini. Habiskan di sini juga. Kalau tak berjaya habiskan, kamu boleh pergi ke jabatan kewangan untuk dapatkan gaji terakhir kamu!"
Kemudian, skrin menjadi hitam.
Ning Xi: "…"
Sewaktu skrin itu menjadi hitam, dia seperti dapat mendengar tangisan berdarah Lu Jingli yang terakhir untuk meminta bantuannya…
Malah orang luar seperti dirinya pun tahu masa setengah jam untuk menyiapkan kertas kerja cadangan memang mustahil.
Tapi!
Dia memang tidak tahu bagaimana untuk selamatkan mereka!
Otak Ning Xi berputar, dan dia cuba mengingat semua 35 Strategi Sun Tzu dalam fikirannya…
Menunggu sampai musuh meletihkan diri sendiri? Hantu Lu Jingli pasti akan membunuhnya!
Mengalahkan musuh dengan menangkap ketua mereka? Lu Tingxiao sendiri rajanya!
Mengepung Wei untuk selamatkan Zhao? Dia tidak ada kelemahan langsung yang dapat diserang!
Kalau macam itu… perangkap madu? Tidak, tidak…
Akhirnya, Ning Xi menampar dahinya sambil berkata, "Betul! Memperdaya harimau keluar dari gua!"
Ning Xi menghembus nafas panjang, menenangkan fikiran, dan menghubungi nombor telefon Lu Tingxiao…
Pada masa yang sama, di Korporasi Lu.
Dalam bilik mesyuarat, projektor yang disambungkan ke telefon bimbit Lu Tingxiao memaparkan data dalaman syarikat.
Sekumpulan kakitangan senior memberikan tumpuan 12000% kepada pembentangan tersebut kerana Lu Tingxiao pasti mengajukan pertanyaan kepada mereka kemudian.
Ketakutan melampau tersebut seakan seperti masa sekolah rendah, ketika cikgu bakal bertanyakan soalan…
Pada waktu itu, telefon bimbit Lu Tingxiao tiba-tiba berdering.
Lu Tingxiao terus mengangkat panggilan tersebut tanpa melihat siapa yang membuat panggilan tersebut. Pada saat berikutnya, suara wanita yang manis dan lembut kedengaran jelas melalui sistem pembesar suara bilik mesyuarat…
"Halo, Lu Tingxiao. Kamu sibuk?"
Huh?!!!
Seluruh bilik tergamam. Semua kakitangan senior terperanjat dan wajah mereka bertukar keliru.
Apa yang terjadi?
Ini telefon bimbit peribadi bos, bukan?
Seorang wanita telah memanggilnya. Suaranya begitu manis, malah memanggil terus namanya…
Tetapi apa yang lebih mengejutkan belum tiba...
Ketika Lu Tingxiao mendengar suara itu, seluruh auranya berubah sedikit secara perlahan-lahan…
Seperti angin lembut yang datang ke dunia untuk menyentuh jiwa yang mati…
Lu Jingli yang dikebumi dengan tugas yang mustahil untuk disiapkan terus menangis, lega mendengar suara Ning Xi.
Kakak ipar, kamu telah datang, sob sob sob…
Lu Tingxiao berhenti seketika, lalu mencabut kabel yang menyambungkan telefonnya ke projektor. Mengangkat telefon bimbitnya ke telinganya, wajahnya tidak berubah, dan dia bercakap dengan dingin. "Apa yang kamu mahu?"
Di hujung talian, Ning Xi mahu menyerah kalah apabila mendengar suara yang menakutkan itu. Namun, akhirnya, dia berjaya mengumpulkan keberaniannya, dan berusaha sebaik mungkin untuk kedengaran lembut dan merayu. Dengan teragak-agak, dia bertanya, "Er, adakah kamu balik malam ini? Kita telah berjanji kepada Si Cilik untuk makan periuk panas hari ini!"
Wajah Lu Tingxiao masih keras dan dingin. "Tak pasti, saya sibuk."