Chereads / Isteri Liar Maharaja Hantu - Puan Muda Sulung Bergaya / Chapter 84 - Tok Ketua Rong Naik Berang (2)

Chapter 84 - Tok Ketua Rong Naik Berang (2)

Jing Lin tersenyum, menjeling sombong pada Yun Luofeng yang berdiri tenang di belakangnya.

Ketika itu, dia masih tidak sedar bahawa wajah kedua-dua orang tua itu menjadi gelap akibat kata-katanya. Tetapi mereka berdua masih berdiam diri kerana hendak mendengar apa lagi yang akan dikatakan.

Jing Lin tersalah anggap yang kedua-dua lelaki tua itu bersetuju dengan apa yang dikatakannya, justeru dia meneruskan, "Orang yang bersikap khianat, licik dan terlampau berani seperti dia tidak seharusnya dilayan dengan baik. Saya faham kamu berdua cuma membantunya kerana dia masih muda, saya cuma tak mahu kamu berdua diperdaya olehnya."

Tuan Tua Ning tersenyum sedikit. Kelihatan senyumannya dingin dan tidak mesra. Di dalam dewan Pavilion Perubatan yang riuh-rendah itu, suaranya perlahan kedengaran.

"Kamu pastinya guru yang Mu Wushuang katakan semalam, bukan?"

Jing Lin tersentak seketika, memandang Tuan Tua Ning dengan kebingungan. Dia mengerutkan keningnya sedikit. "Saya memang guru Mu Wushuang, tetapi saya tidak kenal siapa gerangan tuan..."

"Saya?" Tuan Tua Ning tersenyum. "Orang tua ini ialah orang tua penipu yang kamu katakan telah berpura-pura sakit semalam."

Seakan disambar petir, seluruh tubuh Jing Lin menggigil. Pandangannya tertumpu pada lelaki tua yang berdiri di hadapan Tok Ketua Rong.

Tuan Tua Ning bukan berasal dari Long Yuan, jadi memang wajar Jing Lin tidak mengenalinya. Namun, dia melihat lelaki tua itu bersama dengan Tok Ketua Rong, jadi dia membuat kesimpulan yang lelaki tua itu pasti orang berada. Maka Jing Lin tidak berani bertindak melulu sejak awal tadi.

Mungkinkah orang tua yang Mu Wushuang jumpa semalam, ialah lelaki tua yang berada di hadapannya sekarang?

"Tuan Tua Ning," mengabaikan Jing Lin, Tok Ketua Rong memandang Tuan Tua Ning dngan kebingungan lalu bertanya, "tabib hebat yang kamu perkatakan awal tadi ialah Cik Yun?"

"Betul." Tuan Tua Ning mengangguk dan menjeling Tok Ketua Rong dengan riak wajah yang pelik. "Kenapa? Jangan cakap kamu tidak percaya gadis ini memiliki kebolehan perubatan yang tinggi?"

Tok Ketua Rong tertawa pahit lalu berkata dengan nada tidak berdaya, "Sudah tentu saya yakin dengan kebolehan perubatannya! Lagipun tabib dewa yang saya sebut tadi ialah dia juga! Sangat tidak masuk akal yang kita sebenarnya hendak membandingkan doktor kenalan siapa yang lebih hebat dalam bidang perubatan."

Mendengar perbualan dua lelaki tua itu, Yun Luofeng mengangkat keningnya, senyuman kecil terukir pada bibirnya.

Jadi rupanya kedua orang tua ini sebenarnya hendak bertanding menggunakan dia?

Tok Ketua Rong menyedari dia telah terlepas cakap, tetapi sudah terlambat untuk dia menarik balik kata-katanya jadi dia tertawa hambar. "Cik Yun, Tuan Tua Ning dan saya sudah lama kenal dan suka bertanding dengan semua hal, jadi jangan ambil hati. Lagipun kami tidak lagi boleh bertanding sekarang. Bukannya kamu boleh bertanding dengan diri kamu sendiri , bukan?"

"Oh?"

Senyuman pada wajah Yun Luofeng menjadi semakin menawan ketika menaikkan kening untuk memandang Tok Ketua Rong yang cuba menjelaskan kata-katanya.

Riak wajah Tok Ketua Rong menjadi semakin malu. Dia terburu-buru sebentar dalam percakapannya dan tidak menyangka yang dia akan membocorkan rahsia di antara mereka begitu sahaja. Lebih-lebih lagi melakukannya di depan Yun Luofeng...

Jika tadi kata-kata Tuan Tua Ning bagaikan kilat yang menyambar Jing Lin, setelah mendengar kata-kata Tok Ketua Rong selepas itu, dia ternganga sehingga tidak dapat mendengar dengan jelas perbualan mereka yang selanjutnya.

Dalam mindanya, cuma ada suara yang bergema...

Adakah si sampah Yun Luofeng ini, benar-benar hebat dalam bidang perubatan? Ini sangat tidak masuk akal!

"Jing Lin, memandangkan kamu enggan pergi, saya cuma boleh menghalau kamu keluar!" Untuk mengalihkan rasa malunya, Tok Ketua Rong menoleh ke arah Jing Lin lalu mengarahkan dengan dingin, "Sesiapa dia antara kamu, ke mari dan campak Jing Lin ke luar pintu untuk saya. Mulai sekarang, Pavilion Perubatan tidak akan lagi mengalu-alukan kedatangan sesiapa daripada Keluarga Diraja untuk selamanya!"

Related Books

Popular novel hashtag