Maharaja merenung Ye Jingxuan dengan dingin. "Beta dengar hubungan kamu dengan Yun Luofeng tidak begitu baik, jadi siapa tahu mungkin kamu berniat untuk perangkap dia?"
Peluh dingin timbul di dahi Ye Jingxuan. "Yun Luofeng adalah isteri kepada anak saudara patik, jadi mana mungkin patik hendak perangkap dia? Hubungan di antara kami memang sentiasa baik, pasti Tuanku sudah tersalah faham."
"Bagus!" Maharaja mendengus. "Kalau begitu, Beta akan seru Yun Luofeng dan benarkan dia mendiagnosis Permaisuri!"
"Menjunjung perintah, Tuanku."
Ye Jingxuan tunduk dan tangan berpegang erat pada pemegang kerusi rodanya dengan senyuman jahat menghiasi bibirnya. 'Asalkan Maharaja bertitah, Yun Luofeng tidak akan dapat menolak! Ketika itu, jika terjadi kesilapan dalam rawatannya dan menyebabkan kematian Permaisuri, Maharaja pasti tidak akan lepaskan dia!'
Tidak lama selepas Maharaja bertitah, seorang gadis berpakaian serba putih muncul di luar bilik bacaan itu…