"Guan Lin," Mu Wushuang mengerutkan keningnya yang cantik, berkata dengan nada tidak setuju, "kata-kata kamu itu tidak benar. Siapa yang tidak bermula dari tidak tahu apa-apa? Yun Luofeng mempunyai minat, dan itu membuktikan dia bukanlah langsung tidak bernilai!"
Hujung bibir Guan Lin menggerenyet, tidak percaya dengan apa yang dikatakan Mu Wushuang. Sebagai sampah, Yun Luofeng pasti tidak akan mampu belajar perubatan, dan tiada siapa juga akan mahu menerima dia sebagai anak murid.
Hanya Mu Wushuang yang cukup baik untuk membimbing dia.
Sudah tentu, di mata Guan Lin, kata-kata Mu Wushuang tentang ingin berbincang dengan Yun Luofeng mengenai seni perubatan jelas bermaksud Mu Wushuang yang membimbing Yun Luofeng.
"Yun Luofeng," Mu Wushuang sekali lagi menoleh ke arah Yun Luofeng, "Kamu baru mula belajar, tanpa bimbingan seseorang, kamu pasti akan salah jalan dan membazirkan banyak herba! Apa kata saya berikan kamu sedikit petua? Beberapa petua ini akan lebih berguna daripada kamu menghabiskan masa sepuluh tahun membaca buku perubatan seorang diri."
Betulkah Mu Wushuang ingin mengajar Yun Luofeng?
Tidak! Dia melakukannya untuk memalukan Yun Luofeng! Untuk membuatkan Yun Luofeng sedar selain daripada penampilannya, dia sememangnya tidak berguna! Lagipun, Mu Wushuang juga cukup kenal dengan angin Yun Luofeng yang sudah tentu tidak akan menerima ajarannya.
"Baiklah."
Sewaktu Mu Wushuang menyangka Yun Luofeng akan menolak tawarannya, gadis muda itu menjawab dengan nada yang ceria.
Riak wajah Mu Wushuang terus kaku. Melihat orang lain tidak perasan, dia perlahan-lahan mengembalikan riak wajah yang biasa. "Yun Luofeng, jika kamu ada apa-apa soalan mahu ditanya, saya akan cuba sebaiknya untuk memberikan jawapan."
Yun Luofeng membelai lembut dagunya, mata hitamnya kelihatan nakal. "Saya ingin tahu bagaimana untuk menyahtoksikkan racun bunga Man Luo?"
Mu Wushuang terpegun, dan dia berfikir seketika sebelum berkata, "Seingat saya, racun bunga Man Luo ini salah satu masalah yang tertampal pada dinding Pavilion Perubatan. Tabib Pavilion Perubatan juga tidak dapat menyelesaikannya. Yun Luofeng, walaupun guru saya datang, dia juga tidak akan dapat memberikan kamu jawapan. Saya cadangkan kamu bermula dari asas dahulu. Racun bunga Man Luo bukan sesuatu yang kamu boleh sentuh sekarang."
Maksud Mu Wushuang, masalah yang Pavilion Perubatan sendiri tidak dapat selesaikan, boleh dimaafkan jika Mu Wushuang juga tidak dapat selesaikannya.
"Penawar untuk racun bunga Man Luo sangat mudah," Yun Luofeng menguap, bersandar pada pintu kapal dengan bersahaja. "Jika kamu tidak dapat menyelesaikan persoalan mudah seperti ini, apa yang memberikan kamu hak untuk saling berbincang dengan saya?"
"Yun Luofeng!"
Gao Ling menggenggam penumbuknya dengan sangat marah, genggaman sangat ketat sehingga menghasilkan bunyi. Keadaan ini membuatkan sesiapa sahaja merasakan Gao Ling akan menumbuk muka Yun Luofeng bila-bila masa sahaja.
"Kamu memang sengaja menyusahkan Mu Wushuang!" Akhirnya, Gao Ling menahan perasaannya ingin menumbuk Yun Luofeng dan berkata dengan sangat berang, "Racun bunga Man Luo ialah sesuatu yang Pavilion Perubatan sendiri tidak mampu selesaikan! Kamu siapa untuk mengatakan penawarnya sangat mudah? Kamu sengaja bertanyakan soalan ini! Beta beri kamu amaran, kalau kail panjang sejengkal lautan dalam jangan diduga! Ilmu perubatan perlu dipelajari dari peringkat awal. Wushuang begitu baik budi mengajar kamu tapi kamu balas dengan hinaan! Melepaskan peluang sebaik ini, kamu memang ditakdirkan untuk sekadar menjadi sampah!"
Suasana di kabin kapal itu menjadi suram serta merta. Semua orang menyaksikan angin Putera Mahkota menjadi gila, tapi tiada siapa yang berani masuk campur.
Dalam keadaan yang tegang ini, bunyi kelepuk dapat didengari, bunyi seperti sesuatu terjatuh itu kedengaran dari dalam kabin. Ketika itu, pandangan semua orang tertumpu ke sana.
Seorang lelaki tua sedang tercungap-cungap dan wajahnya semakin pucat. Dia terbongkok di lantai, menggigil. Di sampingnya, seorang gadis muda yang cantik menyokong badannya dan menjerit dengan resah, "Tolong, sesiapa sahaja tolong datang dan selamatkan datuk saya! Keluarga Ning akan terhutang budi kepada sesiapa yang selamatkan datuk saya, dan kami juga akan tawarkan ganjaran yang lumayan!"