Di dalam tab mandi, wajah jelita gadis itu menjadi pucat sambil dia mengetap bibirnya. Rambutnya yang lembut jatuh ke belakang, dan menerusi wap dan kabus itu, dapat dilihat kecantikannya yang mempesonakan.
Tidak jelas sudah berapa lama masa yang berlalu, air ubatan di dalam tab mandi itu sudah bertukar daripada hijau kepada hitam. Gadis itu membuka matanya perlahan-lahan, dan bibirnya yang merah mengeluarkan udara yang keruh.
"Tuan telah berjaya! Tuan sekarang adalah Pertapa Rohani pangkat-rendah tahap-awal! Tuan bukan lagi sampah yang tidak boleh bertapa. Nanti, saya akan memberikan preskripsi yang Tuan boleh ikut untuk menyediakan mandian perubatan. Bertapa di dalam mandian perubatan akan menambahkan kelajuan tuan."
Dalam jiwanya, Xiao Mo sangat gembira sehingga dia berceloteh tanpa henti.
"Malang sekali kita tidak memiliki herba rohani, jika tidak, kesannya pasti lebih kuat. Tuan, bila Tuan hendak melawat Dunia Kod Dewa dan tanam herba yang Tuan dapat hari itu..."
Dahi Yun Luofeng berkerut, tapi sebelum dia sempat berkata apa-apa, suara Xiao Mo tiba-tiba menjadi cemas.
"Tuan, ada orang datang!"
Ada orang datang?
Yun Luofeng menjadi peka serta merta. Dia mengambil jubah yang ada di tepi lalu menyelimutkan badannya dengan pantas. Dia melonjak keluar dari tab mandi itu dan bersuara tegas, "Siapa di sana? Keluar!"
Dari belakang tabir, muncul susuk tubuh berpakaian hitam.
Wajah lelaki itu sangat menawan, sempurna sehingga boleh membuat dewa-dewa juga iri hati. Wajah yang halus berbentuk itu tidak beremosi. Sepasang matanya yang gelap merenung ke arah Yun Luofeng. Mata yang tidak dapat ditembusi itu mengelakkan orang daripada mengetahui isi hatinya.
Pandangan Yun Luofeng terhenti pada bibir lembut lelaki itu dan hanya mampu teringat hari itu ketika bibir itu mencium bibirnya saat lelaki itu terjatuh ke bawah...
"Kenapa kamu datang ke sini?"
Minda gadis itu mula kembali tenang, dan mata menawannya sekali lagi merenung wajah dingin itu tadi. Selain dari perasaan tidak sabar, ada sedikit nada mengusik pada suaranya.
"Kamu tercicir ini."
Lelaki itu mengangkat tangannya, lalu loket jed bergantung dari genggamannya.
Perkataan "Yun" terukir dengan jelas pada loket jed itu, perkataan yang terpantul pada matanya.
Yun Luofeng terpegun sejenak. Hari itu, dia memang telah kehilangan loket jednya dan tidak menjumpainya walaupun sudah puas mencari, tapi dia tidak menyangka ia jatuh ke tangan lelaki ini.
Patutlah lelaki ini datang ke Kediaman Jeneral. Jadi sebab loket ini saja lelaki ini datang mencarinya.
"Bagus, memandangkan loket ini sudah kembali kepada tuannya, kamu boleh pergi sekarang."
Yun Luofeng menerima loket jed itu. Dengan senyuman yang jahat, dia merenung dingin lelaki itu lalu bertanya dengan kening berkerut, "Ada apa-apa lagi?"
Lelaki itu bergerak sedikit tetapi tidak pergi.
Entah mengapa, pada ketika itu, Yun Luofeng mengesan... rasa kekok pada wajah lelaki itu?
"Kamu... telah selamatkan saya."
"Ya?"
"Dan kamu juga telah melihat wajah saya..."
"Jadi?"
"Perlu bertanggungjawab"
Yun Luofeng bingung, ternganga dia memandang lelaki yang ada ekspresi kekok di wajahnya ini.
Dia salah dengarkah sebentar tadi?
Lelaki dingin ini meminta Yun Luofeng untuk bertanggungjawab, berada di sini dengan wajahnya yang tidak selesa, hanya kerana Yun Luofeng telah melihat wajah di sebalik topengnya?
"Saya sudah agak. Saya tahu benda ini pasti akan terjadi! Tuan, terima dia cepat! Tuan akan mendapat manfaat daripadanya! Terima dia cepat!"
Xiao Mo betul-betul teruja, seolah-olah dia yang diminta untuk bertanggungjawab.
"Diamlah!" Yun Luofeng tidak lagi dapat menahan dirinya lalu menjerit. Sesudah itu barulah dia memandang ke arah lelaki di hadapannya itu. "Bukannya saya ada merogol kamu! Tanggungjawab apa yang kamu maksudkan? Tambahan pula, kita ni orang asing, saling tidak mengenali. Kenapa kamu datang cari saya? Cuma sebab saya telah bantu kamu sekali?"
Lelaki tanpa emosi itu memuncungkan mulutnya dan membalas kekok,