Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 847 - Doktor Genius yang Tiada Tandingan (3)

Chapter 847 - Doktor Genius yang Tiada Tandingan (3)

Rumah tumpangan yang didiami oleh Akademi Panji Perang kini agak sesak. Disebabkan kecederaan parah Qu Ling Yue, Maharaja Negara Yan telah menghantar semua tabib terkenal dari seluruh Ibu Negara Diraja ke situ untuk merawatnya. Tetapi lebih dua puluh orang tabib terhormat yang bertungkus-lumus sehari semalam pun tidak dapat menentukan rawatan berkesan untuk Qu Ling Yue. Pada ketika itu, mereka hanya boleh menggunakan kaedah konservatif untuk memanjangkan nyawa Qu Ling Yue.

Di dalam rumah tumpangan itu, Fu Xuan mengerutkan keningnya sambil memandang sekumpulan lelaki tua yang berdiri di hadapan pintu Qu Ling Yue. Mereka berkumpul sambil membincangkan kaedah rawatan dengan begitu bersemangat.

"Senior Fu... Ling Yue… akan sembuh, bukan?" tanya seorang pemuda tampan. Dia memandang pintu bilik Qu Ling Yue dengan bimbang. Matanya dipenuhi keresahan.

"Saya tak tahu," kata Fu Xuan sambil menggelengkan kepala.

Pemuda itu menarik nafas panjang lalu berkata dengan marah, "Ini semua berlaku disebabkan Jun Xie daripada Akademi Zephyr tu! Memang kebiasaannya dalam Kejohanan Pertempuran Roh, pihak lawan hanya perlu ditundukkan. Kenapa dia perlu menyerang dengan kuat!? Kalau dia tu ada roh hijau pun, apa halnya? Dia ada hal untuk jadi begitu kejam dan ganas? Kalau apa-apa berlaku pada Qu Ling Yue, saya tak akan lepaskan dia!" Mata pemuda itu membara dengan kebencian.

Wajah Fu Xuan menjadi kaku dan dia memujuk, "Merawat Qu Ling Yue adalah hal paling utama sekarang. Jangan fikirkan tentang hal lain."

Pemuda itu mengetap gigi lalu mengangguk.

Fu Xuan memandang ke luar tingkap. Di sebalik perwatakan yang tenang itu, fikirannya berkecamuk. Dia sudah lama rapat dengan Lei Chen. Tentulah dia tahu yang baru-baru ini Lei Chen semakin rapat dengan orang-orang daripada Akademi Zephyr, terutamanya pemuda bernama Jun Xie itu. Lei Chen begitu sukakan budak itu. Fu Xuan tahu disebabkan insiden Qu Ling Yue tercedera ini, seluruh Akademi Panji Perang sudah berdendam dan bencikan Akademi Zephyr. Kata-kata yang pemuda tampan itu sebutkan tadi bukanlah pertama kali Fu Xuan dengar daripada orang-orang Akademi Panji Perang.

"Tuanku perlu fikirkan jalan keluar cepat. Kalau tak, susahlah hidup budak yang Tuanku sukakan tu," kata Fu Xuan pada dirinya sendiri sambil mengeluh. Pandangan matanya ditundukkan untuk melihat pemandangan di luar tingkap. Sekali pandang sahaja dia kebetulan terlihat kereta kuda dari Kediaman Putera Mahkota berhenti di bawah. Hatinya melonjak dan dia cepat-cepat turun.

Lei Chen membawa Jun Wu Xie bersamanya ke rumah tumpangan tempat orang-orang Akademi Panji Perang berada. Dia baru saja melangkah masuk apabila kakinya goyah dan langkahnya semakin perlahan. Lei Chen berasa cemas dan berkali-kali berpaling untuk memandang Jun Wu Xie di sisinya. Walaupun adanya pengiktirafan daripada Jun Xie dan Istana Lin sebagai jaminan di belakang Jun Wu Xie, Lei Chen masih berasa sedikit gelisah.

Dia benar-benar tidak percaya yang seorang gadis sebegini muda memiliki pengetahuan yang tinggi dalam bidang perubatan.

"Tuanku dah sampai." Fu Xuan turun dari tangga. Sewaktu matanya terpandang Jun Wu Xie di sisi Lei Chen, senyuman berseri-seri di wajahnya terus menjadi kaku.

"Mmm. Macam mana keadaan King Yue?" Lei Chen tidak menyedari kelakuan aneh Fu Xuan.

Fu Xuan cepat-cepat bertenang dan senyuman kaku di wajahnya terus lenyap. Dia berkata dengan perlahan, "Belum ada apa-apa perubahan pada keadaan Junior Qu ."

Lei Chen mengangguk dan berkata pada Jun Wu Xie yang berada di sebelahnya, "Cik Jun nak pergi lihat keadaan Qu Lung Yue dulu?"

"Sudah tentulah," kata Jun Wu Xie.

"Jadi Beta harap Cik Jun boleh ikut Beta," kata Lei Chen sambil menarik nafas. Dia sudah pun pergi sejauh ini. Dia tidak boleh teragak-agak lagi!

Lei Chen membawa Jun Wu Xie ke tingkat dua. Fu Xuan mengiringi mereka sambil berkali-kali memandang Jun Wu Xie daripada hujung rambut ke hujung kaki. Sia seolah-olah sedang mencari-cari sesuatu.

Sebaik sampai ke tingkat dua, mereka bertembung dengan pemuda yang bercakap dengan Fu Xuan tadi. Pemuda itu baru sahaja mahu mengatakan sesuatu ketika dia terpandang Jun Wu Xie yang berada di sisi Lei Chen. Matanya terjojol seperti mata ikan emas.