Namun ada juga yang tidak bernasib baik. Sebaik mereka perlu berdepan dengan para pelajar dari Akademi Pembunuh Naga, Panji Perang atau Zephyr, hampir semuanya akan memilih untuk mengorbankan perlawanan dan langsung tidak mahu bertanding!
Inilah kekuatan hebat serta reputasi penghalang yang dimiliki oleh ketiga-tiga akademi elit teratas itu!
Tetapi situasi yang sudah berlanjutan selama beberapa tahun itu mengalami sedikit perubahan pada tahun ini...
Tanggapan terhadap kekuatan Akademi Pembunuh Naga dan Panji Perang masih sama. Namun begitu, Akademi Zephyr dianggap sudah lapuk dimamah usia.
Pandangan mata kebanyakan pelajar tanpa sedar tertumpu pada satu-satunya orang yang memakai pakaian seragam Akademi Zephyr di situ. Pemuda bertubuh kecil itu sedang berdiri di satu sudut. Tahun ini, Akademi Zephyr bukan sahaja mengurangkan hampir separuh jumlah peserta mereka yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Pertempuran Roh, mereka juga nampaknya terpaksa menghantar budak kecil ini sebagai peserta! Ini membuatkan para peserta di daerah pertama berasa amat teruja!
Tidak kira apa saja yang orang lain katakan, tidak seorang pun dalam kalangan mereka yang percaya bahawa mereka akan kalah dalam perlawanan menentang budak sekecil itu. Mereka merasakan usia budak itu dalam lingkungan empat belas hingga lima belas tahun dan roh berkontraknya baru sahaja dibangkitkan. Pada usia itu, paling hebat pun dia hanya boleh mencapai roh tahap merah. Selain usianya yang muda, budak itu nampak kurus dan lemah. Dia tidak nampak seperti mampu berlawan. Semua ini memberitahu mereka bahawa sudah berkurang satu lawan yang kuat untuk ditentang dan ada satu peluang lagi untuk mereka menyerlah!
Walaupun Akademi Zephyr sudah pun mengalami kejatuhan, nama dan reputasi mereka masih dikenali di seluruh dunia. Kalau mereka berpeluang berlawan dengan budak kecil dari Akademi Zephyr itu di sini, mereka akan mendapat peluang bermegah-megah yang tidak berkesudahan di masa hadapan kerana telah mengalahkan seorang pelajar elit.
Menewaskan pelajar dari Akademi Zephyr di dalam pertempuran akan menjadi lambang kehormatan pada mereka, tidak kiralah bila pun situasi ini berlaku!
Proses mencabut undi itu belum pun bermula dan sudah ramai para pelajar di situ yang berdoa dalam diam supaya mereka dipadankan dengan Jun Wu Xie dalam pusingan pertama. Sedikit pun mereka tidak terfikir yang si pendek ini akan bertahan sehingga ke pusingan kedua. Jadi, tak kira siapa pun yang akan dipadankan dengan budak kecil itu di pusingan pertama, orang itu akan mendapat kelebihan yang besar. Peluang sebegini tidak akan muncul pada setiap tahun.
Jun Wu Xie yang berdiri dengan diam di satu sudut itu langsung tidak menyedari yang dia telah dianggap sebagai kambing biri-biri tidak berdaya yang bakal disembelih. Dia hanya kekal diam di sudut tersebut tanpa seorang pun tahu apa yang difikirkannya. Semua pandangan jahat dan niat kejam itu tidak dipedulikan. Dia menganggap semua itu tidak wujud. Tapi tiba-tiba dia dapat merasakan satu pandangan aneh yang berbeza dengan pandangan orang lain padanya. Namun pandangan itu langsung tidak membuatkan dia berasa tidak selesa.
Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan memandang ke arah pandangan mata tersebut. Daripada celah-celah kerumunan orang ramai, dia terlihat seraut wajah gadis muda yang cantik dengan sepasang mata yang menawan.
Gadis muda itu sedang memerhatikan Ju Wu Xie. Ketika Jun Wu Xie tiba-tiba mengangkat kepala, renungan mata mereka bertembung. Situasi ini berlaku hanya seketika dan wajah berkulit cerah itu tiba-tiba kelihatan seperti dibakar dan menjadi kemerah-merahan. Mata gadis itu kelihatan panik dan dia terus menundukkan kepala lalu cuba menyembunyikan diri dengan mengorak beberapa langkah kecil ke sisi.
Mata Jun Wu Xie kelihatan keliru. Dia teringat pernah terlihat gadis ini sebelum di Kediaman Putera Mahkota sebelum ini. Gadis itu mengenakan pakaian seragam Akademi Panji Perang. Kalau tidak silap ingatannya, sewaktu di Kediaman Putera Mahkota tempoh hari, dia ada mendengar Lei Chen menyebut nama gadis itu beberapa kali.
[Ling Yue? Rasanya macam dua patah perkataan ini. Betullah tu.]
Minda Jun Wu Xie mula ligat berfikir. Lewat malam semalam, Fei Yan telah mengumpulkan mereka semua. Kemudian dia memaksa mereka mendengar segala maklumat tentang para pelajar dari Akademi Panji Perang dan Pembunuh Naga yang menyertai Kejohanan Pertempuran Roh ini. Salah satu maklumat itu adalah berkaitan dengan gadis muda yang tadi telah menghendap Jun Wu Xie dan kemudiannya tersipu-sipu malu apabila perbuatannya disedari.
Qu Ling Yue, pelajar yang mendapat tempat pertama di Kejohanan Pertempuran Roh yang diadakan di Akademi Panji Perang!