Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 761 - Rumah Lelong Roh Api (4)

Chapter 761 - Rumah Lelong Roh Api (4)

"Tampannya lelaki tu!" kata gadis itu sambil mengeluh setelah terpandang ketampanan yang amat menawan itu.

Pemuda yang duduk di sebelahnya tiba-tiba berkerut. Dia menyorot pandangan mata gadis itu dan terlihat seorang lelaki tampan yang duduk di satu sudut.

"Ling Yue, orang macam tu pun boleh menarik perhatian kamu?" Suara pemuda itu kedengaran sedikit cemburu tetapi ekspresi wajahnya penuh cemuhan.

Qi Ling Yue menjeling pemuda itu dan mengangkat sebelah keningnya. Dia mencabar dengan berkata, "Tak ada apa-apa yang tak kena dengan mata saya ni. Kamu tak nampak mata semua gadis lain merenung lelaki tu?"

Pemuda itu mencebik dan berpaling untuk memandang seorang gadis lain. Gadis itu duduk tegak di kerusinya dengan dagunya dinaikkan sedikit. Jika dibandingkan dengan Qu Ling Yue, kecantikannya disertai kedinginan yang membuatkan orang lain tidak berani mendekatinya.

"Senior Fu kita tak pandang dia pun. Siapa kata dia tampan?" balas pemuda itu.

Qu Ling Yue menjeling pada pemuda itu lalu bangun menuju Fu Xian yang selama ini duduk diam di satu sudut. "Senior Fu, boleh tak tengok lelaki itu dan beritahu saya sama ada dia amat menawan?"

Mata Fu Xuan diangkat dan dia berpaling untuk memandang arah yang ditunjukkan oleh jari Qu Ling Yue. Satu jelingan itu sudah cukup untuk menimbulkan riak-riak di dalam matanya yang tenang. Seolah-olah ada sesuatu yang menyebabkan jantungnya tersentak!

"Dia sangat menawan, bukan?" Qu Ling Yue tidak dapat menahan dirinya daripada bertanya setelah dia tidak mendapat sebarang jawapan.

Fu Xuan hanya kembali pulih seketika kemudian dan mengangguk kecil.

Qu Ling Yue terus berpaling dan memandang bangga pada pemuda yang sedang duduk di sisi dengan perasaan marah itu.

"Saya tak fikir ada orang yang begitu tampan wujud di dunia ini. Senior Fu, beritahu saya siapa yang kamu rasa lebih tampan. Lelaki itu atau Penasihat Agung yang dikatakan sebagai lelaki paling menawan di seluruh Negara Yan?" Qu Ling Yue tidak mempedulikan pemuda itu dan dengan beraninya bertanya pada Fu Xuan yang telah mengakui standard penghargaan kecantikannya.

Fu Xuan baru sahaja mahu membuka mulut untuk membalas apabila pintu bilik peribadi di tingkat dua itu tiba-tiba terbuka.

Mereka terlihat seorang pemuda yang berpakaian mewah dan memiliki rupa paras yang elok berdiri di muka pintu sambil tersenyum kecil. Matanya juga dihiasi perasaan yang sama. Walaupun tidak terlalu ketara, hal ini membuatkan dia kelihatan lebih mesra.

"Penasihat Agung tak suka orang membincangkan rupa parasnya, tahu? Qu Ling Yue, kalau Penasihat Agung terdengar kata-kata kamu tu, dia tidak akan berasa gembira." Pemuda yang tampan itu berjalan masuk ke dalam bilik tersebut sambil tersenyum. Matanya yang bersinar-sinar perlahan-lahan tertumpu sekilas pada Fu Xuan sebelum berpaling semula.

"Tuanku!" Ketika pemuda di dalam bilik itu terlihat lelaki muda tersebut, dia cepat-cepat tampil dan memberikan sapaan sambil melutut sebelah kaki.

Lelaki yang baru muncul di bilik itu ialah Putera Mahkota Negara Yan, Lei Chen!

Wajah Qu Ling Yue kelihatan terkejut tetapi dia tidak panik ketika menjeling Lei Chen lalu berkata, "Patik pasti Tuanku tak akan mengulang sepatah pun kata-kata tadi pada Penasihat Agung, bukan?"

Lei Chen tersengih dan mengangguk.

"Tentulah. Beta tak mahu Penasihat Agung itu tahu yang adik seguru Beta membandingkan rupa parasnya dengan lelaki lain. Kalau tidak, pasti dia akan salahkan Beta kerana tak ajar adik-adik junior Beta dengan baik."

Qu Ling Yue tersengih nakal.

Semua orang di Negara Yan tahu yang Putera Mahkota Lei Chen sebelum ini telah bersekolah seketika di Akademi Panji Perang. Tiga orang anak muda di dalam bilik peribadi itu pula sebenarnya merupakan ahli pasukan yang mewakili Akademi Panji Perang bagi Kejohanan Pertempuran Roh tahun ini. Putera Mahkota itu sudah menamatkan pengajian dan pulang beberapa tahun yang lalu. Walaupun dia bukan lagi sebahagian daripada Akademi Panji Perang, dia tetap akan berkunjung ke akademi itu untuk melawat guru-gurunya pada setiap tahun. Sebab itulah dia begitu mesra dengan Qu Ling Yue dan pelajar lain dari Akademi Panji Perang.

Disebabkan Lei Chen tidak pernah berlagak sombong setiap kali pulang ke akademi, dia amat popular dalam kalangan pelajar-pelajar junior.

Sikap Lei Chen menunjukkan adab yang baik dan hormat pada guru-gurunya. Ini membuatkan dia mendapat sokongan sebahagian besar rakyat Negara Yan.