Mata Jun Wu Xie berkilau kejam. "Bunuh."
Jun Wu Yao ketawa. Tanpa teragak-agak, dia mengangkat kepalanya perlahan-lahan lalu memandang dua orang lelaki yang hanya berdiri di situ dalam keadaan tergamam.
"Kalau begitu, kamu perlu mati." Senyuman menawan itu kembali terbit di bibirnya tetapi kata-kata yang keluar dari mulutnya itu ibarat petanda maut. Jun Wu Yao mengangkat tangannya dan dua bayang-bayang meluru ke arah kedua-dua lelaki tersebut!
Salah seorang daripada mereka tidak sempat bertindak pun lalu menerima nasib yang sama seperti rakannya yang sudah mati. Sebaliknya ketua kumpulan tersebut pula mengerah seluruh tenaga rohaninya dan sipi-sipi dapat menampan serangan yang mampu membunuhnya serta-merta. Walaupun dia dapat mengelak daripada dipenggal, bayang-bayang yang ditepis itu tetap dapat membuka satu lubang yang besar di dadanya. Darah mencurah-curah keluar dari luka tersebut.
Tangannya bermati-matian cuba memegang lukanya. Dia berasa terkejut dan merenung lelaki yang teramat kuat dan mampu membunuh mereka bertiga yang merupakan penempur berkemahiran tinggi dengan hanya mengangkat sebelah tangannya!
Walaupun kuasanya tidak berada dalam kalangan golongan elit tertinggi, dia tidaklah dianggap lemah. Namun begitu, di hadapan lelaki ini, dia merasakan dirinya sekecil semut. Dia tidak mengimpikan untuk menentang lelaki ini, tak mungkin dia mampu bergelut.
Dia tidak pernah melihat kuasa sehebat ini. Malah Tuan Tua mereka pun tidak memiliki kuasa dan begitu mendominasi sebegini!
Dengan ajalnya semakin tiba, lelaki itu tidak dapat berbuat apa-apa selain merenung Jun Wu Yao. Dia memandang wajah Jun Wu Yao yang teramat tampan itu dengan teliti untuk cuba menentukan identitinya.
"Kamu… kenapa kamu… menentang…" Ketua itu berasa marah. Kenapa lelaki yang memiliki kuasa begitu hebat ini memilih untuk melindungi golongan lemah seperti itu? Ketua itu pasti tiada permusuhan yang wujud di antara mereka!
Bibir Jun Wu Yao yang menawan itu menguntum senyuman menggoda. Dia kelihatan terhibur memandang lelaki yang dipenuhi kemarahan itu lalu berkata dengan bersahaja, "Menentang kamu? Ha ha, jangan salah sangka. Saya bunuh kamu sebab Adik Xie mahu kamu mati."
Sampah seperti ini tidak layak dapat perhatiannya. Mereka ini tidak sedar diri dan menimbulkan kemarahan Adik Xie. Jangan salahkan sesiapa kalau mereka ditendang ke Pintu Neraka.
"Siapa… siapa… kamu…" tanya ketua itu dengan bersusah-payah.
Jun Wu Yao sudah pun berpusing. Dia tidak mempedulikan rayuan lelaki itu lalu menundukkan kepala untuk memandang wajah Jun Wu Xie yang tidak berperasaan.
Kaki lelaki itu tiba-tiba menjadi longlai dan dia jatuh terduduk. Dia merasakan cengkaman kematian hampir menariknya. Lelaki itu berusaha mengangkat kepalanya dan memandang Ye Sha yang sudah berdiri tegak di sisi Jun Wu Yao. Kemudian dia mengalihkan pandangan ke arah Jun Wu Yao yang amat berkuasa. Dia teringatkan kuasa rohani hitam yang dilihatnya tadi lalu menyedari sesuatu yang menggerunkan. Matanya hampir terjojol keluar. Suara yang serak terlepas keluar dari mulutnya.
"Kamu….. Mahar….."
Sebaik kata-kata itu diungkapkan, Jun Wu Yao yang masih memandang Jun Wu Xie mengangkat tangannya. Satu bayang hitam menembusi leher lelaki itu dan memotong kata-kata yang mahu diluahkannya.
"Bising sangatlah." Ketika itu, senyuman Jun Wu Yao kelihatan sedikit kurang sabar. Lelaki itu masih kelihatan gerun dan terkejut sewaktu dia rebah ke lantai. Dia terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan menghembuskan nafas terakhirnya.
Dalam beberapa ketika sahaja tiga pakar dari Alam Pertengahan telah terbunuh di tangan Jun Wu Yao. Dia melakukannya dengan begitu mudah sehingga sukar diterima akal.
Dia cuma perlu mengangkat tangannya sebanyak tiga kali dan sudah pun dapat membunuh tiga orang pakar roh ungu yang begitu berkuasa!?
Akademi Zephyr diselubungi kesunyian. Setiap orang begitu terpesona dengan kuasa lelaki tampan itu yang begitu kuat dan sukar dipercayai sehinggakan mereka tidak berani untuk bernafas dengan kuat!
[Dia terlalu hebat]
[Sememangnya teramat kuat!]
[Roh ungu yang begitu dihormati oleh semua orang di dunia ini ibarat kambing biri-biri yang menjadi korban lelaki ini. Dari mana dia datang!?]