Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 732 - Tamparan Kelapan (13)

Chapter 732 - Tamparan Kelapan (13)

Apa yang Ning Rui katakan ini membuatkan seluruh Akademi Zephyr itu menjadi senyap sunyi. Setiap orang di situ merenung tepat pada Ning Rui.

Menyuruh sekumpulan pemuda ini pergi ke Cenuram Penghujung Syurga itu sama seperti menghantar mereka ke jurang maut!

Ning Rui dah hilang akalkah?

"Kamu benar-benar tak ada hati nurani! Tak cukup dengan membunuh Guru Besar, kini kamu nak hantar semua pelajar dan guru-guru Akademi Zephyr ke jurang maut! Kamu nak bunuh semua orang di dalam akademi ini sebelum berpuas hati!?" Fan Jin benar-benar marah.

Ning Rui langsung tidak terkesan dan membalas, "Kamu tak perlulah pandang buruk tentang hal ini. Katanya yang paling kuat akan selamat. Saya hantar mereka ke Cenuram Penghujung Syurga untuk melatih mereka. Kalau mereka kembali hidup-hidup, pasti mereka akan lebih berjaya di masa hadapan. Mereka yang tidak mampu bertahan dengan ujian ini pula…" Ning Rui memandang mata anak-anak muda yang kelihatan gerun itu. Dia merenung mereka dengan pandangan berbisa.

Kalau kejadian hari ini tidak berlaku, kalau rancangannya membunuh Fan Qi tidak terdedah, mungkin dia berasa sedikit bersalah. Tapi kini dia tak sabar-sabar untuk melihat mereka semua dihapuskan!

"Kalau mereka menghadapi kesusahan di situ, salahkan diri sendiri kerana tidak memiliki kebolehan," kata Ning Rui sambil ketawa kejam.

Pada ketika itu, bukan hanya Fan Jin dan Fan Zhuo yang berasa marah, semua pelajar Akademi Zephyr juga tidak sanggup hanya berdiam diri!!

Jelas sekali yang Ning Rui tidak menganggap mereka sebagai manusia. Menghantar mereka semua ke Cenuram Penghujung Syurga itu akan membunuh bukan sahaja para pelajar malah guru mereka juga.

"Ning Rui! Jangan melampau sangat! Kamu bunuh Guru Besar, cuba bunuh anaknya, malah mahu menghantar seluruh Akademi Zephyr ini ke jurang maut. Kamu memang terlalu kejam! Orang seperti kamu ni tak layak terus berada di Akademi Zephy dan tak ada siapa akan terus mendengar cakap kamu. Nak hantar kami semua ke Cenuram Penghujung Syurga? Jangan haraplah!" Beberapa orang guru Akademi Zephyr tidak lagi mampu menahan diri mereka dan terus bersuara untuk mempertahankan Akademi Zephyr. Mereka sudah pun berasa curiga dengan ujian latihan itu sebelum ini. Sebaik mendengar jawapan Ning Rui yang tidak menunjukkan sebarang kekesalan, mereka semua berharap dapat menerkam Ning Rui dan menyiat-nyiat kulitnya hidup-hidup!

Ning Rui ketawa melihatkan mereka semua.

"Nak pergi atau tak, bukannya kamu yang tentukan." Dia kemudiannya berpaling memandang Gu Ying yang berdiri di sebelahnya lalu berkata, "Tuan Muda Gu, orang-orang ini begitu degil dan menjadi penghalang pada rancangan kita. Saya mohon bantuan Tuan Muda Gu untuk mengajar mereka supaya sedar diri."

Gu Ying mengangkat keningnya dan kegirangan yang kejam muncul di matanya ketika memandang guru yang bersuara tadi.

Semua guru akademi berasa seram sejuk. Identiti Gu Ying diselubungi misteri. Dia baru sahaja dimasukkan ke Akademi Zephyr tidak lama dahulu dan sudah pun mengakibatkan kekecohan besar. Beberapa orang pelajar Akademi Zephyr telah mati di tangannya. Menurut kata-kata Fan Jin tadi, Guru Besar mereka, Fan Qi, turut menjadi salah seorang mangsa Gu Ying!

Fan Qi bukan orang yang lemah tetapi dia telah mati dengan hanya satu serangan! Kalau ini benar-benar hasil perbuatan Gu Ying, pasti kuasanya agak menggerunkan!

"Maaflah ya, kamu semua mesti pergi je Cenuram Penghujung Syurga," kata Gu Ying pada para guru di situ sambil tersenyum berseri-seri. Sebelum mereka sempat bertindak-balas, badan Gu Ying bertukar menjadi sekilas cahaya ungu yang merentasi kerumunan orang-orang di situ!

Jantung guru-guru ini tersentak. Mereka baru sahaja mahu melindungi diri tetapi sesaat kemudian mereka merasakan kepedihan pada bahagian leher. Darah merah yang hangat memancut keluar dari leher mereka!

Sepantas kilat tiga orang guru dihapuskan oleh Gu Ying. Kepantasan Gu YIng begitu tinggi sehinggakan para pelajar ini tidak dapat melihat kelibat bayangnya sekalipun ketika dia bergerak!

Darah terpercik ke udara dan titisannya jatuh seperti air hujan yang membasahi satu kawasan yang luas. Pakaian seragam para pelajar di situ dikotori warna merah yang kelihatan menggerunkan.

"EEEEEEEEEK!" Tiba-tiba kedengaran jeritan yang membingitkan telinga dari kerumunan para pelajar itu.