Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 728 - Tamparan Kelapan (9)

Chapter 728 - Tamparan Kelapan (9)

Ketika memikirkan hal ini, api yang membara meluap-luap di dada Gu Ying. Setelah berkali-kali menjadi mangsa rancangan Jun Xie, Gu Ying berasa amat benci dengan budak kecil itu. Matanya memandang tanpa sedar pada kereta kuda yang berhenti di hadapan pintu pagar utama itu.

Waktu itu, Gu Ying tidak lagi mahu ambil peduli dengan apa yang Ning Rui fikirkan. Mindanya hanya fokus dengan kereta kuda yang direnungnya itu.

Apabila tidak mendapat jawapan daripada Gu Ying, hati Ning Rui menjadi semakin gelisah. Dia berpaling memandang Fan Jin yang sudah berdiri di sisi Fan Zhuo. Ning Rui meneliti pemuda di hadapannya ini daripada hujung rambut ke hujung kaki. Setelah yakin pemuda itu sememangnya Fan Jin, Ning Rui semakin resah.

"Fan Jin! Berani kamu kembali ke sini!?" Dalam kegelisahannya, Ning Rui tiba-tiba menjerit marah dengan kuat!

[Saya tak boleh benarkan Fan Jin membuka mulutnya untuk mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku pada hari itu. Kalau tidak…]

[Semuanya akan berakhir!]

"Pengawal! Tangkap anak derhaka yang membunuh Guru Besar dengan kejam!" Ning Rui menjerit. Dia kelihatan menggeletar, seolah-olah disebabkan kemarahan yang tidak tertahan. Tetapi sebenarnya keadaan itu disebabkan perasaan gerun.

Namun tidak ada seorang pun di Akademi Zephyr yang bertindak. Semua orang sekadar memandang Ning Rui dan adik-beradik Fan.

Sebelum kepulangan Fan Zhuo, arahan yang Ning Rui jeritkan itu pasti membuatkan para pengawal meluru mendapatkannya. Tapi kemunculan semula Fan Zhuo hari ini telah mengubah keadaan.

Walaupun Fan Qi sudah mati, peraturan akademi menyatakan kedudukan Guru Besar akan diwarisi oleh anak Fan Qi. Berdasarkan pemahaman awal mereka, jawatan itu akan diserahkan pada Fan Zhuo. Tapi Fan Zhuo pula tiba-tiba mengumumkan yang sebenarnya Fan Jin adalah anak kandung Fan Qi. Ini… telah membuatkan semua orang bingung bagaimana untuk memberikan reaksi terhadap situasi ini.

Demi mendapatkan jawatan Guru Besar, adakah Fan Jin akan membunuh ayah kandungnya sendiri? Apa yang dia kejarkan?

Setelah tidak mendapat respons daripada sesiapa, Ning Rui semakin resah. Dia tidak tahu bagaimana Fan Zhuo dan Fan Jin boleh bertemu, tetapi melihatkan kedua-duanya berdiri bersama-sama tanpa permusuhan telah membuatkan Ning Rui menggelabah!

Sebelum kemunculan Fan Zhuo, Ning Rui berniat mahu menggunakan kedudukannya sebagai Pemangku Guru Besar untuk menguruskan Fan Jin. Tapi kini setelah Fan Zhuo kembali, Ning Rui tidak lagi dianggap berkuasa mutlak di Akademi Zehpyr!

"Kenapa Pak Cik Ning begitu gelisah mahu mendiamkan saya? Pak Cik terkejutkah melihat saya dah sembuh? Apa yang Pak Cik takutkan? Bimbang saya akan nyatakan kebenaran di sebalik kematian ayah saya pada semua orang di Akademi Zephyr? Atau Pak Cik risau saya akan beritahu mereka yang Pak Cik dan Gu Ying adalah pembunuh sebenar ayah saya?" Mata Fan Jin yang jernih itu mengecil sedikit sambil dia bercakap. Senyuman di wajahnya lenyap tanpa kesan dan riak wajahnya menunjukkan kebencian yang membara!

Tuduhan Fan Jin menyebabkan kekecohan tersebar di dataran itu. Mata setiap orang memandang Ning Rui dengan penuh persoalan dan tuduhan.

[Naib Guru Besar dan Gu Ying adalah pembunuh sebenar!?]

[Apa yang sedang berlaku ni?]

Pandangan mata yang tertumpu [ada mereka dari setiap arah membuatkan Ning Rui berpeluh sejuk. Wajahnya pucat dan nafasnya tersekat-sekat.

"Apa yang kamu merepek ni! Fan Qi ibarat saudara saya. Kenapa pula saya nak mengapa-apakan dia!? Kamu sebenarnya yang berniat begitu! Kamu mahukan jawatan Guru Besar dan lakukan perbuatan keji ini!" Ning Rui bertempik dengan marah.

"Saya mahukan jawatan Guru Besar? Ha ha, kelakarnya! Jangan cakap Pak Cik Ning ni dah tua jadi telinga Pak Cik dah tak berfungsi sangat. Pak Cik tak dengarkah apa yang Fan Zhuo katakan tadi?" kata Fan Jin. Matanya merenung dingin pada Ning Rui lalu tersenyum sinis. "Saya adalah anak kandung ayah dan jawatan Guru Besar itu lambat laun akan menjadi milik saya. Kenapa saya perlu bertindak drastik seperti itu? Hal itu hanya akan mendatangkan syak dan membuatkan saya dilabel sebagai pembunuh! Lagipun, kalau saya memang berniat begitu, kenapa saya lakukannya ketika Gongcheng Lei sedang berkawal di luar? Kemudian tunggu saja dengan patuh untuk ditangkap? Ning Rui, kamu fikir semua orang dalam dunia ni bodoh?"