Dalam diam Ning Rui berasa gembira. Fan Zhuo sendiri menyerah diri untuk menjadi korban dan Ning Rui tidak boleh dipersalahkan jika dia mengambil peluang itu!
Selepas mendengar kata-kata Ning Rui, badan Fan Zhuo terhuyung-hayang.
Ning Rui berasa seronok menantikan Fan Zhuo rebah akibat berasa terkejut. Tiba-tiba Fan Zhuo menstabilkan dirinya dan senyuman penuh hormat itu sekali lagi muncul di wajahnya.
"Apa yang Pak Cik Ning katakan ni? Mana mungkin abang saya bunuh ayah saya?"
Ning Rui berkerut sedikit sambil memandang Fan Zhuo dengan penuh sangsi. Dia tidak sangka Fan Zhuo mampu kekal berdiri. "Fan Zhuo, Pak Cik tahu kamu dan abang kamu memang rapat tapi hati manusia boleh berubah pada bila-bila masa. Lagipun kamu bukan adik-beradik kandung dan Fan Jin bukan anak kandung ayah kamu. Fan Zhuo, kamu dah bertahun-tahun terlantar sakit. Ini menyebabkan Fan Jin menganggap yang kamu tak akan hidup lama. Kedudukan Guru Besar akhirnya akan menjadi miliknya. Namun tanpa dijangka, kesihatan kamu semakin pulih dan Fan Jin mula menunjukkan perangai jahatnya yang sebenar."
Ning Rui mengeluh sedih ketika dia terus berkata, "Sayang sekali kerana ayah kamu begitu baik padanya dan melayannya seperti anak sendiri. Fan Qi tak tahu yang dia membela seekor ular berbisa."
Ning Rui menampilkan dirinya sebagai Pak Cik yang baik. Orang yang tidak tahu hal sebenar pasti akan mempercayainya.
Senyuman di wajah Fan Zhuo perlahan-lahan pudar. Keningnya mula berkerut. "Betul cakap Pak Cik Ning. Saya dan Abang Fan Jin tidak ada hubungan darah dan bukan adik-beradik kandung."
Jantung Ning Rui berdebar-debar kegembiraan. Tapi kata-kata Fan Zhuo seterusnya ibarat panahan petir!
"Tapi Pak Cik Ning tersilap tentang hal-hal lain. Orang yang bukan anak kandung ayah ialah saya, bukan abang saya. Sayalah anak angkat yang ayah saya bela dan abang saya itulah anak kandung ayah saya yang sah," kata Fan Zhuo dengan wajah yang bingung. Matanya yang jernih itu memandang Ning Rui dengan penuh ikhlas.
Kejutan yang besar menggegarkan jantung Ning Rui. Dia tergamam memandang Fan Zhuo dengan tidak percaya. Ning Rui tidak dapat menerima apa yang didengarnya dari mulut Fan Zhuo!
Kata-kata Fan Zhuo membuatkan mata para pelajar dan guru Akademi Zephyr terbeliak kerana terkejut.
[Apa yang sedang berlaku ni?]
[Fan Zhuo kata dia bukan anak kandung Fan Qi? Fan Jin sebenarnya adalah anak kandungnya?]
Kata-kata Fan Zhuo ibarat bom yang menggemparkan semua orang di situ. Suasana suram dan sunyi di hadapan pintu pagar akademi itu berubah kecoh sekali lagi dengan perdebatan yang hangat.
"Apa yang sedang berlaku ni? Kenapa pula Fan Jin bukan anak kandung Guru Besar!?"
"Salah tu. Selama ni saya diberitahu yang Fan Zhuo adalah anak kandung Guru Besar. Kenapa pula dia kata begini sekarang ni?"
Dalam sekelip mata, semua orang bercakap tentang pendedahan mengejutkan Fna Zhuo itu. Perdebatan hangat turut menyusul.
Fan Zhuo mendengar kekecohan di sekelilingnya dan memandang perasaan simpati penuh kepura-puraan yang kaku di wajah Ning Rui. Sedikit perasaan puas hati terpancar di mata Fan Zhuo.
"Fan Zhuo… ap… apa yang kamu cakap ni? Mana mungkin kamu bukan anak kandung ayah kamu? Pak Cik masih ingat lagi ketika dia bawa kamu berdua ke sini. Dia mengatakan kamu ialah anak kandungnya dan Fan Jin adalah budak yang ditemuinya dalam perjalanan." Hujung bibir Ning Rui menggerenyet dan dia bergelut untuk kekal tenang.
Kalau apa yang Fan Zhuo katakan ini benar, alasan yang Ning Rui katakan sebagai sebab mengapa Fan Jin membunuh Fan Qi hanya akan dianggap sebagai jenaka!
Ini bermakna Fan Jin sememangnya waris yang akan mewarisi kedudukan sebagai Guru Besar Akademi Zephyr. Kalau pun Fan Zhuo sihat, hal perwarisan jawatan Guru Besar itu langsung tak ada kaitan dengan Fan Zhuo.
Fan Jin tak ada sebab untuk membunuh Fan Qi!
Perasaan gerun muncul di hati Ning Rui. Dia tidak mahu mempercayai kata-kata Fan Zhuo, tetapi dia juga tidak berani meraguinya.
Kalau dia percaya kata-kata ini, sebab yang didakwanya telah menyebabkan Fan Jin membunuh Fan Qi tidak lagi kukuh!
Kematian Fan Qi akan dianggap mencurigakan!
Fan Zhuo mengeluh kecil sambil memandang Ning Rui dan berkata, "Pak Cik Ning tak perasankah saya dan ayah saya langsung tak ada persamaan? Sedangkan abang dan ayah, tak kiralah dari segi rupa paras atau perwatakan, hampir serupa?"