Chereads / DOKTOR GENIUS: CIK BERHATI HITAM / Chapter 666 - Tanah Maut (1)

Chapter 666 - Tanah Maut (1)

Kini mereka tidak perlu lagi bimbang tentang kabus beracun. Kurang satu lagi beban dalam perjalanan untuk terus maju ke hadapan.

Tanah penuh bertulang di bawah kaki mereka ini terbentang luas. Sambil berjalan, lapisan tulang-tulang itu mula menipis. Ahli kumpulan ini kemudiannya dapat melihat cahaya dari Glob Api Roh terbias pada pedang askar-askar yang tertanam di sebalik ais. Ketulan ais itu berkilauan di bawah sinaran cahaya, ibarat satu lapangan kilauan bintang yang menerangi laluan mereka.

Mu Qian Fan telah memberitahu mereka bahawa di dasar Cenuram Penghujung Syurga ini, apa yang menggerunkan biasanya tersembunyi di sebalik kabus.

Tidak lama kemudian laluan tulang berais ini semakin menipis dan bentuk muka bumi mula berubah. Tanah di situ diliputi sepenuhnya dengan lumut. Glob Api Roh menerangi satu kawasan seluas beberapa meter di sekeliling kumpulan itu. Sebelum ini, Mu Qian Fan tidak menggunakan Glob Api Roh. Jadi walaupun ahli kumpulannya dapat melihat jalan yang mereka lalui, sumber cahaya yang mereka gunakan tetap membuatkan keadaan sekeliling kelihatan samar-samar.

Kelebihan penggunaan Glob Api Roh terlihat jelas dalam situasi sekarang ini kerana Jun Wu Xie dapat melihat kawasan yang diterangi cahaya itu dengan jelas.

Lumut hijau tumbuh dengan banyak dan membentuk lapisan yang tebal pada tanah. Ini membuatkan laluan itu menjadi licin dan melekit. Mereka perlu melangkah dengan berhati-hati untuk mengelak daripada tergelincir.

Jun Wu Xie mengeluarkan sebatang senjata beruas tiga. Senjata ini diperbuat daripada kayu dan sangat ringan. Dua hujungnya dihubungkan dengan rantai besi yang pendek. Senjata ini boleh digabungkan dengan cara memusingkan ruasnya mengikut arah jam. Setelah digabungkan, senjata ini akan membentuk sebatang tongkat.

Tongkat ini merupakan alatan biasa yang digunakan untuk latihan harian. Namun Jun Wu Xie menggunakannya untuk memeriksa keadaan tanah sambil mereka terus bergerak ke hadapan.

Lumut hijau meliputi kawasan tanah yang luas itu dan semuanya kelihatan sama sahaja. Tetapi di bawah lumut hijau mungkin ada tersembunyi lubang benam yang boleh membawa maut.

Jun Wu Xie mengetuai kumpulan itu. Tongkat yang dipegangnya ditusuk-tusuk pada tanah untuk memastikan kawasan itu selamat sebelum dia memijaknya. Qiao Chu dan yang lain mengekori di belakangnya dengan membentuk satu barisan lurus. Mereka hanya memijak kawasan yang sama telah dipijak oleh Jun Wu Xie.

Suasana di dalam kabus yang menyelubungi kawasan itu kembali sunyi.

Sewaktu tongkat Jun Wu Xie menusuk kawasan yang berada tiga langkah di hadapannya, dia tiba-tiba merasakan tempat yang ditusuk itu tidak memberikan rintangan!

Jun Wu Xie hampir tersungkur tetapi dia cepat-cepat mengimbangkan badannya kembali. Dia dapat merasakan tongkatnya itu ditarik oleh kuasa yang kuat.

[Lubang benam!]

Mata Jun Wu Xie menjadi gelap.

Dia terus melupakan hasrat untuk menarik tongkat kayu itu lalu melepaskan pegangannya. Dalam masa beberapa saat sahaja, tongkat sepanjang satu meter itu lenyap ditelan tanah. Sebelum tongkat kayu itu hilang sepenuhnya, lapisan lumut yang terbelah tadi berbuih-buih seketika sebelum tertutup dan kembali kelihatan tidak terusik.

"Keadaan di sini… amat menggerunkan." Qiao Chu yang berada di belakang Jun Wu Xie telah menyaksikan segala yang berlaku.

Sewaktu Jun Wu Xie cuba mendapatkan semula tongkat tersebut, dia sudah pun menggunakan kuasa rohaninya. Namun dia langsung tidak berjaya. Keseluruhan kuasanya bukan tandingan cengkaman maut lubang benam tersebut pada tongkat kayu itu.

Tuhan saja yang tahu apa akan jadi pada orang yang ditelan oleh lubang benam...

Apa yang lebih menggerunkan ialah lubang benam itu hanya muncul seketika sebelum kembali tersembunyi. Mustahil mereka dapat mencari sebarang tanda untuk mengesan kewujudannya.

"Boleh tak kita guna Tuan Embek Embek untuk tinjau laluan di hadapan. Memandangkan saiz badannya besar, lubang benam langsung tak akan beri kesan padanya." Qiao Chu memberi cadangan sambil berkerut sedikit.

Jun Wu Xie menggelengkan kepala untuk menolak cadangan itu.

"Kita tak boleh tentukan saiz lubang benam di kawasan ini. Kalau ada lubang benam yang besar dan Tuan Embek Embek melangkah masuk ke dalamnya, kita tak ada cara untuk selamatkannya. Tapi kalau salah seorang daripada kita yang termasuk ke dalam lubang benam, kita masih boleh gunakan kuasa Tuan Embek Embek untuk melepaskan diri. Jika Tuan Embek Embek yang terperangkap, perjalanan kita akan jadi lebih sukar." Jun Wu Xie masih ingat setiap pesanan Mu Qian Fan pada mereka.